Thursday, April 12, 2018

Kisah Eman Sulaeman seorang penjaga gol hebat tanpa kaki






Kisah Eman Sulaeman seorang penjaga gol hebat tanpa kaki | KETIKA Eman Sulaeman memujuk kedua ibu bapanya agar membenarkan dia bermain bola sepak, pasangan itu bimbang anak lelaki yang dilahirkan dengan hanya memiliki sebelah kaki sempurna itu akan menjadi bahan ejekan. Bagaimanapun, dua dekad kemudian, penjaga gawang Indonesia berusia 30 tahun itu berjaya memukau penonton dari dalam dan luar negara menerusi ketangkasannya yang dianggap seperti seekor kucing. Kejayaan itu membuka mata masyarakat tentang kemampuan orang kelainan upaya (OKU). “Saya menangis selama berhari-hari, memohon mereka (ibu bapa) agar membelikan saya sebiji bola.



“Mereka akhirnya mengalah dan keluar membelikan saya sebiji bola plastik yang murah,” katanya pada perlawanan bola yang diadakan di pekan kecil Indramayu, kira-kira 220 kilometer di timur Jakarta baru-baru ini. Peminat Eman beramai-ramai membanjiri gelanggang futsal bagi menyaksikan perlawanan bola sepak lima sepasukan yang disertainya. Perlawanan itu menggunakan gawang gol bersaiz permainan hoki dan sebuah bola yang kurang melantun. Mereka merakam gambar dan bersorak ketika Eman mempertahankan gawang pasukan itu menggunakan hanya sebelah kaki kerana sebelah lagi kakinya kudung separas lutut. Sorakan semakin kuat apabila dia menendang bola ke arah gawang pasukan lawan untuk membantu kemenangan pasukannya. B

eberapa peminat muda dilihat menunggu untuk merakamkan gambar swafoto bersama wira mereka. “Dia sangat memberikan inspirasi. “Walaupun fizikalnya sangat berbeza daripada orang lain, semangatnya tetap kuat, dia benar-benar memberi motivasi kepada saya,” kata Muhammad Faisal Bahri, 18. Bagaimanapun, ia bukan sesuatu yang mudah bagi Eman untuk berada di kedudukannya pada hari ini. Dia yang meminati bekas penjaga gol kelab bola sepak Manchester United, Edwin van der Sar dan bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo terpaksa berlatih tanpa mengenal erti penat. “Saya mengambil masa yang lama untuk berjalan dengan seimbang sebelum berupaya menendang bola,” katanya. Bagaimanapun, ketabahan Eman membuahkan hasil apabila rakan-rakan meminta dia untuk menyertai pasukan bola sepak tempatan selepas memperoleh Ijazah Kejuruteraan Elektronik.

“Bola sepak sama seperti isteri atau teman wanita yang sentiasa cemburu dengan saya,” katanya berseloroh. Namun, ada yang masih tidak yakin dengan kebolehan lelaki itu. “Pada perlawanan pertama saya, pengurus pasukan lawan meragui kemampuan saya dan bertanya sama ada saya benar-benar boleh bermain,” katanya. Menjadi terkenal Walaupun menghadapi kecacatan sejak lahir, Eman tidak pernah memakai kaki palsu. “Saya tidak suka memakai kasut. Hanya sekali saya memakai kasut iaitu ketika perlawanan di Scotland,” katanya. Dia mewakili pasukan Indonesia untuk bertanding pada kempen Piala Dunia Homeless di Glasgow pada 2016. Pertandingan bola sepak tahunan itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kehilangan tempat tinggal dan biasanya melibatkan pemain gelandangan, penagih dadah, pencari suaka serta atlet OKU. Eman kemudian menjadi terkenal dengan pantas selepas dinobatkan sebagai penjaga gol terbaik.

“Ia adalah sesuatu yang di luar jangkaan, kali pertama saya berada di luar negara dan saya dinamakan sebagai penjaga gol terbaik. “Orang ramai dan semua ahli jawatankuasa penganjur memberikan tepukan gemuruh kepada saya, saya benar-benar tersentuh,” katanya. Media Britain pada masa itu memuji Eman dan tindakan refleksnya yang dianggap seperti kucing. “Bola sepak benar-benar merangkumi segenap kehidupan masyarakat kita. “Orang kurang upaya seperti saya dan orang miskin boleh bersatu tanpa dipandang rendah atau dicela,” katanya Bakat Eman berjaya menarik perhatian agensi olahraga Jawa Barat, sekali gus membawa harapan bahawa kerajaan mungkin akan menambah sokongan kepada para atlet kurang upaya.

“Kami baru mengetahui bahawa atlet kurang upaya kami mempunyai kemahiran luar biasa. Jika diberikan peluang yang sama, mereka dapat mencapai apa saja,” kata jurucakap agensi itu, Dani Ramdan. Eman yang memiliki kedai membaik pulih peralatan elektronik bertekad untuk menyebarkan cintanya terhadap sukan itu dengan menubuhkan komuniti pencinta futsal di kampung halamannya, Majalengka. Dia juga menjadi jurulatih bola sepak di beberapa sekolah menengah tempatan. Eman mempunyai impian untuk mengambil bahagian pada temasya sukan utama seperti Sukan Paralimpik suatu hari nanti. Dia juga berharap untuk terus menjadi inspirasi kepada atlet OKU. “Kita mesti yakin dan bermotivasi bagi menyerlahkan potensi dalam diri. “Walaupun kita (OKU) mempunyai batasan, dalam batasan itu terdapat perkara yang luar biasa,” katanya. – AFP


#penjagagol #emansulaeman





.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!