Friday, January 3, 2014

Akibat kurang tidur


Akibat kurang tidur | Satu kajian yang dijalankan sebuah universiti Sweden mendapati, individu yang tidak tidur semalaman boleh berdepan kerosakan otak, sama seperti kesan dipukul di bahagian kepala. Menurut penyelidik, kajian yang dijalankan ke atas belia lelaki yang tidak tidur menunjukkan peningkatan dalam jumlah kimia yang sama seperti kerosakan otak. Pensyarah Universiti Uppsala, Profesor Christian Benedict berkata, bahan kimia NSE dan S-100B di dalam kepala merupakan petunjuk bagi kerosakan otak contohnya yang mengalami gegaran. "Menurut penemuan kajian, jumlah dua bahan kimia itu yang berada dalam darah responden, meningkat jika mereka tidak tidur semalaman.

"Semasa tidur, otak menjalankan tugas pembersihan daripada bahan toksik, manakala bahan kimia NSE serta S-100B meningkat sebagai tindak balas kepada bahan-bahan tersebut,'' katanya. Benedict berkata, penemuannya itu menyokong penyelidikan sebelum ini yang menyatakan bagaimana otak menggunakan waktu tidur untuk melakukan tugas pembersihan. Selain itu katanya, penemuan tersebut turut menyokong kajian sebelum ini yang mengaitkan kurang tidur dengan risiko mendapat penyakit nyanyuk, Parkinson dan penyakit sclerosis. Sebagai rumusan tambahnya, penemuan kajian itu menunjukkan tidur yang cukup pada waktu malam amat penting untuk mengekalkan kesihatan otak. - AGENSI




.

Awas! Ketahui akibat membeli rokok haram


Awas! Ketahui akibat membeli rokok haram | Anda boleh dikenakan denda, malah boleh dipenjara walau hanya membuat kesalahan membeli rokok haram, di bawah peraturan baru yang berkuatkuasa Rabu. Pindaan kepada Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 di bawah Akta Makanan 1983 menetapkan bahawa bukan hanya menjual rokok dalam paket yang tidak mempunyai amaran kesihatan kerajaan dan gambar yang menyalahi undang-undang, tetapi membelinya juga menyalahi undang-undang. Di bawah pindaan yang diwartakan pada Jun lepas, pembeli adalah sama seperti penjual yang mana mereka boleh dikenakan denda maksimum RM10,000, penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya.

Difahamkan peruntukan baru ini bertujuan untuk membanteras kegiatan penyeludupan rokok haram ke negara ini. Peraturan 15 (4A) Akta menetapkan: "Tiada seorang pun boleh menjual atau menawarkan jualan, membeli atau ada di dalam miliknya sebarang paket atau karton rokok yang tidak dicetak dengan teks-teks yang ditetapkan dan imej amaran kesihatan." Paket rokok tanpa tanda amaran berkemungkinan besar diseludup masuk dalam negara kerana pengeluar-pengeluar di Malaysia telah mematuhi kehendak-kehendak percetakan yang ditetapkan beberapa tahun sebelum ini. Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Khazali Ahmad berkata jabatan itu akan bekerjasama erat dengan Kementerian Kesihatan untuk menguatkuasakan peraturan baru ini. Katanya hanya kementerian boleh bertindak terhadap pengguna rokok haram.

"Kita akan membantu kementerian itu dalam apa-apa cara yang boleh dan juga meningkatkan perisikan untuk mengenal pasti outlet-outlet (selain dari kedai-kedai) menjual rokok haram," katanya. Beliau menambah bahawa jabatan itu akan meningkatkan operasi di pintu masuk utama di negara ini untuk mencegah penyeludupan. Khazali berkata jabatan itu telah merampas lebih 1.6 bilion batang rokok bernilai lebih daripada RM134 juta sejak 2011. "Sitaan bernilai RM811 juta duti tidak dibayar. "Kita telah menunjukkan peningkatan dalam usaha membanteras penyeludupan rokok," katanya. Pada tahun 2011, jabatan ini menyita rokok bernilai RM61.9 juta dan jumlah sitaan telah beransur-ansur berkurangan kepada RM42 juta pada 2012 dan RM31 juta tahun lepas.

"Kita perlukan kerjasama pengguna untuk mengurangkan permintaan bagi rokok ini," katanya. Pada bulan September, British American Tobacco mendakwa Malaysia merupakan salah sebuah negara dengan tahap tertinggi penggunaan rokok haram di dunia, mengatakan bahawa penyeludup meraih kira-kira RM1 bilion setahun manakala Kerajaan mengalami kerugian sehingga RM2 bilion dalam duti eksais. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dipetik sebagai berkata bahawa industri tembakau menyumbang RM3.52 bilion kepada cukai pendapatan di negara ini pada tahun 2012, berbanding dengan RM3.42 bilion pada tahun 2011.




.

Jom bertemu dengan bintang Running Man, Lee Kwang Soo, yang tiba pertama kali di Malaysia malam ini - 3 Januari 2013



Jom bertemu dengan bintang Running Man, Lee Kwang Soo, yang tiba pertama kali di Malaysia malam ini - 3 Januari 2013  | Sesi fan meeting pada Sabtu ini tidak batal! Dia datang, itu yang pasti! Jadi, kepada sekalian peminat Lee Kwang Soo, anda dialu-alukan untuk menjadi antara orang terawal yang menyambut kedatangan beliau buat pertama kalinya, ke tanah air. Menerusi kiriman email daripada pihak penganjur, model, pelakon juga penghibur popular Korea Selatan ini dijangka tiba hari ini (3 Januari), di Lapangan Terbang KLIA dengan pesawat Korea Airlines (KE 671), pada jam 10.30 malam ini. Kwang Soo cukup popular menerusi rancangan realiti no.1 terbitan SBS, Running Man kerana gelagatnya yang lucu sekaligus membuat para penonton tidak kering gusi setiap kali muncul dalam program tersebut.

Selain itu, oleh kerana beliau mempunyai ketinggian yang mencecah 190cm, Kwang Soo juga terkenal dengan jolokan 'zirafah'. Tak cukup dengan itu beliau juga dikenali sebagai seorang yang 'suka mencari perhatian' dan sering digelar 'pengkhianat' dalam Running Man. Dek kerana personalitinya yang kelakar dan penuh karisma, Kwang Soo pernah menerima jolokan "Asia Prince" kerana popularitinya yang merentasi majoriti negara di Asia menerusi Running Man.

Penghibur berusia 28 tahun ini bakal mengadakan sesi bertemu peminat Malaysia pada 4 Januari, Sabtu (esok). 'Temujanji' tersebut akan diadakan di pusat membeli-belah KWC Fashion Mall, Kuala Lumpur pada jam 7 malam. Pada acara Lee Kwang Soo Fan Meeting in Malaysia anjuran JS Concert Productions dan Faith & D Entertainment serta King Kong Entertainment itu, peminat akan dihiburkan dengan beberapa lagu nyanyian oleh Kwang Soo sendiri. Disamping berpeluang beramah mesra dengan beliau serta menjalankan beberapa aktiviti menarik. -MD




.

Sanggup baris diluar kedai beli benda terlarang. Okey kat sana dah tak terlarang..



Sanggup baris diluar kedai beli benda terlarang. Okey kat sana dah tak terlarang.. | Sejumlah orang sanggup berbaris di luar sebuah kedai yang menjual ganja di sini kelmarin. Situasi yang sama juga kelihatan di Kelab Kanabis di Breckenridge apabila beberapa orang beratur dalam cuaca sejuk untuk membeli ganja. Penjualan 28 gram ganja untuk setiap penduduk negeri Colorado yang berusia 21 tahun ke atas mula dilaksanakan pada 1 Januari lalu. "Saya telah menunggu sepanjang hidup saya untuk membeli ganja seperti ini," kata seorang penduduk, Scott Van Pelt yang berusia 43 tahun di luar Kelab Kush di Denver, negeri ini. - Agensi

Trofi Piala Dunia FIFA ada di Malaysia



Trofi Piala Dunia FIFA ada di Malaysia | Simbol paling ikonik dalam dunia bola sepak, Trofi Piala Dunia FIFA, tiba di Malaysia hari ini dalam siri penjelajahan trofi tersebut selama sembilan bulan merangkumi 88 negara. Trofi bola sepak paling berprestij itu tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang dengan pesawat khas dengan diiringi oleh Duta FIFA dan bekas penyerang Manchester United, Dwight Yorke dan Pengurus Bola Sepak Global, Coca-Cola, Annamaria Gazda. Coca-Cola merupakan rakan kongsi korporat Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA). Malaysia merupakan persinggahan ke-56 selepas Hanoi, Vietnam dalam siri penjelajahan sejauh 149,576.78 kilometer dari Rio de Janeiro, Brazil, yang bermula pada 12 September tahun lepas. Selepas Malaysia, trofi itu akan singgah di Jakarta, Indonesia, Isnin ini. - Bernama



.

Misteri kematian bayi di taska. Pagi sihat, balik keras dan kaku


Misteri kematian bayi di taska. Pagi sihat, balik keras dan kaku | Seorang bayi lelaki berusia empat bulan meninggal dunia secara misteri di sebuah taska di Desa Pinggiran Putra, dekat sini, dan lebih menyayat hati kematiannya hanya disedari ibu bapa yang mengambil jam 2.15 petang, semalam. Bayi malang itu, Azeem Rifhan dipercayai sudah sejuk dan kaku ketika diserahkan kepada ibunya, Rossmaine Sulaiman, 38, dan pengasuh mendakwa tidak tahu bagaimana keadaan itu berlaku kerana menyangka bayi itu nyenyak tidur. Melihat keadaan anak kelimanya yang sudah mengeras dan biru, Rossmaine terus membawanya ke Hospital Putrajaya (HPj) untuk rawatan lanjut, malangnya bayi itu gagal diselamatkan walaupun sudah diberi bantuan pernafasan (CPR) lebih satu jam oleh doktor bertugas.

“Saya menghantar Azeem jam 7.15 pagi sebelum keluar bertugas sebagai jururawat di HPj, selesai bertugas saya dan suami terus ke taska untuk mengambil anak, ketika mengambil dari tangan pengasuh saya terkejut apabila merasakan tangan Azeem mengeras dan tiada tindak balas, manakala tubuhnya sejuk,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat HPj, di sini, lewat petang semalam. “Ketika ditanya kepada kakitangan taska apa yang terjadi pada Azeem mereka hanya menjawab tidak tahu kenapa bayi tidak bergerak, menyebabkan saya terus membawanya ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat HPj, di sini, lewat petang semalam. Doktor mengesahkan Azeem sudah meninggal dunia antara jam 11 hingga 12 tengah hari tanpa disedari pengasuh.

Difahamkan, kematian bayi malang itu bukan disebabkan tersedak susu kerana pemeriksaan mendapati susu atau cecair yang berada di dalam kerongkong bayi itu sangat sedikit. “Segalanya berlaku dengan pantas. Bayangkan, saya menghantar anak ke taska dalam keadaan sihat tapi saya hanya membawa pulang tubuhnya yang sudah mengeras dan kaku,” katanya. “Saya menangis hingga lembik kerana tidak menyangka Azeem pergi begitu cepat. Baru semalam dia bergelak ketawa ketika bermain bersama abang-abangnya, pemergiannya pasti akan dirindui,” katanya sebak. Rossmaine berkata, dia cuba menghubungi pemilik taska berkali-kali namun taliannya dimatikan, sebelum suami pemilik taska itu menghubungi bagi bertanya dengan lebih lanjut.

“Suami kepada pemilik taska berjanji untuk datang ke sini (hospital) tapi sampai sekarang (malam tadi) kelibatnya belum muncul”, katanya. Menurutnya, dia amat kesal dengan kejadian yang menimpa anaknya kerana pihak taska seolah-olah lepas tangan dan tidak mengambil berat terhadap anak-anak yang dijaga mereka hingga langsung tidak menyedari kematian bayinya. Lebih menyedihkan, katanya hanya dua pengasuh yang bekerja di situ untuk menjaga puluhan bayi dan kanak-kanak. Dia berkata, suaminya sudah membuat laporan di Balai Polis Dengkil, petang semalam. Menurutnya, bayi berkenaan disembahyang dan dikafankan di HPj sebelum jenazahnya dibawa pulang ke Kelantan untuk dikebumikan. Sementara itu pemangku Ketua Polis Daerah Sepang Deputi Superintenden Zaldino Zaludin ketika dihubungi mengesahkan kematian mangsa tiada unsur jenayah. -HM





.

Menteri Besar Terengganu,sekali lagi menarik perhatian rakyat. Kali ini bantu mangsa kemalangan jalan raya



Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, sekali lagi menarik perhatian rakyat. Kali ini bantu mangsa kemalangan jalan raya | Selepas digelar ‘Robin Hood’ kerana menahan lori roti sebelum diagihkan kepada mangsa banjir bulan lalu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, sekali lagi menarik perhatian apabila membantu mangsa kemalangan jalan raya, petang semalam. Dalam kesibukan bergegas ke beberapa lokasi bagi menghadiri program bersama masyarakat di Kijal, Ahmad sempat membantu mangsa kemalangan dua kenderaan di Seri Bandi, Kemaman, semalam.


Arah pemandu berhenti 

Beliau yang secara kebetulan melalui lokasi kejadian selepas menghadiri program penyampaian bantuan dana bakti remaja di Dewan Seri Bandi, Kijal, Kemaman jam 3.45 petang, mengarahkan pemandunya berhenti sebaik melihat kemalangan itu. Kemalangan itu membabitkan sebuah PROTON Perdana dengan PERODUA Viva yang menyebabkan pemandu dan penumpang dua kenderaan itu cedera, termasuk seorang tersepit dalam remukan PROTON Perdana. Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, Rosli Zakaria, berkata kemalangan itu membabitkan tujuh mangsa, termasuk seorang mangsa wanita yang parah dalam PERODUA Viva. “Ketika Ahmad singgah di lokasi, mangsa yang cedera belum dihantar ke hospital kerana menunggu ketibaan ambulans. “Menyedari keadaan itu, beliau membenarkan keretanya diguna bagi menghantar mangsa ke Hospital Kemaman. Malah, beliau turut menahan beberapa kereta yang lalu di situ untuk menghantar semua mangsa yang cedera ke hospital untuk rawatan segera,” katanya.


Bantu mangsa tersepit 

Rosli berkata, Ahmad turut cuba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kereta, tetapi mangsa tidak dapat dikeluarkan berikutan keadaannya yang tersepit agak parah. “Namun, beliau tetap berada di situ sambil tidak putus-putus memberi semangat kepada mangsa untuk bertahan sehingga dikeluarkan anggota Bomba dan Penyelamat yang dikejarkan ke lokasi. “Selepas semua selesai, baru Ahmad bergegas ke majlis bersama masyarakat di Dewan Sivik Kijal dengan menumpang sebuah kenderaan lain yang menuju ke program sama,” katanya. Bulan lalu, Ahmad digelar ‘Robin Hood’ oleh blogger pembangkang, berikutan tindakannya menahan lori muatan roti sebelum bahan makanan itu diagihkan kepada mangsa banjir di Chendor, Pahang.-BH




.

Cara baru along ugut peminjam wang..


Cara baru along ugut peminjam wang.. | Jika sebelum ini ah long sering mengugut mangsa dengan menyimbah cat, namun kali ini seorang ibu menerima ancaman dibaling ular berbisa ke kawasan rumahnya ekoran kegagalan anaknya membayar hutang mereka. Wong See Mooi, 54, berkata, kejadian berlaku apabila anak lelakinya yang berusia 29 tahun meminjam sejumlah wang dengan ah long dan bertindak melarikan diri dari rumah mereka di Kajang dekat sini pada 5 Disember lalu kerana tidak mampu membayar hutang tersebut. "Konco-konco ah long terbabit telah beberapa kali menelefon saya bagi mencari anak bongsu saya. "Pada 19 Disember lalu mereka telah mencampakkan ular tedung di rumah bagi mengugut saya, nasib baik haiwan itu berjaya dibunuh oleh jiran saya," katanya dalam sidang akhbar di Wisma MCA.

See Mooi berkata, selang beberapa hari, konco-konco ah long itu sekali lagi datang ke rumahnya kira-kira pukul 11 malam dan membuat bising sambil menggegarkan pagar rumah. "Apabila saya keluar rumah didapati bahagian luar rumah saya telah disimbah dengan cat merah," ujarnya. Ekoran dua kejadian itu, katanya, dia telah membuat laporan polis di Balai Polis Kajang pada 25 Disember lalu. Sementara itu, dalam sidang akhbar sama, tiga lagi individu membuat aduan di Biro Pengaduan Awam MCA mendakwa mereka turut diugut oleh konco-konco ah long dengan menyimbah cat ke rumah masing-masing. Dakwa dua daripada individu itu, ah long terbabit mengugut demikian setelah konco-konconya gagal mendapatkan hutang daripada anak mereka yang membuat pinjaman manakala seorang lagi disebabkan oleh penyewa bilik di rumahnya lari daripada membayar hutang. -Utusan




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!