MH17 : Kisah sedih dari Pasukan Pengecaman Mangsa Nahas (DVI) Malaysia | “Saya tidak dapat menggambarkan rasa sayu dan hiba apabila sempat melihat beberapa keping kad raya milik penumpang nahas MH17 warga Malaysia ketika menerima bungkusan berisi mayat serta barangan peribadi mangsa nahas di Kharkiv, Ukraine pada 23 Julai lalu,” kata Timbalan Komander Pasukan Pengecaman Mangsa Nahas (DVI) Malaysia Deputi Superintendan Mohd Hakim Hashom. Mohd Hakim berkata, selain kad raya berkenaan, beliau bersama ahli DVI lain turut menemui pakaian seragam milik kru MH17, tas tangan, diari dan tag bagasi milik penumpang warga Malaysia yang dikumpulkan kumpulan pemberontak pro-Rusia di lokasi nahas. Menurutnya, beliau sudah lama berdepan dengan urusan pengendalian mayat kes jenayah, namun pengalaman itu tidak sama dan berbeza sekali ketika mengendalikan mayat mangsa nahas MH17.
“Bagaimanapun, demi mempercepatkan urusan pengendalian mayat, kami terpaksa tabahkan diri memandangkan ada mayat warga Malaysia yang terbabit nahas itu. “Selain merakam dan meneliti mayat nahas untuk proses pengenalan dan pengecaman, kami juga terbabit memindahkan barangan peribadi mangsa nahas ke dalam beg mayat mangsa. “Sebaik menerima bungkusan mayat mangsa daripada kumpulan pemberontak pro-Rusia, beg berisi mayat serta barangan peribadi milik mangsa diasingkan dan ia menjadi tugas kami untuk memindahkan barangan itu ke dalam beg mayat mangsa berdasarkan bukti pengenalan ditemui pada mangsa,” katanya ketika ditemui media sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Amsterdam, Belanda petang semalam.
Mohd Hakim bersama 10 anggota dan pegawai DVI Malaysia adalah kumpulan kedua petugas khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tiba di tanah air selepas menyertai pasukan DVI antarabangsa bagi pengecaman mayat dan kerja-kerja forensik di lokasi nahas di Donetks; Kharkiv, Ukraine; Torez, Ukraine dan Kem Tentera Hilversum, Belanda. Ketibaan mereka disambut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh pada satu majlis ringkas sambutan pasukan itu di sini semalam. Dalam pada itu, Mohd Hakim berkata, pihaknya juga terpaksa memindahkan beg berisi mayat dari gerabak kereta api sebelum dibungkus semula dengan sempurna dan diletakkan ke dalam keranda untuk di bawa ke Kem Tentera Hilversum, Belanda bagi proses bedah siasat dan pengecaman identiti seterusnya.
Menurutnya, ketika itu, pihaknya turut merekodkan segala maklumat peribadi mangsa nahas berdasarkan barangan peribadi milik mangsa yang ditemui di lokasi nahas. “Tugas pasukan di Kharkiv dan Torez adalah menguruskan proses identifikasi mangsa bencana mengikut standard antarabangsa. “Kami adalah pasukan terawal melihat mayat-mayat mangsa selepas diserahkan kumpulan pemberontak pro-Russia dalam gerabak kereta api. Kami bukan saja perlu buat identifikasi mayat warga Malaysia, tetapi rakyat negara lain dengan kerjasama pasukan DVI dari Belanda, Australia, Amerika Syarikat, Brazil dan Kanada,” katanya.
Katanya, pihaknya turut menyedekahkan surah Al-Fatihah setiap kali menerima mayat beragama Islam selain bertafakur selama satu minit bagi menghormati mayat bukan Islam. Ditanya mengenai pengalaman berpuasa sambil menguruskan mayat mangsa nahas di Ukraine, Mohd Hakim berkata, menu berbuka puasa mereka di negara itu hanya roti, tomato dan timun. “Kami akui berdepan kesukaran mendapatkan makanan halal di sana dan kami hanya dibekalkan dengan roti dan dua jenis sayuran sebagai menu berbuka. “Malah, ia juga adalah menu sama buat kami ketika menyambut 1 Syawal di sana, namun sebagai anggota polis kami bersedia menghadapi apa juga kemungkinan,” katanya. -Metro
.
1 Penyokong CHELSEA:
X sampai hati nak baca..meruntun rasa hati kan..sedih
Post a Comment