Pelajar kolej menangis dipenjara 18 bulan oleh Mahkamah kerana buang bayi lelaki oktober lalu | Tindakan seorang pelajar diploma pengurusan perniagaan sebuah kolej swasta mengemukakan rayuan sambil mengesat air mata berulang kali tidak membuahkan hasil apabila dia dipenjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyembunyikan kelahiran bayi lelakinya dengan membuang mayat bayi itu ke dalam tong sampah pada Oktober lalu. Tertuduh, Norhidayah Yon, 19, membuat pengakuan salah itu setelah pertuduhan ke atasnya dibacakan pada November lalu di hadapan Majistret Ashraf Rezal Abdul Manan bagaimanapun hukuman terhadapnya ditangguhkan sehingga semalam sementara menunggu laporan akhlak tertuduh disiapkan untuk dikemukakan kepada mahkamah.
Mengikut pertuduhan, NorHidayah didakwa dengan sengaja menyembunyikan kelahiran seorang bayi lelaki dengan membuang mayat bayi tersebut ke dalam tong sampah secara sulit selepas melahirnnya di Blok C, PV6, Kondo Platinum Hill Park, Jalan Setapak, Wangsa Maju di sini pada pukul empat pagi, 28 Oktober lalu. Pelajar perempuan yang berasal dari Hutan Melintang, Perak itu didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ooi Chean Ling manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela. Chean Ling mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman yang sesuai dan memandai bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam selain mengambil kira masalah pembuangan bayi seperti ini amat berleluasa pada masa kini.
Terdahulu, tertuduh yang dilihat menangis di dalam kandang mahkamah memohon agar hukumannya dikurangkan atas alasan masih belajar dan mempunyai lima lagi semester untuk tamat pengajian selain sudah direman pihak polis selama sebulan di penjara Kajang. Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara dari tarikh tangkap iaitu pada 30 Oktober lalu selain menasihati tertuduh agar tidak mengulangi perbuatan yang sama di masa hadapan kerana tertuduh merupakan pesalah muda dan mempunyai masa depan yang cerah kelak.
Berdasarkan fakta kes, pihak polis menerima panggilan telefon daripada orang awam yang memberitahu salah seorang penduduk menjumpai mayat bayi di tong sampah kondominium berkenaan kira-kira pukul 11 pagi pada hari kejadian. Pihak polis kemudian membuat pemeriksaan di rumah tertuduh yang didiami bersama empat lagi rakan wanitanya sebelum membawa kelima-lima mereka ke balai polis beserta beberapa barang rampasan untuk membantu siasatan. Hasil siasatan yang dijalankan, tertuduh mengaku membuang mayat bayinya di tong sampah tingkat bawah berhampiran lif selain turut menunjukkan tempat dia melahirkan bayi tersebut. - Kosmo!
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment