Kisah yang menyayat hati dari Gaza | Kisah tragis yang menimpa pemuda Palestin dari Gaza, Hassan Muhani, 25, pasti membuatkan hati sebak mengenangkan suratan hidupnya. Bakal menamatkan pengajian Sarjana Muda Jurusan Pentadbiran di Universiti Gaza, dia menyimpan cita-cita untuk membina kehidupan yang lebih baik buat isteri dan anak kecil berusia dua tahun dengan menjadi usahawan buah-buahan. Di sebalik cengkaman kuku besi Zionis di tanah kelahirannya, impian untuk menggenggam ijazah tidak pernah luntur.
"Bagi Hassan, tanpa pendidikan sukar untuk dia memberi kehidupan lebih selesa kepada keluarga, khususnya kepada anak kecil yang amat disayanginya," kata abang Hassan, Husam Muhani, 34, yang setia menemani adiknya di Hospital Al-Hilal, di sini.Namun segalanya berubah dua minggu lalu apabila dia terkena serpihan peluru berpandu rejim Zionis Israel di bahagian belakang badan ketika dalam perjalanan ke rumah yang terletak di Bandar Gaza.
Letupan berdekatan menyebabkan serpihan besi menusuk sehingga ke tulang belakang menyebabkan kecederaan parah dan doktor mengesahkan bahawa Hassan akan lumpuh separuh badan. Lebih memilukan dia hampir menyiapkan tugasan akhir untuk menamatkan pengajian dan bergelar graduan dalam tempoh beberapa minggu lagi. Penderitaan dialaminya turut mendapat perhatian Ketua Misi Kemanusiaan Malaysia ke Gaza Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang hadir memberi sumbangan bagi meringankan bebannya. -Metro
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment