Friday, December 5, 2014

Oh mimpi ngeri penduduk datang balik


 Oh mimpi ngeri penduduk datang balik | Penduduk di perkampungan di tengah Filipina berebut-rebut meninggalkan kediaman masing-masing dan membeli barangan keperluan di kedai runcit dan stesen minyak berikutan ribut kencang yang dijangka melanda negara itu menimbulkan ketakutan berulangnya bencana Taufan Haiyan. Agensi kaji cuaca kerajaan berkata, Taufan Hagupit dengan kelajuan angin 230 kilometer sejam dijangka membadai wilayah Samar esok sebelum mengikuti laluan sama dengan Taufan Haiyan yang melanda tahun lalu dalam tragedi yang memusnahkan puluhan kampung dan mengakibatkan lebih 7,300 mati atau hilang.

Mangsa Taufan Haiyan tahun lalu, Emily Sagalas, 23, berkata, ramai jirannya di kota Tacloban sudah berpindah ke tempat lebih selamat di stadium sukan berhampiran atau rumah keluarga dengan membawa pakaian dan barang keperluan. Katanya, kedai runcit dan stesen minyak juga sesak dengan orang ramai membeli barang keperluan dalam kuantiti banyak sebagai persediaan menghadapi bencana. Emily melahirkan anak perempuan tidak lama selepas Haiyan melanda yang mengakibatkan kematian ibu mentuanya serta memusnahkan rumah mereka.

“Trauma kembali menghantui kami. Malah, tahun ini lebih teruk lagi bagi saya kerana bimbangkan keselamatan anak,” katanya. Haiyan memusnahkan sejuta rumah dan mengakibatkan kira-kira empat juta penduduk kehilangan tempat tinggal. Ratusan yang masih tinggal di dalam khemah di Tacloban diberi keutamaan dalam operasi pemindahan kali ini. Sementara itu, bilik hotel di Tacloban - yang masih merasai penangan Haiyan - habis ditempah golongan kaya yang turut membuat persiapan menghadapi ribut hujung minggu ini.

Pekerja Hotel Leyte Park, Roan Florendo berkata: “Cuaca masih elok dan matahari masih bersinar tetapi semua orang ketakutan. Hampir semua bilik kami sudah disewakan.” Sekolah di beberapa bandar yang menjadi laluan Hagupit akan ditutup hari ini. Pihak berkuasa turut memindahkan lokasi forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) minggu depan - yang dijadualkan dihadiri ratusan wakil dari 21 negara - dari Albay ke Manila yang dijangka tidak dilanda taufan itu. - AP




.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!