Monday, May 19, 2014

Kenali pengulas dan pelapor sukan terkenal negara, Datuk Rahim Razali yang kini umum persaraan


Kenali pengulas dan pelapor sukan terkenal negara, Datuk Rahim Razali yang kini umum persaraan | Pengulas dan pelapor sukan terkenal negara, Datuk Rahim Razali, 75, mengumumkan persaraannya dalam bidang berkenaan selepas kesihatan yang tidak mengizinkannya untuk aktif seperti sebelum ini. Sepanjang pembabitan dalam bidang berkenaan, beliau pernah diberi peluang sebagai pengulas Sukan Olimpik sebanyak lima kali, bola sepak Piala Dunia enam kali dan Hoki Piala Dunia empat kali selain Sukan Sea, Sukan Asia dan Piala Thomas de–ngan penuh keikhlasan dan tanggungjawab. Menurut Rahim, pelbagai isu, pengalaman dan perjalanan dilalui sebagai pengulas sukan radio dan televisyen bermula 1965 termasuk kejohanan tempatan dan antarabangsa yang turut mengisi rentetan kisah hidupnya sebagai pencinta sukan tanah air.

“Apa pun, itu semua kenangan manis saya sebagai perantara untuk memberi maklumat dan menyampaikan perjalanan sukan itu untuk disalurkan kepada peminat dan rakyat Malaysia sepanjang kerjaya yang dianggap amat mencabar ini.“Keadaan kesihatan yang sukar dijangka terutama selepas menjalani pembedahan otak beberapa bulan lalu antara faktor utama saya bersara dalam bidang ini,” katanya. Berita Rahim yang dilaporkan mengalami pendarahan dalam otak (subdural hemorrhage) dan menjalani rawatan pembedahan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Perubatan Sunway Petaling Jaya sebelum ini amat mengejutkan peminat dan pengikut setianya. Malah, peminat dan rakan pengulas sukan turut mendoakan kesihatannya segera pulih seperti yang diluahkan menerusi pelbagai saluran komunikasi termasuk media sosial ketika itu.

Menurut Rahim, setakat ini, kesihatannya kembali pada tahap memuaskan. “Alhamdulillah, kesihatan saya bertambah baik dan sebaik pulih, saya sempat berlakon dalam satu drama purba di Melaka baru-baru ini. “Pastinya, saya berusaha untuk memberikan yang terbaik dalam bidang berkenaan selagi termampu. Namun saya menarik diri dalam bidang pengulasan sukan, walaupun minat dalam arena itu tidak pernah padam,” kata ikon sukan terbabit. Anak kelahiran Ipoh, Perak yang mempunyai tiga anak dan tujuh cucu itu bersyukur kerana isterinya, Datin Salmiah Abd Mukmin, 69, sentiasa memberi sokongan sepanjang pembabitannya dalam lakonan, pengarahan mahupun dalam bidang penyiaran.

terkini

Menurutnya, pengalaman paling diingati sepanjang kerjaya penyiaran televisyen pastinya ketika perlawanan tinju heavyweight membabitkan jaguh dunia, Muhammad Ali dan Joe Bugner di Kuala Lumpur pada 1975. “Ia kekal dalam ingatan hingga kini dan pastinya peristiwa itu tidak lagi akan berulang, sebaliknya hanya tinggal sejarah Perlawanan itu amat menarik malah sudah pasti peminat sukan era 70-an tidak akan melupakan perlawanan bersejarah yang amat manis untuk dikenang,” katanya. Rahim yang turut melahirkan rasa bangga atas kemunculan ramai pengulas sukan baru di Malaysia berkata, pihaknya sentiasa memberi sokongan padu kepada mereka untuk berjaya serta perlu menyampaikan maklumat tepat kepada masyarakat menerusi gaya dan teknik penyampaian berkesan.

Katanya, beliau sedia memberi nasihat dan panda–ngan kepada mana-mana pihak terutama generasi baru yang terbabit dalam bidang berkenaan, terutama jika kesihatan mengizinkan. Sambil mengharapkan mereka tabah dan sentiasa positif, dia tidak menganggap ia satu kesukaran mendapatkan maklumat dan terpaksa lebih kerap turun padang untuk memperoleh fakta. “Saya turut menaruh kepercayaan pengulas kini mampu lebih berjaya daripada apa yang pernah saya nikmati dengan syarat mereka terus belajar dengan konsisten mencari idea baru untuk kemajuan kerjaya masing-masing. “Harapan saya semoga sukan negara akan terus dihormati di kancah saingan dunia selain turut mencadangkan pembabitan serius penduduk terhadap sukan baru untuk turut cemerlang seperti dibuktikan dalam arena hoki, skuasy dan badminton,” katanya.

Mengimbas latar belakangnya, bekas pelajar Sekolah Menengah Anderson Ipoh itu dilihat amat gigih dan bijak mengendalikan segmen sukan sepanjang kerjaya yang diterokainya. Ulasan dan fakta yang diberikannya nyata melekat di jiwa pengikut sukan negara sehingga ada di antara mereka sentiasa menanti kemunculannya menerusi gaya dan suara asli yang sukar ditandingi. Bermula secara sambilan berikutan bekerja di Malayan Tobacco sekitar 1964, beliau jelas menguasai minda peminat menerusi pembabitan awalnya sehingga suaranya amat sinonim dengan dunia sukan tanah air.

Walaupun amat teruja menanti kehadiran Piala Dunia 2014 Brazil, beliau yang pernah terbabit dalam pengulasan kejohanan berprestij terbabit tetap mengikuti perkembangan sukan dengan memilih tuan rumah muncul juara edisi kali ini. Mula berjinak-jinak menjadi penulis skrip drama sejak 1950-an selain berpengalaman luas dalam lakonan drama dan pengarahan flem. Beliau yang pernah berlakon teater di University Theatre Dub, Brighton Theatre Group Australia Broadcasting Commission 1963, mengakui kembali berlakon sekali gus melepaskan kerinduan sebagai pengulas sukan. Antara anugerah diraih–nya termasuk pelakon terbaik 2007, pengarah terbaik dan skrip terbaik (1986 dan 1981) serta sutradara terbaik dan lakon layar terbaik 1984. -Metro




.

1 Penyokong CHELSEA:

Nurhaziq Abdul Hafiz on May 19, 2014 at 11:02 AM said...

Tak pernah tengok dia dalam mengulas sukan tapi biasa tengok dia dalam drama atau filem.

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!