Showing posts with label Kes Jenayah. Show all posts
Showing posts with label Kes Jenayah. Show all posts

Monday, April 1, 2019

Awas kewujudan sebuah syarikat skim pelaburan kenderaan yang menipu ramai mangsa


Awas kewujudan sebuah syarikat skim pelaburan kenderaan yang menipu ramai mangsa | Sebuah syarikat skim pelaburan kenderaan dekat sini didakwa menjalankan satu penipuan sehingga menyebabkan 400 orang mangsa menanggung kerugian hampir RM20 juta. Seorang mangsa penipuan, Rashidi Johan, 65, mendakwa ramai mangsa terpedaya dengan pengurus syarikat tersebut yang berstatus ustaz yang dikenali sebagai Noordin sehingga sanggup melabur kereta mereka yang masih dalam pembiayaan pinjaman bank. "Mengikut perjanjian dengan syarikat tersebut, setiap kereta yang dilaburkan itu akan mendapat profit setiap bulan dan penyelesaian pinjaman bank sepenuhnya selama lima tahun. "Namun masalahnya, apa yang dijanjikan tidak berlaku. Sudah berapa bulan pinjaman bank itu tidak dijelaskan dan ada diantara kami yang kereta mereka telah ditarik balik oleh pihak bank, " jelasnya kepada pemberita di Seri Kembangan hari ini.

Tambahnya, syarikat tersebut menjalankan modus operandi dengan mengambil kereta dari pelabur dan menjual balik kereta-kereta tersebut kepada orang ketiga dengan harga 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran. "Buat masa ini bukan sahaja kami sebagai pelabur yang tertipu, malah pembeli kereta dibawah satu skim yang diperkenalkan oleh syarikat terbabit juga tertipu. Mereka bayar tunai namun kereta tersebut ada masalah dengan bank. "Profit yang dijanjikan tertakluk pada jenis kereta, Perodua Axia misalnya profit sebulan yang dijanjikan adalah RM184 manakala model-model dari Honda boleh mencecah RM550 sebulan. "Buat masa ini pihak kami telah membuat 48 laporan polis dan usaha kami untuk berbincang dengan pengurus syarikat tersebut gagal,"ujarnya yang mengenali pelaburan tersebut dari kenalan rapat sejak Ogos 2017.

Dalam pada itu, seorang lagi mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Zambri, 62, berkata, ada dalam kalangan mereka yang menjelaskan baki pinjaman dengan duit sendiri bermula Ogos lalu. "Saya hanya sempat merasa profit tersebut selama 12 bulan, kemudian semuanya sudah tiada. Ramai mangsa adalah dari kalangan pesara dan penjawat awam. "Sekarang nama kami sudah "blacklist" di bank dan kami terpaksa menanggung segala hutang tersebut, saya sendiri turut melabur sebanyak enam biji kereta dan bayangkan berapa banyak saya perlu selesaikan dengan pihak bank," katanya. - Kosmo




.

Friday, February 22, 2019

Anak menggigil ketika kongsi kisah bapa dikejar geng samun



Anak menggigil ketika kongsi kisah bapa dikejar geng samun  | SEORANG bapa terselamat selepas berdepan detik cemas apabila dikejar sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian cubaan samun di kediamannya dekat Taman Bukit Kuchai, Puchong, petang Khamis. Semuanya gara-gara tindakan pantas Redzuan Harun, 56, masuk ke dalam rumah dan anaknya, Hazran Adli pula menahan pintu utama menggunakan badannya dan bertindak pantas mengunci pintu dari bahagian dalam. Menurut Hazran, semasa kejadian dia sedang bersiap-siap untuk keluar sebelum terdengar jeritan kuat bapanya. "Kejadian berlaku amat pantas, tempoh dalam dua saat macam tu untuk ayah selamatkan diri daripada kena tetak. Masa tu ayah dekat luar buka pagar sebab nak alihkan kereta. "Ayah terdengar bunyi motosikal tapi bila dia pusing je masa tu, ayah terus lari masuk ke dalam rumah, dan sempat tanggalkan selipar.

Ayah jerit "perompak... perompak". "Saya pun kebetulan masa tu ada dekat ruang tamu. Saya terus tahan pintu dengan ayah. Lepas tu perompak siap tendang pintu tiga kali tapi saya sempat selak kunci selepas sepakan pertama," katanya ketika dihubungi. Ditanya mengenai perasaannya ketika itu, Hazran berkata dia menggigil ketakutan. "Masa tu memang takut menggigil jugalah. Bila dah jadi macam tu, saya pun terus tahan pintu secara spontan. Kalau ikutkan saya bukannya berani sangat pun. "Saya bersyukur sangat-sangat sebab ayah selamat. Kalau lambat sedikit tak tahulah apa jadi. Sampai sekarang saya masih lagi terbayang muka salah seorang suspek. "Ayah OK... tenang cuma mak saya balik nangis-nangis peluk semua orang. Masa tu mak tak ada, dia dekat pejabat. Bila saya call dia terus balik sebab risau," katanya.

 Dalam pada itu, Hazran turut menarik nafas lega kerana sekumpulan perompak itu tidak pergi ke pintu bahagian belakang rumah mereka. "Saya lega sebab jeriji besi pintu belakang tidak berkunci dan masa tu anak buah saya berumur dua tahun ada dekat situ. "Kalau mereka pusing belakang memang dia akan jumpa anak buah saya dulu. Alhamdulillah Allah lindungi kami. "Namun mereka (perompak) sempat pecahkan cermin rumah sebelah pintu dan salah seorang daripada mereka pancitkan tayar kereta saya," katanya. Anak ketiga daripada enam beradik itu berkongsi kisah tersebut di Twitter sehingga menjadi tular dengan diulang kicau sebanyak 8,402 kali dan mendapat 3,777 tanda suka. Hazran turut memuat naik tiga rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan detik cemas itu. Meskipun masih trauma, Hazran berkata dia turut marah dengan perbuatan sekumpulan lelaki itu.

"Rasa marah pun ada, lepas tu saya ada juga nak kejar tapi memang tak dapatlah sebab mereka semua naik motosikal. "Saya cuba cari, tanya jiran-jiran mereka kata nampak sekumpulan budak bawa motosikal tapi tak tahulah sama ada mereka orang yang sama atau tidak. "Tapi saya nampak muka salah seorang daripada mereka sebab dia tanggalkan visor. Yang lain tak nampak sebab tertutup. Insyallah kalau saya dipanggil untuk buat kawad cam saya boleh ingat," katanya. Susulan itu, pemuda berusia 26 tahun itu berkata dia memuat naik video tersebut kerana mahu orang ramai sentiasa berwaspada dengan keadaan sekeliling. "Memandangkan insiden ini dah menimpa keluarga saya, saya minta orang ramai supaya lebih berhati-hati.

"Sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan jangan keluar rumah jika anda bersendirian. Perompak pada hari ini tidak memilih mangsa dan tempat, mereka main redah je," katanya. Hazran turut memberitahu dia membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang sejurus selepas insiden itu. Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan aan mengesahkan polis sedang mengenal pasti sekumpulan lelaki yang cuba melakukan samun di kediaman Hazran. Beliau berkata dalam kejadian kira-kira 4.05 petang itu, sekumpulan tujuh lelaki dengan menaiki empat motosikal dilihat berlegar-legar di kawasan perumahan itu sebelum dua daripada mereka memasuki sebuah rumah dengan bersenjatakan parang. -Mstar






.

Wednesday, January 9, 2019

Bapa tinggal mesej terakhir buat anak sebelum mati tembak diri sendiri



Bapa tinggal mesej terakhir buat anak sebelum mati tembak diri sendiri | Seorang lelaki menembak dirinya sendiri di sebuah stesen bas di Bangkok, Thailand pada awal pagi Selasa selepas menghantar mesej menerusi aplikasi Line kepada anak perempuan dan rakannya. Balai Polis Min Buri menerima panggilan berhubung insiden bunuh diri itu pada pukul 3 pagi, di sebuah stesen bas di hadapan Soi Sam Wa 4 di jalan Sam Wa di daerah Bang Chang, Bangkok. Polis berkata, Pramote lam-aram, 50, yang merupakan seorang pekerja kilang di kawasan itu, meninggal dunia di stesen bas, akibat tembakan di kanan kepalanya. Sepucuk pistor 357 revolver ditemui di sebelah mayat mangsa.

Rakannya, Preecha Jarassopha, 42, memberitahu polis di tempat kejadian bahawa dia menerima mesej menerusi aplikasi Line daripada Pramote pada pukul 1.56 pagi, meminta supaya menjaga anak perempuannya selepas dia meninggal dunia. Mesej tersebut turut memberitahu Preecha supaya berjumpa dengan Pramote di stesen bas. Bercakap kepada polis, anak perempuan Pramote, Wareerat Iam-aram, 21, menerima mesej menerusi aplikasi Line daripada bapanya meminta supaya menjaga dirinya, dan turut pergi ke stesen bas tersebut sebelum menemui mayat mangsa. – The Nation/Asia News Network




.

Wednesday, December 26, 2018

Lelaki yang mahu berkhatan menjadi mangsa penipuan sebuah hospital



Lelaki yang mahu berkhatan menjadi mangsa penipuan sebuah hospital  | Seorang lelaki yang mahu berkhatan, menjadi mangsa penipuan sebuah hospital di utara China yang mengenakan bayaran 100 kali lebih tinggi kononnya dia juga perlu dibedah bagi membuang tiga ketumbuhan serta-merta. South China Morning Post melaporkan, lelaki itu, Xin Yu, 29, mahu berkhatan di Hospital Moden di Tangshan, wilayah Hebei yang kosnya hanya 800 yuan (RM483), bulan lalu. Bagaimanapun, ketika berada di atas katil bedah, doktor memberitahu ada tiga ketumbuhan dikesan pada tubuhnya yang perlu dikeluarkan segera dengan kos 80,000 yuan (RM48,373). “Doktor menunjukkan gambar ketumbuhan itu tetapi saya tidak melihatnya dengan jelas.

Mereka memberitahu supaya terus baring di atas meja pembedahan,” katanya. Selepas selesai berkhatan dan pembedahan, dia diminta menjelaskan bayaran penuh namun kad kreditnya sudah melebihi had menyebabkan dia terpaksa menulis surat perjanjian untuk membayar baki 60,000 yuan (RM36,253).Tidak lama selepas kejadian itu dilaporkan media tempatan, pihak berkuasa menggantung operasi hospital swasta itu untuk siasatan.

Isnin lalu, pihak berkuasa menarik balik lesen operasi hospital dan mengenakan denda 53,000 yuan (RM32,022) terhadap. Namun, tidak dapat dipastikan sama ada Xin berjaya mendapatkan wangnya semula. Kes penipuan seperti itu bukan kali pertama berlaku. Mei lalu, pelajar di Nanning turut diperdaya doktor yang mengatakan dia memerlukan pembedahan tambahan. Dia yang sepatutnya hanya perlu membayar 700 yuan (RM422) untuk berkhatan, terpaksa mengeluarkan 12,800 yuan (RM7,733) bagi ‘pembedahan lain’. -AP




.

Friday, December 14, 2018

Abang tembak adik berusia lapan bulan di bahagian muka ketika ibu mereka sedang mandi bersama kekasihnya



Abang tembak adik berusia lapan bulan di bahagian muka ketika ibu mereka sedang mandi bersama kekasihnya | SEORANG kanak-kanak lelaki menembak adiknya berusia lapan bulan di bahagian muka ketika ibu mereka sedang mandi bersama kekasihnya. Insiden itu menyebabkan bayi tersebut berada dalam keadaan kritikal manakala ibu mereka, Shayanne Nelson kini berdepan pertuduhan penderaan kanak-kanak. Nelson, 18, dan kekasihnya, Tyrell Bitsilly, 21, dilaporkan sedang mandi bersama di Zia Motel yang terletak di Gallup, New Mexico pada Sabtu lalu di mana kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun itu menjumpai sepucuk pistol. Selepas terdengar bunyi tembakan, Nelson dan Bitsilly bergegas keluar dari bilik air dan menjumpai bayi tersebut dalam keadaan berlumuran darah di muka.

Bayi perempuan itu dikejarkan ke hospital berdekatan sebelum dipindahkan ke Hospital Universiti New Mexico pada Selasa. Nelson memberitahu polis bahawa dia tiada tahu bagaimana pistol tersebut berada di dalam bilik hotel mereka dan mendakwa ia ditinggalkan orang yang terlebih dahulu menyewa bilik tersebut. Namun KOAT melaporkan pengurus hotel itu menafikan dakwaan Nelson dan mendakwa ibu dua anak itu cuba menipu. Seorang saksi mendakwa terlihat Bitsilly mengesat pistol itu selepas insiden tersebut. Bitsilly turut didakwa atas pertuduhan sama. Dia turut didakwa atas dua pertuduhan melakukan penderaan kanak-kanak dua bulan lalu. - Metro.co.uk



.

Friday, October 19, 2018

Lelaki hilang isteri dan anak selepas palsukan kematian sendiri untuk dapat bayaran insurans



Lelaki hilang isteri dan anak selepas palsukan kematian sendiri untuk dapat bayaran insurans | Gara-gara mempalsukan kematian sendiri untuk mendapat bayaran insurans, seorang lelaki di China kehilangan isteri dan dua anaknya yang dilaporkan membunuh diri. Lelaki berusia 34 tahun itu disahkan meninggal dunia selepas keretanya ditemui di dalam sungai walaupun 'mayatnya' gagal ditemui. Menurut polis, He bagaimanapun tidak memaklumkan kepada isterinya tentang rancangan tersebut dan wanita itu percaya suaminya benar-benar meninggal dunia. Dia yang sedih atas kehilangan suaminya itu nekad terjun ke dalam kolam bersama anak-anaknya selepas memuat naik nota bunuh diri di internet. He kemudiannya menyerah diri kepada polis di daerah Xinhua, wilayah Hunan pada Jumaat lalu. Dia didakwa atas tuduhan penipuan insurans dan kerosakan harta benda yang disengajakan.


Awal September lalu, He membeli pelan insurans bernilai 1 juta yuan (RM600,000) tanpa pengetahuan isterinya dan menamakan wanita itu sebagai benefisiari. Dia turut meminjam kereta untuk memalsukan kematiannya dalam kemalangan itu pada 19 September lalu. Pada Khamis lalu, mayat isteri dan dua anak mereka berusia tiga dan empat tahun telah ditemui di dalam kolam berhampiran rumah mereka. - BBC




#insuranskematian #palsukankematian




.

Friday, September 21, 2018

Bibir bawah lelaki hancur digigit selepas bergaduh dengan wanita Thai



Bibir bawah lelaki hancur digigit selepas bergaduh dengan wanita Thai | PARA sukarelawan penyelamat mungkin tidak bersedia untuk melihat insiden luar biasa yang berlaku di Pattaya, awal pagi Khamis apabila seorang warga India berusia 30 tahun digigit oleh seorang wanita Thailand dalam satu pergaduhan. Dalam video yang disiarkan oleh laman berita tempatan Pattaya, Siamchon News, Sukanya Paphag, 38 tahun, dapat dilihat sedang bergelut dengan Shashank Agarwal di kaki lima jalan. Apabila sukarelawan penyelamat tiba pada jam 4 pagi, mereka mendapati bahagian mulut Agarwal berlumuran darah dengan potongan daging hilang dari bibir bawahnya, menurut Workpoint. Dalam video itu, selepas mereka dipisahkan oleh orang awam yang ada di situ, Paphag dapat didengar memarahi lelaki itu sambil menjerit 'celaka kamu pukul saya'.


Ketika Paphag bertegas dan bersungguh-sungguh menyatakan bahawa Agarwal menyerangnya, lelaki itu berteriak kembali menyatakan bahawa tidak melakukan apa-apa. Penyelamat melakukan rawatan perubatan asas terhadap Agarwal sebelum dia digegaskan ke Hospital Memorial Pattaya, lapor Siamrath. Pihak berkuasa merancang menginterogasi kedua-dua pihak sebelum mengeluarkan sebarang pendakwaan. Paphag kini berada dalam tahanan polis. -AP



#bergaduh #pergaduhan #akibatpergaduhan




.

Tuesday, September 4, 2018

Mayat bayi ditemui dalam beg plastik dan 'bertukar' menjadi sisa perubatan di hospital



Mayat bayi ditemui dalam beg plastik dan 'bertukar' menjadi sisa perubatan di hospital  | DALAM satu kejadian yang mengejutkan, sekurang-kurangnya 14 mayat dipercayai bayi baru lahir ditemui dalam keadaan dibungkus dengan beg plastik, di Haridebpur, selatan Kolkata pada Ahad, kata polis. Dilitupi dengan pokok renek dan ranting, mayat-mayat ditemui pada petang Ahad ketika kawasan tanah berumput itu dibersihkan. Kawasan ini telah ditutup oleh pegawai polis Kolkata susulan penemuan tersebut. Datuk Bandar Sovan Chatterjee dan pesuruhjaya polis Rajeev Kumar bergegas ke tempat kejadian. “Saya dimaklumkan oleh ahli dewan tempatan bahawa kawasan itu dipenuhi dengan sampah-sarap selama berbulan-bulan dan perlu dibersihkan. “Ketika kerja pembersihan dijalankan, 14 mayat bayi baru lahir dijumpai dari satu bahagian kawasan itu. Mayat-mayat telah dibalut dengan plastik dan bahan kimia digunakan untuk mengelak mayat daripada terus reput,” kata Chatterjee.


“Polis sentiasa berjaga-jaga di tempat kejadian. Seluruh kawasan perlu dibersihkan untuk menentukan bilangan sebenar mayat yang dibuang di sini,” katanya. Bagaimanapun, menurut Hindustantimes polis tidak membuka bungkusan tersebut sebaliknya terus menghantarnya ke hospital M R Bangur untuk bedah siasat. Pada petang, doktor memberitahu pihak polis bahawa bungkusan itu tidak mengandungi tisu manusia sebaliknya mempunyai sisa perubatan. “Doktor yang membuka bungkusan itu tidak menemui tisu manusia.

Mereka menemui sisa perubatan dalam ais kering. Pemeriksaan masih dijalankan untuk menentukan jenis bahan yang tepat,” kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Bahagian Selatan-Barat Kolkata Nilanjan Biswas. “Tidak timbul persoalan melakukan bedah siasat kerana tiada unsur manusia ditemui,” kata seorang doktor di hospital M R Bangur dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan. Seorang pegawai polis yang tidak mahu dikenalpasti berkata berita penemuan bungkusan ini menimbulkan panik kerana pada November 2016, Jabatan Siasatan Jenayah Polis Bengal menemui dua rangka dan tiga tengkorak bayi baru lahir dari premis NGO Maslandapur di North 24 daerah Parganas. -KhaleejTimes



#mayatbayi #sisaklinikal





.

Monday, September 3, 2018

Lelaki dijatuhi hukuman penjara 11 tahun selepas seludup sejenis ubat rohani yang terkenal di Peru



Lelaki dijatuhi hukuman penjara 11 tahun selepas seludup sejenis ubat rohani yang terkenal di Peru | SEORANG lelaki Rusia baru-baru ini dijatuhi hukuman penjara 11 tahun enam bulan kerana membawa pulang dua botol kecil 'ayahuasca', sejenis ubat rohani yang terkenal yang dihasilkan oleh orang asli di Amazon yang dibelinya semasa melawat Peru. Maxim Gert, penduduk Nizhny Tagil, sebuah bandar di Wilayah Sverdlovsk, Rusia, tidak tahu bahawa cenderahati ringkas yang dibelinya ketika melawat Peru atas urusan kerja itu akan menyebabkan dirinya disumbat ke dalam penjara. Gert telah lama menderita sakit belakang dan ketika berada di negara Amerika Selatan, seseorang mencadangkan kepadanya untuk bertemu dengan salah seorang dukun tempatan dan mencuba ayahuasca, sejenis air rebusan ramuan tradisional yang dikatakan mempunya sifat psikoaktif. Tidak jelas sama ada air itu berkesan ketika diminum di Peru, tetapi dia memutuskan untuk meneruskan rawatan ayahuasca di rumah, jadi dia membawa pulang dua botol kecil.


Ternyata ia satu kesilapan besar. Dalam perjalanan pulang dari Peru ke Nizhny Tagil, Gert telah singgah di beberapa negara, tetapi botol ayahuasca langsung tidak pernah menarik perhatian petugas kastam. Walau bagaimanapun, keadaan berbeza apabila dia mendarat di lapangan terbang Domodedovo, Rusia. Semasa pemeriksaan rutin, kakitangan lapangan terbang mengambil botol minyak tersebut dan menghantarnya ke makmal untuk diuji.Hasilnya menunjukkan kepekatan dimethyltryptamine yang tinggi, sebatian psikoaktif yang kuat yang tidak dibenarkan di Rusia. Gert ditangkap dan didakwa memiliki dadah dengan niat untuk menjualnya. Peguam lelaki itu mendakwa anak guamnya terkejut dengan tuduhan-tuduhan ini kerana dia tidak pernah membayangkan bahawa ayahuasca dapat menimbulkan masalah. Dia percaya ia adalah ubat semulajadi yang dapat membantu memulihkan sakit belakangnya.

"Minuman ini bebas dan sah dijual di seluruh Peru, ia adalah harta negara," kata peguam Vladimir Brigadin kepada 1tv. "Ia dipanggil 'ayahuasca'. Maxim membeli dua botol minuman ini, benar-benar yakin bahawa ia tidak menyalahi undang-undang dan dengan selambanya memasukkannya ke dalam bagasi." Malangnya, penjelasan ini tidak meyakinkan hakim yang mengetuai kes ini dan Gert baru-baru ini dijatuhi hukuman penjara kerana penyeludupan dadah. Kekurangan rekod jenayah dan keterangan rakan-rakan dan keluarganya bahawa dia tidak pernah menggunakan atau mengambil dadah nampaknya tidak cukup kuat. Peguam Gert sudah berusaha merayu, tapi peluang kejayaannya sangat tipis. Bagi mana-mana pelancong seperti Gert mereka harus berfikir dua kali sebelum membawa balik produk seperti ini ke rumah. Ayahuasca adalah haram di beberapa negara, bukan hanya di Rusia, tetapi mencetuskan kemarahan ramai berhubung hukuman berat yang ditetapkan dalam kes ini.

Walaupun semua bukti menunjukkan ia adalah satu kecuaian dan kejahilan, tetapi sistem keadilan memutuskan dirinya sebagai penyeludup dadah. Ini bukan kali pertama seseorang ditahan kerana membawa ayahuasca ke Rusia. Big Picture melaporkan bahawa hakim yang sama yang menjatuhkan hukuman terhadap Gert, sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara sehingga 3 tahun terhadap seorang dukun Brazil terkenal kerana membawa enam botol minuman hallucinogenik ke Rusia. Kenapa hukuman Gert lebih panjang? Dikatakan, presiden Brazil sendiri telah campur tangan bagi pihak dukun itu, tetapi lelaki Rusia itu tidak mempunyai hubungan sedemikian. Kes ini mengingatkan kita kepada satu lagi kes yang mengejutkan keadilan Russia, di mana seorang lelaki dijatuhi hukuman 10 tahun penjara kerana memiliki beg teh herba yang diimport, yang pihak berkuasa mendakwa mengandungi bahan haram. -oddity




#ubatrohani #pengedardadah




.

Thursday, August 9, 2018

Lelaki kudung kedua-dua tangan guna gunting tikam seorang pelancong



Lelaki kudung kedua-dua tangan guna gunting tikam seorang pelancong | SEORANG lelaki kudung kedua-dua tangan dari Florida, Amerika Syarikat menggunakan kakinya untuk memegang gunting dan menikam seorang pemuda berusia 22 tahun bernama Cesar Coronado. Polis Pantai Miami menahan lelaki berusia 46 tahun Jonathan Crenshaw (gambar) yang mendakwa tindakannya itu adalah bagi mempertahankan dirinya daripada pelancong tersebut. Kata Crenshaw, dia sedang berbaring ketika Coronado mendekati dan menendangnya. Crenshaw cukup terkenal di kawasan tersebut kerana kebolehannya melukis menggunakan kaki. Ia seperti kebolehan luar biasa yang dimilikinya.


Rakan Coronado memberitahu polis, mereka meminta Crenshaw menunjukkan jalan ketika lelaki itu tiba-tiba menikamnya. Menurut laporan News Fix Daily, mangsa segera dibawa ke hospital. -AP


#kesjenayah #gunaguntingtikamorang




.

Wednesday, August 8, 2018

Pemilik kedai roti terharu penceroboh kedainya pulang tangan kosong kerana kek palsu



Pemilik kedai roti terharu penceroboh kedainya pulang tangan kosong kerana kek palsu  | SEORANG pemilik kedai roti mahu lelaki yang memecah masuk kedainya minggu lalu supaya menghubunginya untuk diberikan kek percuma. Wanita itu yang hanya dikenali sebagai Wang memberitahu Jiangsu Television pada Jumaat bahawa dia sudah membuat laporan polis susulan pencerobohan itu. Namun, dia bertindak menarik semula laporan polis setelah membuat penelitian kamera keselamatan dan mendapati tiada sebarang kehilangan berlaku. Menerusi kejadian di Nangjing, Jiangsu pada Rabu lalu, lelaki berusia dalam lingkungan 30 tahun itu dirakam memasuki kedai itu sebelum berjalan ke arah ruang kek. Dia kelihatan membuat perbandingan antara empat kek sebelum memilih satu daripadanya.


Kemudian, dia menyedari kek tersebut hanyalah kek palsu yang digunakan untuk tujuan pameran sebelum meletakkannya semula dan berlalu keluar dari kedai itu. Tersentuh hati dengan rakaman itu, pemilik kedai berkenaan merayu supaya lelaki itu menghubunginya untuk diberikan kek percuma. "Dalam rakaman itu dia tidak kelihatan seperti mahu mencuri. Mungkin keluarganya miskin dan dia tak mampu untuk beli kek. "Kadang-kadang ramai orang susah tapi mereka tak suka meminta bantuan. "Kalau betul kamu mahu kek untuk anak kamu, sila beritahu saya, hubungi saya, kami berbesar hati untuk bagi kek percuma," rayu pemilik kedai itu. -AFP



#penceroboh #kedaikek



.

Saturday, August 4, 2018

Lelaki selamba berjalan sambil pegang kepala isterinya yang dipenggal



Lelaki selamba berjalan sambil pegang kepala isterinya yang dipenggal | SEORANG lelaki dirakam berjalan dengan selamba di lorong-lorong kecil sambil memegang kepala isterinya yang dipenggal. Lelaki itu, yang hanya dikenali sebagai Zhang, 31, dituduh menyembelihnya di flat kediaman mereka, dalam kejadian di China. Dia dipercayai keluar dari pintu depan rumahnya bersama kepala isterinya dan kemudian membawanya ke pusat pemindahan sisa untuk membuangnya. Kejadian itu berlaku di kampung Kangle di daerah Haizhu, Guangzhou, Selatan China. Kepala mangsa kemudian ditemui oleh pekerja sanitasi yang segera menghubungi polis. Mayat Xia, 28, dijumpai tanpa kepala di dalam flat tempat dia dan suaminya tinggal, dengan Zhang kemudian ditangkap atas tuduhan membunuh.


Pasangan itu berasal dari utara China, kata pihak berkuasa daerah Haizhu dalam satu kenyataan umum. CCTV juga muncul menunjukkan saat-saat ketika Zhang keluar dari pintu depan bangunan flatnya sambil memegang kepala isterinya menggunakan tangan kirinya. Seorang lagi lelaki tidak dikenali turut dilihat menemaninya ketika dia berjalan dengan tenang di sepanjang jalan lorong sebelum melupuskan kepala pasangannya. -metroUK



#kespembunuhan



.

Wednesday, June 6, 2018

Budak pertaruhkan nyawa selamatkan bapa yang jadi tebusan perompak bersenjata



Budak pertaruhkan nyawa selamatkan bapa yang jadi tebusan perompak bersenjata | SEORANG budak lelaki berusia enam tahun mempertaruhkan nyawanya demi menyelamatkan bapanya daripada menjadi tebusan sekumpulan perompak bersenjata. Kejadian itu berlaku pada Sabtu lalu di sebuah pasar di Paranavai, sebuah bandar di selatan Brazil. Melihatkan bapanya diacu pistol di bahagian leher, kanak-kanak itu dengan pantas menendang dan menumbuk penjenayah terbabit. Francisco Carlos Alves Silva cuba meredakan tiga perompak bersenjata dan meminta anaknya ke belakang bagi mengelakkan sebarang bahaya.


 Dia kemudia menyerahkan dompetnya kepada perompak berkenaan. Kumpulan penjenayah itu kemudian melarikan diri dan mangsa tidak dicederakan. Keberanian kanak-kanak itu dirakamkan menerusi kamera litar tertutup, menunjukkan budak berkenaan tampil berdepan dengan kumpulan perompak. - Mirror UK



#tebusan #menyelamatkannyawa



.

Thursday, May 17, 2018

Lelaki hilang penglihatan selepas matanya dikorek guna sudu kerana mahu nikah dengan gadis pilihannya



Lelaki hilang penglihatan selepas matanya dikorek guna sudu kerana mahu nikah dengan gadis pilihannya | Gara-gara mahu bernikah dengan gadis pilihannya, seorang lelaki hilang penglihatan selepas matanya dikorek keluar menggunakan sudu oleh bapa dan empat adik beradik lelakinya. Abdul Baqi, 22, dari perkampungan Nasirabad di wilayah Balochistan telah meminta keluarganya menghantar rombongan meminang teman wanitanya. Namun permintaan itu mencetuskan kemarahan bapanya, Dost Muhammmad, 70, dan empat adik beradik lelakinya iaitu Abdul Ghani, Abdul Sattar, Abdul Rehman dan Abdul Karim. Mereka didakwa mengurung mangsa di dalam sebuah bilik dan mengorek keluar matanya tanpa belas kasihan. Malah, semua suspek turut mengurung ibu mangsa di dalam bilik berlainan supaya dia tidak mencampuri urusan tersebut.


 "Saya memberitahu bapa dan adik beradik lelaki yang lain bahawa saya mahu bernikah dengan kekasih saya. "Bapa saya pada awalnya bersetuju. Namun tiga jam kemudian dia bawa saya masuk ke dalam bilik dan empat adik beradik yang lain mengikat saya di atas katil. "Mereka kemudian mengorek keluar mata saya. Saya menjerit meminta tolong tetapi tidak diendahkan," kata Bagi. Meskipun saya merayu supaya perbuatan itu dihentikan, mereka tetap bertindak mengorek keluar sebelah lagi mata saya. Baqi dikejarkan ke hospital oleh adik beradiknya dengan doktor mengesahkan dia buta seumur hidup. Polis telah menahan bapa Baqi dan dua adik beradiknya selain memburu dua yang lain yang masih bebas. -AP



#gadispilihan #rombonganmeminang



.

Tuesday, May 15, 2018

Rakaman guru berdiri atas meja dan tampar serta tarik rambut seorang pelajar yang sedang tidur jadi tular



Rakaman guru berdiri atas meja dan tampar serta tarik rambut seorang pelajar yang sedang tidur jadi tular | RAKAMAN mengejutkan muncul menunjukkan seorang guru berdiri di atas meja dan kemudian menampar serta menarik rambut seorang pelajar yang sedang tidur. Lisa Houston, yang telah mengajar di sekolah di South Carolina, AS, selama 27 tahun akhirnya bersara selepas video dia cuba mengejutkan pelajar yang sedang tidur itu tular. Ia menunjukkan Houston menghentak meja pelajar lelaki itu dengan kakinya di dalam kelas, menamparnya dan menarik rambutnya dalam usaha mengejutkan pelajar itu dari tidur. Pelajar lain dapat didengari hanya ketawa ketika wanita itu memijak dada rakan mereka dan menyandarkan untuk dilempang.


