Tuesday, December 30, 2014

Minggu penangguhan persekolahan tidak perlu diganti - Muhyiddin


Minggu penangguhan persekolahan tidak perlu diganti - Muhyiddin | Penangguhan selama seminggu permulaan sesi persekolahan 2015 di seluruh negeri tidak perlu diganti, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, ia tidak perlu diganti kerana masih dalam tempoh yang bersesuai untuk persekolahan. "Bukannya cuti persekolahan itu ditambah tetapi masalah tertentu yang kita terpaksa tangguhkan. Kita harap ini akan disesuaikan dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) dilaksanakan di sekolah-sekolah," katanya pada sidang media selepas melawat dua pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Mentangau dan SK Kampung Nyior di sini.

Dengan penangguhan itu, tarikh baharu sesi permulaan persekolahan tahun depan bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor adalah pada 11 Januari (Ahad), manakala bagi negeri-negeri lain pada 12 Januari (Isnin). Turut bersama dalam lawatan itu ialah Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah dan Pemangku Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, Roslina Ngah. Sebelum ini, sesi persekolahan bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor dijadual dibuka pada 4 Januari manakala bagi negeri-negeri lain adalah 5 Januari.

Muhyiddin berkata, sehingga semalam, Kementerian Pendidikan mendapati 340 sekolah di tujuh negeri terjejas banjir atau menjadi Pusat Pemindahan Sementara. "Banjir masih berlarutan, maka sebahagian sekolah tidak dapat digunakan. Malah ada guru yang masih berada di kampung dan mereka tidak boleh pulang sekarang untuk mengajar. "Justeru, atas dasar-dasar ini, kita putuskan untuk tangguhkan sementara pembukaan sesi persekolahan waktu ini bagi membantu keluarga untuk pemulihan dan buat persiapan," katanya. Muhyiddin turut meminta Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah membuat taksiran mengenai kerugian harta benda dan kerosakan bangunan yang mungkin dialami berikutan bencana itu. -BH




.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!