Wanita ini kongsi pengalaman berdepan dengan pelbagai dugaan dan rintangan selama 2 tahun untuk ke Sri Lanka | Setiap orang mengimpikan untuk bercuti ke luar negara dan mengembara bersama teman-teman pasti menjadi pengalaman yang menyeronokkan. Namun tidak ramai yang tahu nasib yang menimpa seorang wanita yang ingin berkunjung ke Sri Lanka apabila terpaksa berdepan dengan pelbagai dugaan dan rintangan selama dua tahun. Pada 2016, percutiannya ke negara Asia itu terpaksa dibatalkan meskipun tiket penerbangan telah dibeli lebih awal dan visa diluluskan, gara-gara terpaksa menggantikan rakan sekerja mengambil cuti bersalin. “2017, kali kedua mencuba. Tiket dah. Itinerary (jadual perjalanan) saya dah buatkan separuh. Visa pun dah. Dah daftar masuk penerbangan beberapa hari sebelum, sampai lapangan terbang nak letak bagasi, subhanallah! Ini kisah paling menyayat hati. Kenapa... kenapa? Kali kedua ‘terkandas’ tak boleh pergi. Badi apa yang melekat ni?"
"2018, beli lagi tiket. Kali ini beli bulan April. Takut beli bulan Mac macam dua tahun lepas, ada benda yang menghalang. Visa, itinerary semua dah. Lagi sekali, hampir tak dapat pergi sebab pasport tertinggal dalam kereta. “Telefon suami, nangis nangis minta datang balik. Nasib baik dia masih dekat sekitar KLIA2. Tak nak oiii buat ‘hal’ kali ketiga tak pergi. Sakitnya tu di sini sungguh! Lepas imigresen Malaysia, dapat naik pesawat dan lepas imigresen Sri Lanka nampak perkataan 'Ayubowan' (Selamat Datang dalam bahasa Sri Lanka), memang rasa nak lompat,” katanya di laman sosial Facebook. Wanita berkenaan, Nor Alwani Abdul Wahab berkata, dia baru sahaja pulang ke tanah air minggu lalu selepas bercuti di Sri Lanka selama lima hari bersama dua rakannya. Lebih mesra dengan panggilan Wani, wanita berusia 34 tahun ini memberitahu ia adalah percubaan ketiganya untuk ke negara itu, selepas gagal dua kali sebelum ini.
“Paling sedih adalah tahun lepas, sebab semua persiapan dah buat, dah sampai KLIA pun. Tapi bila sampai kaunter, rupa-rupanya pasport yang saya bawa tu suami punya. “Kenapa muka sendiri ada misai dalam pasport? Sah! Salah pasport. Adoi, memang muka dah warna hijau masa ini,” katanya. Anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini menambah, pasport miliknya sebenarnya mempunyai sarung, sekali gus membezakannya dengan dokumen kepunyaan suami, tetapi pada tahun lepas ia ditanggalkan tanpa disarungkan semula untuk tujuan visa. Menurut Wani, dia terpaksa meminta bantuan suaminya untuk bergegas mengambil pasportnya di kediaman mereka di Subang, Selangor dan menghantarnya ke KLIA.
“Mulanya saya ingat dia dah nak sampai Subang. Rupa-rupanya dia baru keluar dari tol KLIA, aduhai jauh lagi. Masa tu dahlah petang Jumaat, waktu puncak sebab orang balik dari kerja. “‘Highway’ memang sesak sepanjang jalan. Sudahnya saya terlepas penerbangan kira-kira pukul 9.30 malam dan suami datang sejam selepas itu. Tiket asal murah, kalau nak beli baharu lebih tiga kali ganda hanya untuk pergi sahaja. Jadi, saya biarkan rakan-rakan pergi tanpa saya,” katanya.Wani yang bertugas sebagai pegawai tadbir di Cyberjaya bagaimanapun akur dan percaya ketentuan Tuhan bahawa setiap yang berlaku ada hikmahnya. “Bila saya pergi ke Colombo dan beberapa tempat di Sri Lanka, saya bersyukur kerana melalui pengalaman mengembara yang cukup indah.
“Perjalanan saya kali ini diizinkan Tuhan. Saya dipertemukan dengan orang-orang tempatan yang cukup baik dan mesra, destinasi yang dilawati juga lebih menarik daripada yang digambarkan. Syukur Alhamdulillah,” ujarnya sambil menambah begitu mengagumi keindahan tanah tinggi Little Adam di Sri Lanka. Belajar daripada pengalaman lalu, Wani menjadikan pengajaran supaya lebih berhati-hati apabila membuat persiapan untuk mengembara dan jangan mudah putus asa terhadap sesuatu perkara terutama melibatkan minat. “Saya memang suka mengembara. Tiga kali cuba ke Sri Lanka, kali ketiga baru dapat pergi. Saya merancang untuk ke Sri Lanka lagi tahun depan, dan kali ini bersama suami pula, insyaAllah. Harap kali ini tak tertukar pasport lagi,” katanya secara berseloroh. -AP
#percutian #perjalanankesrilanka #srilanka
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment