Wednesday, February 11, 2015

Nahas terbesar, membabitkan 100 kenderaan di lebuh raya menuju Lapangan Terbang Incheon di Korea



Nahas terbesar, membabitkan 100 kenderaan di lebuh raya menuju Lapangan Terbang Incheon di Korea | Dua orang maut dan lebih 60 mengalami kecederaan dalam nahas membabitkan 100 kenderaan yang bertindan-tindih di lebuh raya menuju lapangan terbang terbesar di Korea Selatan, kata polis.

Kemalangan itu berlaku ketika cuaca kabus teruk di laluan bertingkat menghala Seoul yang dihubungkan dengan lebuh raya utama menghubungkan Lapangan Terbang Incheon ke ibu negara. Jurucakap polis berkata, nahas berkenaan membabitkan 105 kenderaan berpunca sebuah limosin merempuh bahagian belakang sebuah kereta lain.

Katanya, cuaca kabus menyebabkan pemandu hanya boleh melihat jarak 15 meter di hadapan kenderaan mereka."Seramai 63 orang termasuk 18 warga asing turut mengalami kecederaan," katanya. Mereka yang cedera termasuk tujuh rakyat China, tiga Thailand, dua Vietnam dan dua dari Filipina manakala seorang masing-masing dari Jepun, Russia, Bangladesh dan Switzerland. - AFP




.

Penemuan mengejutkan di Bukit Beruntung, mayat disumbat dalam tong drum yang disimen



Penemuan mengejutkan di Bukit Beruntung, mayat disumbat dalam tong drum yang disimen| Satu mayat yang identiti belum dikenal pasti dijumpai disumbat di dalam tong drum yang disimen di Bukit Beruntung, di sini, kira-kira 12.15 tengah hari tadi. Menurut sumber polis, mayat yang dipercayai dibunuh beberapa hari lalu dijumpai dua lelaki yang juga pekerja ladang di kawasan berkenaan ketika ingin menjala ikan.


Sumber itu berkata, dua pekerja terbabit kemudian bertindak menghubungi polis selepas mendapati beberapa serpihan tulang ditemui di dalam tong drum berwarna biru yang diletakkan di atas rumput. "Polis kemudian bertindak menghubungi pihak bomba bagi mengeluarkan mayat berkenaan," kata sumber itu. Sumber itu memberitahu, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti identiti mangsa dan punca kematiannya. -Metro




.

Isu status agama, Mahkamah Tinggi Syariah putuskan pensyarah maktab perguruan mati dalam islam



Isu status agama seorang pensyarah maktab perguruan Teh Koon Hoo, 55, selesai apabila Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang, hari ini memutuskan dia beragama Islam. Hakim Syarie Mohd Yunus Mohamad Zain membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan keterangan daripada 12 saksi yang mewakili pihak pemohon iaitu Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP).

"Keterangan daripada saksi-saksi mengatakan si mati mengucap dua kalimah syahadah dengan rela selain mengamalkan ciri-ciri hidup seperti orang Islam seperti solat dan berpuasa. "Selain itu, dokumen yang disediakan saksi terdiri daripada doktor serta majikan si mati relevan dan boleh diterima ," katanya. Selepas mendengar dan meneliiti keterangan lisan oleh 12 saksi pemohon dan ahli keluarga Teh, Mohd Yunus memerintah si mati dibenarkan dikebumi secara Islam seperti dipohon MAIPP mulai hari ini. -Metro




.

Budak 11 tahun didakwa atas tuduhan membunuh bayi berusia 2 bulan



Budak 11 tahun didakwa atas tuduhan membunuh bayi berusia 2 bulan | Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun didakwa di sebuah mahkamah di sini atas tuduhan membunuh seorang bayi berusia dua bulan. Dia dikatakan memukul bayi itu sehingga mati semasa mangsa bermalam di rumahnya. Menurut Ketua Polis Wickliffe, Randy Ice, semasa kejadian kira-kira pukul 3 pagi Jumaat lalu, bayi malang itu, Zuri Mhitehead (gambar kecil) berada di atas sofa di tingkat bawah, manakala ibu kepada kanak-kanak itu pula dilaporkan tertidur di biliknya.

Menurut Ice, selepas ibu kepada kanak-kanak itu yang terjaga daripada tidur, dia mendapati anaknya sedang mendukung bayi itu yang mengalami kecederaan serius dan menemui kesan darah. Menyedari perkara ter­sebut, wanita itu segera menghubungi talian kecemasan sebelum bayi itu dibawa ke unit kecemasan kanak-kanak di Cleveland, namun dia disahkan telah meninggal dunia.

“Ibu kepada kanak-kanak itu bersama ibu mangsa, Trina Whitehead yang juga memiliki tiga lagi anak telah mengenali antara satu sama lain sejak lima hingga enam tahun lalu. “Mereka bagaimanapun tidak mempunyai sebarang ikatan persaudaraan,” kata Ice yang tidak mendedahkan nama kanak-kanak itu bersama nama ibunya kerana faktor usia suspek. Statistik jenayah FBI di Amerika Syarikat menunjukkan terdapat 20 kanak-kanak berusia bawah 12 tahun telah berhadapan dengan tuduhan membunuh pada 2012.

Menurut Ice, kanak-kanak itu yang sedang disoal siasat bersama ibunya tidak menunjukkan sebarang penyesalan ke atas apa yang telah dilakukan terhadap bayi tersebut dan suspek kini dalam pertimbangan untuk dirujuk kepada pakar kaunseling. “Kami sedang berhadapan dengan masalah yang sukar untuk mencari individu yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan bayi ini,” kata Ice. – AP




.

Sindiket perkahwinan palsu terbongkar



Sindiket perkahwinan palsu terbongkar | GARA-GARA mahu menetap di Britain, seorang lelaki warga Nigeria sanggup terlibat dalam sindiket perkahwinan palsu. Namun rancangan itu gagal berikutan Joseph Iwueke, 33, bersama pasangannya warga Slovakia, Ingrida Stojkova, 29, ditahan beberapa minit sebelum upacara itu berlangsung selepas kedua-duanya gagal untuk mengeja nama masing-masing. Menurut pendaftar perkahwinan, beliau mengesyaki ia adalah perkahwinan palsu selepas Iwueke gagal memberi butiran maklumat peribadi bakal isterinya dalam satu kejadian di Leeds pada Julai lalu.

Jurucakap pihak berkuasa memberitahu dua individu Obinna Odelugo dan Robert Stojka turut diberkas. Kedua-dua mereka dipercayai menjadi dalang sindiket perkahwinan palsu tersebut dan telah mengaut banyak keuntungan daripada kegiatan terbabit. Pasangan tersebut bersama dua lelaki terbabit telah disabit bersalah kerana terlibat dalam konspirasi untuk melanggar undang-undang imigrisen di negara itu.

Susulan daripada itu, Iwueke dijatuhi hukuman penjara 23 bulan manakala Stojkova dipenjara 15 bulan. Odelugo dan Stojka pula masing-masing dikenakan hukuman penjara 17 bulan. Jurucakap Leeds Crown Court berkata, Iwueke dipercayai sangat terdesak untuk berkahwin dengan mana-mana wanita dari negara Kesatuan Eropah (EU) bagi memastikan dia dapat terus tinggal di Britain. “Dia akan dihantar pulang ke negara asalnya selepas selesai menjalani hukumannya,” katanya lagi. – DM




.

Jentera bomba ini mengejutkan pengguna jalan raya. Inilah sebab, jentera itu dibina dengan kepala dua



Jentera bomba ini mengejutkan pengguna jalan raya. Inilah sebab, jentera itu dibina dengan kepala dua | IA bukan teknik photoshop! Tapi gambar di atas adalah asli. Sebuah jentera bomba berkepala dua baru-baru ini mengejutkan pengguna jalan raya di Nanjing, China. Reka bentuk unik jentera bomba itu membolehkan ia membuat pusingan U tanpa perlu berpusing dan memberi kelebihan terutamanya di kawasan sempit. Ia juga boleh dipandu dari kedua-dua arah.

 Difahamkan, Nanjing merupakan sebuah bandar yang mempunyai sejumlah besar laluan sempit yang menyukarkan pergerakan jentera bomba. Jentera baharu itu, merupakan satu-satunya kenderaan terdapat di bandar tersebut diimport dari Austria dengan harga 9 juta yuan (RM5 juta). - Chinanews




.

Rancangan laksana inisiatif cuti bergaji kepada golongan bapa yang jaga anak



Rancangan laksana inisiatif cuti bergaji kepada golongan bapa yang jaga anak | Britain merancang melaksanakan inisiatif cuti bergaji kepada golongan bapa bagi membolehkan mereka membantu isteri masing-masing menjaga anak yang baharu lahir. Rancangan bernilai £150 juta (RM812 juta) oleh kerajaan Parti Buruh itu bakal menawarkan bayaran elaun £260 (RM1,408) seminggu supaya lelaki yang bekerja mampu mengambil cuti tidak bergaji dengan majikan mereka untuk menjaga anak. Pemimpin Parti Buruh, Ed Miliband yang mengumumkan rancangan tersebut menjangkakan pendekatan itu dapat membantu sekitar 400,000 bapa setiap tahun di bawah pengurusan beberapa polisi mesra keluarga kerajaan.

“Keluarga moden di Britain memerlukan kerajaan yang lebih fleksibel dalam bentuk bantuan yang disalurkan. Ibu bapa bekerja sepanjang hari dalam suasana tertekan menyebabkan mereka semakin sukar untuk mengimbangi antara kerja dan penjagaan anak. “Kami percaya Britain akan berjaya apabila mempunyai keluarga moden yang berjaya. Ini bermakna memberikan golongan bapa dan juga ibu peluang menghabiskan lebih banyak masa di rumah pada minggu-minggu paling penting selepas kelahiran bayi mereka,” katanya.

Miliband yang mempunyai dua anak lelaki berpendapat, semakin ramai bapa mahu memainkan peranan lebih besar dalam membesarkan anak-anak mereka tetapi kecewa dengan undang-undang lapuk dan isu kelayakan seperti cuti isteri bersalin. Pada masa kini, hanya 55 peratus golongan bapa mengambil skim elaun cuti yang cuma dibayar elaun £138.18 (RM748) seminggu tetapi bilangan itu dijangka meningkat kepada 70 peratus apabila kadar elaun baharu tersebut menghampiri tahap gaji minimum di Britain. Ketua Pengarah Dewan Peniagaan Britain, John Longworth bagaimanapun menyifatkan rancangan kerajaan itu umpama satu bentuk ‘cukai’ baharu dan membebankan sektor perniagaan di negara ini selain mengurangkan produktiviti serta bakal menjejaskan peluang pekerjaan. – Agensi



.

Lelaki ini terkenal dengan kemahirannya yang luar biasa



Lelaki ini terkenal dengan kemahirannya yang luar biasa | PEMANDU teksi, Harpeet Dev bukan individu asing di kampung halamannya di Bhatinda di negeri Punjab. Lelaki berusia 31 tahun itu menjadi terkenal kerana kemahirannya memandu kereta secara mengundur. Dev memandu secara 'gostan' selama 11 tahun dan berkata keselamatannya terancam jika dia memandu seperti seorang pemandu normal. Percaya atau tidak, Dev juga memiliki lesen khas daripada kerajaan yang membolehkan dia memandu secara mengundur di mana-mana negeri di bahagian utara India.

Dev berkata, dia mula memandu dalam keadaan mengundur pada 2003 apabila gear kereta Fiat Padmini miliknya tersekat di gear undur. "Keadaan sudah lewat malam dan saya berada di luar bandar. Gear pula hanya dapat masuk gear 'reverse'. "Saya tiada wang dan tiada pilihan. Jadi, saya memandu secara berundur sehingga ke Bhatinda," katanya. Bagaimanapun, tabiat memandu pelik Dev turut memberi kesan negatif apabila dia kini mengalami masalah belakang dan leher yang teruk. - Odditycentral




.

Lelaki terima padah kerana perbuatan mencuri dengan mengail duit tabung sebuah masjid



Lelaki terima padah kerana perbuatan mencuri dengan mengail duit tabung sebuah masjid | Pengajaran buat seorang lelaki kerana perbuatan mencuri dengan mengail duit tabung sebuah masjid berjumlah RM43, dia dihukum penjara 12 bulan oleh mahkamah majistret, di sini, semalam. Tertuduh, Muhammad Shahrul Izwan Suhaime, 22, mengaku salah didakwa dengan niat mencuri wang kertas bercampur-campur berjumlah RM43 itu di Masjid Mukim Pulau Belanga, Jalan Pengkalan Datu, Binjai, di sini, pada jam 3.30 pagi, 2 Februari lalu.

 Sebelum itu, pengadu yang sedang berbual dengan rakannya di hadapan rumah yang tidak jauh dari masjid tersebut terdengar bunyi motosikal berhenti di hadapan masjid. Curiga dengan kehadiran motosikal tersebut, mereka mengintip dan mendapati seorang lelaki sedang mencuri duit tabung masjid di bahagian luar dengan cara mengail.

Menyedari kehadiran pengadu, tertuduh cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan. Pada prosiding semalam, tertuduh merayu hukuman diringankan, namun Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nurliyana Md Zukri memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh supaya tidak mengulangi perbuatan sama. Hukuman diputuskan Majistret, Mohd Firdaus Zainal Abidin berkuat kuasa tarikh tertuduh ditangkap. -SH




.

Alamak.. Pencuri cuba pecah rumah tertidur bawah kereta


Alamak.. Pencuri cuba pecah rumah tertidur bawah kereta | Pemilik sebuah rumah di Lorong Madrasah Tambak Bunga, Jalan Kuala Kedah di sini terkejut apabila menyedari seorang lelaki dipercayai pencuri sedang tidur di bawah keretanya kelmarin. Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, Nursyahbandi Abdullah, 30, mahu ke tempat kerjanya di pejabat Majlis Bandar Raya Alor Setar (MBAS) di sini.

Menurut Nursyahbandi, dia seperti biasa akan memeriksa keadaan keretanya yang diletakkan di hadapan rumah sebelum memandu ke tempat kerja. “Saya terkejut apabila ternampak susuk badan seorang lelaki terbaring di bawah kereta dan saya mula syak sesuatu apabila ternampak ada gunting terselit di celah pakaiannya,” katanya di sini semalam. -Kosmo




.

Misteri mayat ‘bersandar’ di bawah jejantas


Misteri mayat ‘bersandar’ di bawah jejantas | Orang ramai terkejut apabila menemui mayat lelaki dalam keadaan bersandar di tiang bawah jejantas menghala Jalan Maarof, Bangsar di sini, semalam. Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa dikenali sebagai G Annadurai, 46, disangka tidur sebelum mangsa disahkan sudah tidak bernyawa. Sumber polis berkata, mangsa bukan golongan gelandangan berikutan tinggal di pangsapuri Abdullah Hukum di sini, berdasarkan butiran pada MyKad yang ditemui di lokasi kejadian.

“Setakat ini tiada unsur jenayah dikaitkan terhadap punca kematian mangsa. Pihak polis sudah memaklumkan waris mangsa untuk proses tuntutan mayat itu,” katanya. Sementara itu, seorang lelaki kutu rayau berusia 40-an mendakwa tidak mengenali mangsa walaupun kerap tidur di bawah jejantas itu. “Saya tidak pasti sama ada dia ‘orang baru’ di kawasan ini. Mungkin dia mati akibat sakit,” katanya. -Metro



.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!