Subhanallah.. Banjir telan kedai makan sekelip mata di Rantau Panjang | Bencana banjir yang melimpahi pekan Rantau Panjang Khamis lalu menyebabkan seorang pemilik kedai makan hanya mampu melihat segala kelengkapan kedai miliknya dibawa arus dalam sekelip mata. Faezah Kamarudin, 44, berkata semasa kejadian kedainya masih dibuka kira-kira 1 pagi dan beberapa pelanggan yang masih ada sebelum tiba-tiba limpahan air dari Sungai Golok melanda kawasan sekitar. "Ketika itu saya hanya mampu melihat segala kelengkapan perniagaan saya dihanyutkan arus deras banjir. Ia berlaku begitu pantas tanpa sempat saya menyelamatkan barang-barang perniagaan.
"Kebetulan di belakang kedai saya ada paya. Jadi semua barang dibawa arus banjir, sampai kaunter saya pun dihanyutkan sekali ke paya itu," katanya di sini, hari ini. Beliau berkata, pelanggan yang ada dalam kedai sempat menyelamatkan diri apabila air mula memasuki kedai. "Air masuk kedai dengan pantas dan kedai saya tenggelam terus, memang ini kali pertama berlaku sejak saya berniaga. "Saya dan tiga pekerja diselamatkan anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) yang lalu di kawasan itu. Nyawa lebih penting dari harta benda," katanya.
Faezah berkata, akibat kejadian itu dia mengalami kerugian lebih RM30,000 selepas peralatan seperti televisyen, kerusi, meja dan lain-lain dihanyutkan air banjir. "Saya hanya mampu berserah dan perlu mengeluarkan modal lain untuk memulakan semula perniagaan. "Banjir kali ini adalah paling buruk, selalunya setiap kali banjir, air tidak masuk ke dalam kedai," katanya. Nasib serupa turut dialami seorang lagi peniaga, Hasnah Yusof, 58, yang menganggarkan kerugian lebih RM20,000 selain kedai yang mengalami kerosakan teruk. "Tidak ada apa yang mampu saya selamatkan, (tetapi) saya reda dengan apa yang berlaku," katanya. - Bernama
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment