Saturday, February 21, 2015

Wanita cacat selepas jalani pembedahan plastik untuk kelihatan cantik seperti bintang filem



Wanita cacat selepas jalani pembedahan plastik untuk kelihatan cantik seperti bintang filem | Seorang ahli perniagaan China, Chen Yili menyatakan harapannya untuk kelihatan cantik seperti bintang filem berkecai selepas pembedahan plastik yang dijalaninya di sebuah hospital di Korea Selatan menyebabkan mukanya cacat. Yili yang membelanjakan beribu-ribu dolar untuk pembedahan itu berkata, doktor berkenaan berjanji akan mengubah mukanya seperti bintang K-Pop. “Mereka berjanji akan membentuk hidung, bibir, dan dagu baharu, tetapi apabila rakan-rakan saya melihat hidung saya, mereka semua terkejut. Hidung saya penyek dan buruk,’’ katanya. Yili merupakan seorang daripada ribuan wanita China, yang mengadu wajahnya menjadi cacat selepas menjalani prosedur berkenaan ekoran ketiadaan undang-undang untuk mengawal industri yang semakin berkembang di Korea Selatan.

Ahli perniagaan itu berkata, dia membelanjakan kira-kira AS$26,000 (RM91,000) di Klinik Beauty Line di Seoul dengan satu daripada prosedur adalah mengambil tulang rawan dari tulang rusuk untuk ditambah ke hidungnya. “Bagaimanapun, selepas pulang ke China, saya mengalami jangkitan dan kini mendapat rawatan di sebuah klinik di Beijing. Saya turut mengalami masalah kemurungan dan terpaksa bergantung kepada 12 jenis ubat setiap hari,’’ katanya. Klinik-klinik di Korea Selatan menawarkan pakej pembedahan plastik bersama percutian menerusi laman web mereka.

Ketika kebanyakan prosedur di Korea Selatan berlaku tanpa sebarang kejadian buruk, industri itu menjadi perhatian pada bulan lalu apabila seorang wanita China berumur 50 tahun koma selepas menjalani pembedahan di sebuah klinik di daerah Gangnam, Seoul. Seoul pada minggu lepas mengumumkan tindakan tegas terhadap orang tengah dan klinik tidak berdaftar bagi melindungi pelancong perubatan terutamanya mereka yang tertarik dengan industri pembedahan plastik. Walaupun pasaran pembedahan plastik di China bernilai berpuluh-puluh bilion dolar, namun kebimbangan mengenai keselamatan menyebabkan rakyatnya memilih untuk melakukan prosedur itu di luar negara. – AP




.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!