18 orang maut sementara puluhan mangsa cedera ketika sebuah telaga minyak haram terbakar | Sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera dalam satu kebakaran besar di sebuah telaga minyak haram di Indonesia, kata pihak berkuasa semalam. Tumpahan minyak mencetuskan kebakaran besar sekitar pukul 1.30 pagi (waktu Indonesia) semalam di sebuah kawasan penempatan penduduk di Kampung Peureulak, wilayah Aceh di Pulau Sumatera. Gambar dari lokasi kejadian menunjukkan api menjulang setinggi 70 meter ke udara. “Angka korban berjumlah 18 orang dan 41 mangsa cedera. Kami masih tidak dapat mengawal api yang marak (setakat tengah hari semalam). “Kami tidak tahu sama ada terdapat mangsa yang lain kerana kami tidak dapat menghampiri lokasi kebakaran,” kata ketua agensi pengurusan bencana tempatan.
Angka korban awal ialah 10 orang tetapi meningkat selepas lapan mangsa yang dirawat di hospital meninggal dunia. “Terdapat sekumpulan penduduk menggali sebuah telaga lama tetapi tiba-tiba, api besar menjulang dan letupan berlaku,” kata jurucakap polis Indonesia, Setyo Wasisto. Anggota-anggota bomba berada di lokasi kejadian dengan dibantu kakitangan syarikat minyak milik negara, Pertamina. Menurut polis, mangsa sedang mengumpulkan minyak di sekitar telaga itu apabila kebakaran berlaku. Sebahagian daripada mereka juga didapati merokok. Jumlah tumpahan dan punca kebakaran masih tidak dapat dipastikan.
Aceh Timur banyak menempatkan operasi telaga minyak kecil yang dikendalikan secara haram oleh penduduk tempatan. Walaupun pihak berkuasa menyatakan operasi tersebut menyalahi undang-undang, kebakaran maut bukan perkara asing di Indonesia, negara kepulauan luas yang didiami lebih 260 juta penduduk. Pada Oktober 2017, seramai 47 orang terbunuh dalam kebakaran kilang bunga api di luar Jakarta, manakala puluhan mangsa cedera apabila sebuah balkoni di bangunan Bursa Saham Indonesia runtuh pada Januari tahun ini. – AFP
#telagaminyakharam #kebakaran #KampungPeureulak #wilayahAceh
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment