Tuesday, February 18, 2014

Jadi jutawan dalam sekelip mata di Masjidilharam


Jadi jutawan dalam sekelip mata di Masjidilharam | Ramai penduduk yang tinggal di sekitar Masjidilharam menjadi jutawan dalam sekelip mata, apabila kerajaan Arab Saudi melancarakan program pembesaran masjid tersebut. Salah seorang penduduk tersebut, Mustafa al-Balushi, yang mendiami sebuah rumah kecil berhampiran masjid itu, bakal menjadi seorang jutawan, selepas jawatankuasa yang menyelia program pembesaran masjid itu menganggarkan rumahnya yang hanya berukuran 120 meter persegi bernilai 8 juta riyal (RM7.02 juta). Mustafa, seorang kakitangan kerajaan yang bertugas sebagai penghantar barangan dan sering mengalami masalah kewangan berkata, dia mewarisi rumah tersebut daripada bapanya. "Bapa saya membeli rumah usang itu lebih 100 tahun lalu. Jawatankuasa yang menyelia projek pembesaran masjid itu memberitahu saya, rumah saya ini bernilai 65,000 riyal (RM57,045.3) bagi setiap satu meter persegi. "Jika urusan jual beli ini menjadi kenyataan, kehidupan saya akan berubah.

 ''Saya bercadang untuk membeli sebuah rumah besar dan kereta. Semuanya berubah dalam sekelip mata dengan kuasa Allah SWT,'' jelas Mustafa. Mustafa berkata, dia tetap merasa sedih kerana terpaksa meninggalkan rumah tersebut dan berpindah ke kawasan lain. "Sukar untuk melupakan kenangan indah tinggal di rumah ini. Setiap hari saya akan mendengar laungan azan. ''Tidak terkecuali juga, kami pasti akan terkenangkan suasana syahdu setiap kali tiba Ramadan dan hubungan kami dengan jemaah haji dan pelawat yang datang ke masjid ini. Wang tidak akan dapat menggantikan semua yang kami lalui selama tinggal di sini,'' katanya. Seorang pemilik sebuah institusi hartanah, Abbas al-Tukhi berkata, lebih 12,000 keluarga kini menetap di sekitar kawasan pembesaran Masjidilharam dan mereka layak menerima pampasan. "Kehidupan mereka bakal berubah dalam sekelip mata,'' katanya. '

'Beberapa tahun lalu, golongan kaya pernah menetap di kawasan perumahan di sekitar masjid ini, namun mereka telah menjual rumah mereka dan berpindah ke kawasan lain, hanya segelintir penduduk masih dibenarkan tinggal di kawasan berkenaan,'' ujar Abbas. Tambahnya, harga tanah di kawasan ini berbeza-beza mengikut keluasan dan kedudukan tanah itu dengan Masjidilharam, sebagai contoh jalan raya yang terletak berhampiran masjid berkenaan bernilai 90,000 riyal (RM78,985.80) bagi satu meter persegi. "Jumlah wang pampasan yang terlalu tinggi akan menyebabkan berlaku ledakan besar dalam pasaran hartanah di Mekah. Harga tanah dan rumah termasuk kadar sewa dijangka meningkat sebanyak 30 peratus berikutan peningkatan harga hartanah di kawasan ini,'' katanya. - AGENSI





.

Kenapa (sebab) kereta Proton murah di luar negara?


Kenapa (sebab) kereta Proton murah di luar negara? | SEBELUM ini, sudah banyak kali kita mendengar dakwaan harga jualan bagi beberapa model kereta keluaran Proton Holdings Bhd (Proton) di luar negara dikatakan lebih rendah berbanding harga dalam negara. Ramai penulis blog dan pengguna mendakwa kereta Proton di negara seperti Australia dan Arab Saudi dijual jauh lebih murah. Pemeriksaan menunjukkan, sebagai contoh, Proton Preve di Malaysia dijual pada harga bermula daripada RM58,921 bagi model 1.6 Executive Manual, tetapi di Australia, model sama dijual pada harga RM46,964 (atau 15,990 dolar Australia).

Namun, jika dilihat dalam laman sesawang Proton Australia, harga asal Proton Preve di Australia ditetapkan pada RM55,775 (18,990 dolar Australia) dan harga RM46,964 itu hanyalah promosi Proton di sana. Tetapi ada pula yang mempersoalkan, jika Proton mampu memberikan harga promosi serendah itu di Australia, mengapa tidak Proton melakukan perkara sama di Malaysia yang merupakan negara pengeluar kenderaan tersebut?


Harga Proton murah kerana perlu bersaing 

Bagi mendapatkan jawapan mengenai isu harga Proton yang dikatakan lebih murah di negara luar berbanding Malaysia, Sinar Harian menghubungi salah seorang pakar industri automotif untuk mendapatkan penjelasan dan pandangan beliau mengenai hal tersebut. Menurutnya, bagi syarikat pengeluar kenderaan termasuk Proton, apa yang penting adalah keuntungan keseluruhan, di mana kereta dijual di dalam Malaysia mahupun dieksport ke luar negara mestilah secara keseluruhannya memberi keuntungan. “Apa yang saya tahu daripada Proton, apabila kereta Proton memasuki pasaran Australia buat pertama kali, mereka perlu bersaing kerana pasaran automotif di sana lebih kompetitif berbanding pasaran Malaysia.

“Begitu juga dengan harga kereta Proton di sana, tidaklah murah sangat cuma sedikit murah daripada harga di Malaysia. Ini kerana kalau dijual mahal di Australia, Proton mungkin menanggung risiko kekurangan pembeli," katanya yang enggan dikenali. Menurut beliau, pada peringkat permulaan, apa yang penting adalah Proton perlu menembusi pasaran automotif di Australia serta meningkatkan kesedaran pengguna terhadap jenama Proton di negara itu, menyebabkan syarikat itu perlu menawarkan promosi terbaik termasuk harga jualan yang dilihat lebih rendah berbanding di Malaysia sendiri.


Tidak tahu sama ada Proton rugi atau untung 

Walaupun kereta Proton dijual dengan harga murah di luar negara, tidak boleh dipastikan sama ada pengeluar kenderaan nasional itu memperoleh keuntungan atau mengalami kerugian. "Kita tidak tahu mereka untung atau rugi kerana kita tidak tahu berapa kos pembuatan sebuah kereta. Kalau kosnya kurang daripada harga jualan (walaupun murah), maknanya Proton boleh melihat model mana yang sesuai untuk memasuki pasaran yang telah disasarkan. “Katakanlah penembusan pasaran kereta disasarkan sekitar RM40,000 di sesuatu negara, jadi Proton perlu tahu sama ada harga itu kompetitif atau tidak dan melihat kesedaran pengguna di negara tersebut mengenai jenamanya," katanya.

Menurut beliau, Proton sebelum ini diketahui mengeksport kereta keluarannya ke lebih 50 negara seluruh dunia tetapi di sesetengah negara itu, Proton cuma mampu menjual bilangan kereta yang sedikit. "Jika hanya dapat jual sedikit kereta, macam mana hendak buat tawaran selepas jualan seperti perkhidmatan penyenggaraan? Ini juga tidak membantu dalam menjenamakan Proton di negara tersebut. “Tetapi berbeza dengan pengurusan baru Proton, sekarang mereka hanya akan memasuki pasaran yang mereka rasa boleh menjual kenderaan dengan harga agak tinggi dan dengan harga tersebut, mereka juga dapat menyediakan perkhidmatan selepas jualan seperti servis kereta," katanya. -SH

Gambar Erra Fazira di Mahkamah Tinggi Syariah dan hak penjagaan anak, Engku Aleesya



Gambar Erra Fazira di Mahkamah Tinggi Syariah dan hak penjagaan anak, Engku Aleesya | Desas-desus perceraian dan kemelut rumah tangga pelakon Erra Fazira dan suaminya, Engku Emran Engku Zainal Abidin yang digembar-gemburkan pelbagai pihak sejak kebelakangan ini akhirnya terjawab hari ini apabila pelakon itu sah bercerai talak satu di Mahkamah Tinggi Syariah di sini. Hakim Syarie Mohammad Adib Husain mengesahkan lafaz cerai secara baik oleh Engku Emran, 39, terhadap Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 40. Semasa prosiding tersebut, pasangan itu juga bersetuju hak penjagaan anak perempuan mereka, Engku Aleesya, 5, diserah kepada Engku Emran manakala hak bersama bermalam diserahkan kepada Erra.


Mereka turut memperoleh hak cuti persekolahan dan perayaan secara bergilir-gilir manakala tuntutan nafkah, idah dan mutaah digugurkan, setelah dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Engku Emran yang memakai kot kelabu dilihat sebak dan terhenti seketika semasa melafazkan talak tersebut manakala Erra kelihatan tenang. Sebelum itu, Erra yang diwakili peguam syarie, Ahmad Nazib Johari dan Engku Emran diwakili peguam syarie, Roshdan Sujak mengesahkan telah tinggal secara berasingan sejak setahun enam bulan lalu. Erra memfailkan permohonan tersebut semalam mengikut Seksyen 47 dan Seksyen 82 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003.


Pelakon itu yang berjubah moden dan bertudung juga berwarna kelabu serta memakai topeng penutup mulut dan Engku Emran, hadir di mahkamah di sini kira-kira pukul 12 tengah hari. Pasangan itu bernikah pada 25 Oktober 2007 di Restoran Puteri, Taman Tun Dr Ismail dan Engku Aleesya merupakan anak tunggal pasangan itu. Sebelum ini Erra Fazira pernah mendirikan rumah tangga dengan anggota kumpulan KRU, Yusry Abdul Halim pada Jun 2003, namun perkahwinan mereka hanya mampu bertahan selama tiga tahun. -BH





.

Datuk Misbun Sidek bakal kembali ke dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM)?



Datuk Misbun Sidek bakal kembali ke dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM)?  | Jurulatih perseorangan lelaki negara Rashid Sidek sedia menerima kehadiran semula Datuk Misbun Sidek ke dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi mengisi jawatan Pengarah Kejurulatihan sekiranya itu pilihan terbaik daripada BAM. Rashid yang enggan mengulas panjang mengenai abangnya itu berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pihak pengurusan untuk membuat keputusan terbaik. “Tentang dia (Misbun) saya tidak mahu komen sebab semua ini adalah tugas pihak pengurusan. Saya tak boleh kata apa-apa. “Kita tunggu sajalah keputusan daripada pihak pengurusan. “Untuk saya, memang tiada sebarang halangan apa-apa. Kalau dia (Misbun) masuk pun, saya boleh bekerjasama dengan dia,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan semalam.

Rashid juga berkata, beliau sedia menerima sesiapa saja yang dilantik oleh BAM walaupun ia bukanlah Misbun asalkan individu berkenaan mampu membantu meningkatkan pencapaian badminton negara. “Kalau individu lain pun saya tak kisah. Yang penting mereka dipilih itu memang komited untuk meningkatkan lagi struktur badminton negara termasuk meningkatkan prestasi semua barisan pemain,” katanya. Misbun dilaporkan antara individu yang menjadi antara calon pilihan BAM bagi menjawat jawatan yang baru diperkenalkan itu selepas terpaksa menolak calon sebelum ini iaitu bekas jaguh perseorangan Denmark Morten Frost Hansen.

Antara sebab utama BAM terpaksa melupakan Frost adalah permintaan gaji terlalu tinggi iaitu kira-kira RM100,000 sebulan yang dimahukan oleh juara empat kali saingan Seluruh England itu. Misbun adalah individu yang bertanggungjawab membina karier cemerlang pemain perseorangan negara yang juga jaguh nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei. Bagaimanapun beliau membuat keputusan mengejut dengan meletak jawatan pada 2011 kerana dikatakan sudah tidak senang dengan pengurusan BAM. -BH




.

Cucuk mata buaya dengan jari tangan berjaya menyelamatkannya dari menjadi korban reptilia itu


Cucuk mata buaya dengan jari tangan berjaya menyelamatkannya dari menjadi korban reptilia itu | Tindakan nekad seorang pekerja ladang sawit warga Indonesia mencucuk mata seekor buaya dengan jari tangan berjaya menyelamatkannya daripada menjadi korban reptilia itu di sungai berhampiran Kampung Jemboi. Difahamkan, lelaki berusia 41 tahun tersebut sedang membersihkan badannya sebelum buaya sepanjang kira-kira tiga meter secara tiba-tiba menerkam kaki kirinya. Dalam kejadian pukul 8 malam, mangsa yang merupakan pekerja ladang dari Kalimantan Barat yang enggan dikenali diserang, lantas dia terus mencucuk mata kiri buaya tersebut beberapa kali sehingga melepaskan gigitannya. "Mujur saya tidak tercampak ke dalam sungai dan sempat mencucuk mata buaya itu walaupun dalam keadaan gelap.

 "Saya juga sempat menendang kepala buaya berkenaan sebelum kelibatnya hilang daripada pandangan," katanya ketika ditemui di Hospital Umum Sarawak (HUS), di sini semalam. Tambahnya, dia yang telah beberapa tahun mandi di sungai berkenaan tidak menyangka perkara tersebut akan terjadi kepada dirinya. Katanya, cemas melihat kecederaan serius di kaki kirinya, dia terus menghubungi rakannya untuk dihantar ke Hospital Serian. "Nasib baik rakan saya bertindak pantas, jika tidak mungkin sesuatu yang buruk akan menimpa saya akibat kehilangan banyak darah," jelasnya yang terpaksa dipindahkan ke HUS untuk mendapatkan rawatan lanjut. Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian dan menasihati orang ramai agar berhati-hati ketika mandi di sungai berkenaan. -Utusan




.

Parah! Remaja rancang rompak rumah keluarga sendiri


Parah! Remaja rancang rompak rumah keluarga sendiri | Kemaruk mahu berjoli bersama rakan, seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun dikatakan tergamak merancang bersama teman lelakinya berusia 17 tahun dan dua rakan untuk menyamun rumah sendiri di Taman Nusa Bestari, di sini, sebelum membuat laporan polis palsu. Dalam kejadian pada jam 8.15 malam pada 4 Februari lalu, remaja perempuan itu mendakwa bekas teman lelaki menghubungi kononnya ingin berjumpa di belakang rumah sebelum menyamunnya.

Ketua Polis Daerah Nusajaya Superintendan Noor Hashim Mohamed berkata, pelajar itu mendakwa dia membuka pintu belakang rumah sebelum secara tiba-tiba bekas teman lelakinya bersama dua rakan lain menyerbu ke dalam rumah. “Pelajar itu memaklumkan dia kemudian dipukul sebelum bekas teman lelakinya meletakkan pisau di leher serta perut supaya dia mendiamkan diri dan pada masa sama tiga suspek menyelongkar barang di dalam rumah sebelum melarikan pelbagai barangan berharga,” katanya.-HM



 P/S - Sekadar gambar hiasan



.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!