Friday, November 14, 2014

Lelaki dipenjara kerana cuba bunuh diri


 Lelaki dipenjara kerana cuba bunuh diri  | Seorang lelaki dipenjara setahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan cuba membunuh diri di dalam lokap Balai Polis Melaka Tengah September lalu. Tertuduh A Vikneswaran, 36, dari Taman Merdeka di sini, dijatuhi hukuman itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Norina Maludin. Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa cuba membunuh diri di lokap polis kira-kira jam 11.40 pagi, pada 8 September 2014. Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian anggota polis yang menjaga lokap terdengar bunyi bising di sel berkenaan dan apabila melakukan pemeriksaan dia terkejut melihat tertuduh menggantung diri dengan menjerut leher menggunakan cebisan seluar yang diikat pada besi. Melihat keadaan itu, anggota polis kemudian menghalang tindakan tertuduh dan menyelamatkannya.

Timbalan Pendakwa Raya Norhafiza Haron yang mengendalikan kes memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sama ada denda atau penjara terhadap tertuduh. Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam ketika rayuan memohon dikenakan hukuman penjara dengan tempoh yang lama. ''Jika boleh saya hendak penjara lebih dua tahun atau lebih dari itu kerana keluarga saya sudah tidak terima saya lagi,'' katanya. Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Norina kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara setahun bermula pada tarikh jatuh hukum. -Metro



.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!