Thursday, October 2, 2014

[Gambar] Jambatan Jamrah baru yang kini boleh memuatkan 500,000 jemaah dalam satu masa



[Gambar] Jambatan Jamrah baru yang kini boleh memuatkan 500,000 jemaah dalam satu masa | Jambatan Jamrah baharu kini boleh memuatkan 500,000 jemaah dalam satu masa, menurut Menteri Hal Ehwal Perbandaran dan Luar Bandar, Putera Mansour bin Miteb, kelmarin. Beliau memaklumkan kementeriannya juga merancang untuk memperluaskan laluan di Mina untuk memberi keselesaan kepada jemaah haji pada masa akan datang. "Anggota keselamatan akan turut ditempatkan di sekitar Jambatan Jamrah untuk memantau pergerakan jemaah sepanjang ibadat melontar," katanya dalam laporan Arab News.

Sementara itu, Gabenor Makkah, Putera Mishaal bin Abdullah mengesahkan persediaan menerima kedatangan jemaah berjalan lancar seperti dijadualkan. Difahamkan, beberapa pemimpin negara Islam termasuk Presiden Sudan, Omar Bashir, Presiden Somali, Hassan Sheikh Mahmoud dan Presiden Maldives, Abdullah Yameen turut mengerjakan Rukun Islam Kelima itu pada musim ini. Dalam satu kenyataan lain, Presiden Meteorologi dan Alam Sekitar melaporkan cuaca di Makkah, Madinah dan kawasan sekitarnya adalah sederhana dengan suhu di bawah 36 darjah Celsius. -AP



.

#MH17 : Identiti 5 lagi jenazah yang akan tiba esok 03.10.2014



#MH17 : Identiti 5 lagi jenazah yang akan tiba esok 03.10.2014 | Lima lagi jenazah warga Malaysia yang terkorban dalam nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 akan tiba di tanah air esok dari Amsterdam dan diberikan penghormatan ketenteraan seperti sebelum ini. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata ia melibatkan seorang beragama Islam dan empat bukan beragama Islam. Jenazah Matthew Ezekial Sivagnanam; pasangan suami isteri, Liew Yau Chee dan Lee Kiah Yeen; Meling Anak Mula; dan Muhammad Afruz Tambi dijadual tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) jam 8.30 pagi.

"Daripada lima jenazah ini, tiga jenazah akan diterima dalam keranda, manakala dua jenazah (pasangan suami isteri-Liew Yau Chee dan Lee Kiah Yeen) akan dibawa dalam bekas abu. "Bagaimanapun, dua bekas abu itu akan dibawa dalam satu kenderaan jenazah sahaja atas permintaan keluarga mangsa," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Hishammuddin berkata, bekas abu Liew Yau Chee dan Lee Kiah Yeen akan dibawa ke Nirvana Sungai Besi manakala jenazah Matthew Ezekial Sivagnanam pula akan dibawa ke St Fatima Church di Brickfields. Jenazah Muhammad Afruz dan Meling Anak Mula pula akan diterbangkan menggunakan pesawat C-130, masing-masing ke Kuching dan Bintulu.

Hishammuddin berkata, sehubungan itu pihak kerajaan amat mengharapkan semua pihak termasuk media supaya menghormati kesedihan yang dirasai keluarga mangsa tragedi MH17, sekali gus bersama-sama menjaga privasi dan sensitiviti mereka. Katanya, setakat ini kerajaan berjaya membawa pulang 37 jenazah rakyat Malaysia dari Belanda termasuk seorang yang memiliki dua kewarganegaraan Malaysia dan Belanda iaitu Loh Yan Hwa. "Jumlah 37 jenazah ini melibatkan 24 orang beragama Islam dan 13 bukan Islam. Jumlah ini juga melibatkan 22 penumpang serta 15 anak kapal.

"Dengan lima lagi jenazah dijangka dibawa pulang esok, maka kita telah membawa pulang 42 jenazah rakyat Malaysia dari Belanda. Ini bermakna hanya dua lagi jenazah warga negara Malaysia belum dapat dikesan atau dikenal pasti," katanya. Hishammuddin juga berkata, kerajaan konsisten bahawa pihak yang bertanggungjawab menembak pesawat MH17 harus dibawa ke muka pengadilan dan seterusnya menerima hukuman yang setimpal atas jenayah atau pembunuhan yang mereka lakukan. Penerbangan MH17 yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai semasa dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur. - Bernama



.

Pondan yang telah melakukan pembedahan jantina kini menyesal dan ingin kembali ke jantina asal


 Pondan yang telah melakukan pembedahan jantina kini menyesal dan ingin kembali ke jantina asal | Seorang pondan yang sebelum ini mendapat sokongan penyanyi Katie Price untuk melakukan pembedahan jantina bernilai £10,000 (RM53,000) kini memohon Tabung Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) membiayai satu lagi pembedahan untuk kembali menjadi lelaki. Chelsea Attonley, 30, yang dilahirkan sebagai lelaki dan dinamakan Matthew mendakwa kehidupan sebagai perempuan ‘terlalu meletihkan’ dan mengharapkan pembedahan berjumlah £14,000 (RM74,000) itu dibiayai wang pembayar cukai melalui NHS.

Dia yang menukar namanya pada 2008 selepas pembedahan membesarkan payudara memberitahu majalah Closer bahawa dia letih berpakaian dan berkelakuan seperti wanita, tambahan pula tidak pernah diterima sepenuhnya sebagai perempuan oleh orang sekeliling.
Sehubungan itu, dia mahu melakukan pembedahan mengecilkan payudara selain mendapat alat sulit lelaki palsu. “Memang sejak kecil saya mahu menjadi perempuan, namun hakikatnya saya tidak akan menjadi wanita sebenar tidak kiralah berapa banyak pembedahan dilakukan,” katanya. “Malah saya turut mengalami kemurungan akibat pengambilan hormon. Lebih baik saya terima saja hakikat saya dilahirkan sebagai lelaki,” katanya.

Chelsea yang mengalami krisis identiti sepanjang membesar memilih menjadi pondan dikenali sebagai Miss Malibu sebaik dewasa. Dia juga pernah mengalami kemurungan selepas usahanya melakukan pembedahan jantina ditolak doktor. Bagaimanapun, Chelsea yang kerap meniru gaya Katie dengan memakai kasut tumit tinggi serta rambut palsu sepertinya kemudian terserempak dengan idolanya itu di sebuah kelab malam pada 2007. Semangatnya kembali berkobar-kobar untuk melakukan pembedahan selepas Katie memberi galakan dan dia berjaya memujuk doktornya membuatnya.

Malangnya, tujuh tahun selepas pembedahan itu, Chelsea mahu kembali menjadi lelaki tanpa mengeluarkan wangnya sendiri. Pertubuhan Pembayar Cukai (TPA) berkata NHS tidak patut melayan permintaan Chelsea itu. Pengarah penyelidikannya Alex Wild berkata: “NHS perlu menapis kes-kes yang memang memerlukan rawatan berbanding pembedahan yang dibuat sekadar untuk memenuhi kehendak kecantikan. “Cukuplah wang pembayar cukai dibazirkan,” katanya. Sementara itu, Chelsea tidak langsung menunjukkan rasa bersalah kerana mahu NHS membiayai pembedahannya untuk kembali menjadi Matthew. - Agensi





.

Gua Miao Room diumum gua paling besar di dunia sekali gus mengatasi rekod keluasan Gunung Mulu di Sarawak



Gua Miao Room diumum gua paling besar di dunia sekali gus mengatasi rekod keluasan Gunung Mulu di Sarawak | Sebuah gua di China diumumkan sebagai gua paling besar di dunia sekali gus mengatasi rekod keluasan Gunung Mulu yang terletak di Taman Negara Mulu di Sarawak, Malaysia. Perkara itu diumumkan laman web National Geographic, baru-baru ini selepas satu kerja pengukuran gua yang diberi nama sebagai Miao Room itu dilakukan sebuah pasukan dari Universiti Lancaster, United Kingdom, tahun lalu. Miao Room dilaporkan mempunyai keluasan 10.78 juta meter padu, melebihi keluasan Gua Mulu di Sarawak dengan kiraan lebih 10 peratus dan boleh memuatkan sebuah pesawat Boeing 747.


Bagaimanapun, Gua Mulu masih kekal sebagai gua yang mempunyai ruang permukaan terbesar di dunia iaitu dengan keluasan kira-kira 47,005 meter padu. Gua besar yang terletak pada kedudukan 100 meter dari bawah tanah itu terletak di Taman Negara Ziyun Getu He di ibu negeri wilayah Guizhou, Guiyang, di China, kawasan yang turut menempatkan beberapa gua terbesar di dunia. Miao Room pertama kali direkodkan oleh pasukan geologi China-Eropah pada 1989, namun usaha mengukur saiz sebenar gua itu hanya dilakukan tahun lalu.

Gunung Mulu

"Bagi saya, gua ini adalah ibarat penemuan K2 atau puncak Himalaya yang lebih besar berbanding Gunung Everest," kata ketua bersama ekspedisi yang mengkaji gua di China, Tim Allen kepada National Geographic sebagaimana lapor Mail Online. Melalui kerja pengukuran yang menggunakan teknik pemetaan laser tiga dimensi (3D), Miao Room digambarkan mempunyai dua kubah yang besar dan hanya boleh dimasuki menerusi saluran air bawah tanah Sungai Getu Hu. -AP




.

Suami terkilan tidak dapat berada di sisi isteri sewaktu menghembus nafas terakhir


 Suami terkilan tidak dapat berada di sisi isteri sewaktu menghembus nafas terakhir | Suami Allahyarhamah Che Yah Jaafar, 62, Osman Darus, 67, terkilan kerana tidak dapat berada di sisi isteri sewaktu menghembus nafas terakhir di Hospital An Noor, di sini pada 24 September lepas. Osman berkata sebaik tiba di hospital, beliau dimaklumkan isterinya telah meninggal dunia pada 9.30 pagi waktu tempatan (2.30 petang waktu Malaysia) akibat jangkitan kuman dalam paru-paru. Beliau berkata isterinya yang tiba di Tanah Suci dengan keadaan yang sihat dan cergas, tiba-tiba demam dan selesema serta dimasukkan ke wad Unit Rawatan dan Kecemasan (ICU) Hospital Arab Saudi pada 21 September.

"Sejak itu, saya hanya dapat melihat isteri melalui tingkap kaca kerana pihak hospital tidak benarkan masuk ke bilik tersebut", katanya kepada media Malaysia selepas bertemu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di maktab penginapan jemaah Malaysia di Hotel Land Premium di sini, Rabu. Pada majlis itu, Jamil Khir mengumumkan Tabung Haji (TH) akan melaksanakan badal haji atau upah haji untuk 25 warga Malaysia termasuk enam bakal jemaah haji yang meninggal dunia sebelum sempat mengerjakan ibadah haji, termasuk Che Yah.

Yang lain ialah Nastain Ahmad, 48, dari Sabah yang maut dalam kemalangan sebelum berlepas ke tanah suci, Maznah Mat Dali (51 tahun) penghidap kanser hati dari Sekilau, Omar Mahmud (58) dari Johor Bahru, Ab Khalim Md Yusof (59) dari Shah Alam dan Rossnah Abu Hassan (52) dari Kedah yang meninggal di tanah Suci. Osman yang bersyukur atas usaha TH melaksanakan badal haji untuk isterinya, tidak menyangka isterinya akan meninggal dunia ketika berada di tanah suci.

"Tak sangka langsung yang isteri saya akan pergi (buat selama-lamanya)... semua kerja dia buat, termasuk menguruskan kedai," kata bapa kepada seorang anak itu. Sementara itu, suami Allahyarhamah Maznah, Efendi Osman, 55, berkata isterinya itu amat berhajat untuk mengerjakan haji. "Bila datang ke sini dia sihat, cuma dua minggu lepas hatinya dijangkiti kuman dan doktor kata ada jangkitan pada paru-parunya," katanya. "Setelah dimasukkan ke hospital sejak 25 September lalu, semalam dia menghembuskan nafas terakhir.

Jenazah disembahyangkan di Masjidil Haram dan dikebumikan selepas solat Asar," kata Efendi yang berasal dari Sekilau, Pahang. Beliau berkata anak-anaknya di tanah air telah dimaklumkan dan mereka reda dengan pemergian ibu mereka. "Insya-Allah, saya ada kekuatan menghadapinya," katanya kepada petugas media. Sementara itu, Said Isa, 72, suami Allahyarhamah Rossnah yang meninggal dunia kerana sakit jantung pada 23 September lepas berkata beliau reda dengan kematian isterinya itu. Menurut beliau, isterinya tidak mempunyai sebarang penyakit dan bersyukur atas usaha TH melaksanakan badal haji untuk isterinya. - Bernama



.

Ngeri!! Remaja cedera, kaki kiri ditembusi besi konkrit sepanjang satu meter ketika membonceng motosikal



Ngeri!! Remaja cedera, kaki kiri ditembusi besi konkrit sepanjang satu meter ketika membonceng motosikal | Seorang remaja perempuan cedera selepas kaki kirinya ditembusi besi konkrit sepanjang satu meter ketika membonceng motosikal di Bukit Kukus, di sini, malam tadi. Kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam menyebabkan bahagian bawah buku lali pada kaki mangsa berusia 19 tahun mengalami pendarahan. Difahamkan, mangsa dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Kulim untuk rawatan, sebelum Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dipanggil untuk bantuan.


Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi-Tech Mohd Faisol Shuaib berkata, sepasukan empat anggota dihantar ke Hospital Kulim untuk membantu memotong besi terbabit menggunakan pemotong hidraulik."Keadaan mangsa kini dilapor stabil dan diserahkan kepada pihak hospital untuk rawatan susulan," katanya. Belum dapat dipastikan macam mana kejadian boleh berlaku. -Metro



.

Pelajar kolej telan pil sakit sendi untuk gugurkan janin dalam tempoh kurang 12 jam



Pelajar kolej telan pil sakit sendi untuk gugurkan janin dalam tempoh kurang 12 jam | Jika dahulu pil gastrik Cytotec menjadi pilihan remaja yang mahu menggugurkan janin namun kini mereka dikesan menelan pil sakit sendi tulang untuk membunuh bayi dikandung dalam tempoh kurang 12 jam. Dalam kejadian Isnin lalu, suspek penuntut kolej swasta berusia 21 tahun itu dipercayai menelan pil mengandungi kimia celecoxib untuk kegunaan antiradang dan sakit sendi bagi membolehkan janin bayi dikandung mengalami keguguran.


Sumber polis berkata, tindakan gadis itu bagaimanapun diketahui rakan sekolej serta seorang penjaga asrama kolej didiami wanita itu di Puchong di sini. Menurutnya, suspek dipercayai melakukan hubungan seks terlarang dengan teman lelaki menyebabkan dia mengandung anak luar nikah awal tahun ini. “Pada hari kejadian, suspek memberitahu rakan asrama kononnya dia mengalami sakit perut. Susulan itu dia segera dihantar ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan. -Metro




.

[Gambar] Stesen minyak alami kesesakan luar biasa kerana pengumuman kenaikan harga petrol dan diesel malam tadi


[Gambar] Stesen minyak alami kesesakan luar biasa kerana pengumuman kenaikan harga petrol dan diesel malam tadi | Kesesakan luar biasa berlaku di stesen minyak di Lembah Klang berikutan pengumuman kenaikan harga petrol dan diesel mulai tengah malam tadi. Pengumuman kenaikan harga itu dibuat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan hari ini berikutan pengurangan subsidi petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter, berkuat kuasa 12.01 tengah malam tadi. Sehubungan itu harga runcit baharu bagi petrol RON95 ialah RM2.30 seliter dan diesel RM2.20 seliter. Harga pasaran bagi petrol RON95 pada masa ini ialah RM2.58 seliter dan harga diesel RM2.52 seliter.

Tinjauan Bernama di beberapa stesen minyak Petronas, Shell, Petron dan Caltex di sini mendapati orang ramai berpusu-pusu dan beratur panjang sejak pukul 8.30 malam. Kebanyakan pengguna menerima realiti kenaikan harga bahan api itu namun berharap kerajaan mengumumkan lebih awal agar senario kesesakan setiap kali berlaku kenaikan harga minyak tidak berulang. Seorang kakitangan kerajaan, Hasbullah Ahmad, 25, berkata beliau segera ke stesen minyak sebaik mendengar pengumuman kenaikan harga itu. "Jadi bila dapat tahu saya terus keluar isi minyak dan terpaksa menunggu giliran kira-kira 20 minit, itupun saya bernasib baik kerana sampai (ke stesen minyak) lebih awal," katanya kepada Bernama.

Pensyarah sebuah kolej swasta, Noraisha Abdul Razak, 23, berkata beliau terkejut dengan pengumuman itu kerana tidak mendengar ura-ura kenaikan harga minyak sebelum ini. "Saya hanya mengetahui kenaikan ini setelah melihat suasana sesak dan banyak kenderaan mengerumuni stesen minyak," katanya. Juruteknik, Amirul Haslam, 22, pula meluahkan kebimbangan kenaikan harga bahan api itu akan menyebabkan harga keperluan asas turut meningkat sekali gus menjejaskan kos sara hidup. "Selalunya kalau harga minyak naik, harga barang lain pun naik, ia akan bebankan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah," katanya.

Peniaga kuih, K.Selvi, 50, pula berkata beliau juga risau kenaikan harga minyak itu turut memberi kesan kepada perniagaannya. "Harap kerajaan beri insentif untuk bantu kenaikan kos ini," katanya. Seorang pegawai bank, David Lim, 30, pula berharap tiada kenaikan lagi akan berlaku dalam masa terdekat. "Kita terpaksa menerima kenaikan itu tetapi berharap kerajaan mengambil inisiatif untuk meningkatkan lagi ekonomi bagi memastikan pemberian subsidi dapat dikekalkan kepada rakyat," katanya. - Bernama




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!