Pelajar lelaki dalam video itu, yang dirakamkan bulan lalu, berulang kali cuba untuk meletakkan kepalanya di meja untuk kembali tidur. Houston mendakwa walaupun video itu nampak teruk, tindakannya telah dilihat di luar konteks. "Jika kamu tanya kepada mana-mana pelajar saya, mereka akan beritahu bahawa saya 'sekepala' dengan mereka, membuatkan mereka terus berjaga dan saya sentiasa ketawa dengan mereka dalam kelas," katanya dalam satu kenyataan kepada WYFF. "Sekiranya kamu tak tahu situasi, tak tahu apa yang sedang berlaku, ia bukanlah tindakan yang jahat. Ia melucukan.


"Saya mahu orang ramai tahu bahawa saya suka dengan pelajar itu dan hubungan kami sangat baik, saya tak akan buat apa-apa untuk menyakitinya." Peletakan jawatannya mencetuskan protes besar-besaran daripada pelajar yang mahu dia dikembalikan semula. Bapa remaja dalam video itu, Julian Johnson, berkata tidak seorang pun daripada mereka meminta guru itu dikenakan tindakan disiplin. Dia memberitahu Fox Carolina: "Anak saya tidak ada kaitan dengannya, dia letih dan tertidur. Saya tidak menghubungi sekolah minta dia dipecat, saya harap ia akan berlalu dan tidak pernah berlaku." Satu petisyen telah dibuat untuk mempertahankan tindakan Houston mendakwa dia secara salah dituduh menyakiti dan menganiaya pelajar. -AFP



#rakamanvideo #kejadiandisekolah



.

Friday, May 4, 2018

Lelaki ditemui maut dengan kesan tikaman dileher, usus terburai dan kemaluan dipotong



Lelaki ditemui maut dengan kesan tikaman dileher, usus terburai dan kemaluan dipotong | Seorang warga emas di Indonesia ditemui maut dalam keadaan ngeri dengan kesan tikaman di leher, usus terburai serta kemaluan dipotong. Mayat mangsa yang dikenali sebagai Mail, 65, seorang penduduk di Desa Karang Kedawung, Kecamatan Mumbulsari, ditemui oleh anak perempuannya, Selani, 40, ketika mahu membuang sampah di belakang rumah. Menurut Ketua Polis Daerah Mumbulsari, AKP Heri Supadmo, pihaknya menemui senjata seakan kerambit serta cebisan kemaluan mangsa yang dipotong di tempat kejadian.


Setakat ini, pihak polis masih lagi dalam proses menyoal siasat penduduk sekitar bagi mengetahui punca sebenar kejadian. Walaupun sudah berusia, Mail dilaporkan masih sihat dan setiap hari dia akan berniaga makanan di warung berhampiran rumahnya. - Detik.com


#pembunuhankejam #kespembunuhan



.

Thursday, May 3, 2018

Gadis akui masih sayang dan cinta walaupun telah menjadi mangsa serangan ganas teman lelaki



Gadis akui masih sayang dan cinta walaupun telah menjadi mangsa serangan ganas teman lelaki  | ANAK lelaki seorang pegawai kerajaan China dipenjara atas kesalahan memukul teman wanitanya walaupun mangsa memohon supaya dia dijatuhkan hukuman ringan. Menerusi kamera CCTV di bangunan The Heron, London, Hartao Pan, 25, mengheret Jinghan Zhang, 22, sebelum menyerangnya selama 10 minit di bahagian badan dan muka. Ketika mangsa melarikan diri ke bilik mandi dan mengunci pintu, Pan menendangnya berulang kali dan mengambil pisau serta menikam pintu bilik mandi itu seperti babak dalam filem seram 'The Shining.' Pan dikatakan menyerang teman wanitanya kerana mengesyaki dia berbalas mesej cinta dengan lelaki lain menerusi aplikasi sembang WhatsApp. Dia ditangkap selepas gadis itu berjaya keluar dari flat kediamannya setelah meminta seorang penyambut tetamu untuk memanggil polis.


Bagaimanapun, Zhang yang sedang menuntut dalam bidang filem di Goldsmiths University, masih menyokong teman lelakinya sewaktu dia didakwa di mahkamah. Ujarnya, dia masih mencintai teman lelakinya dan serangan itu 'tidak memberi impak kepadanya'. Sementara itu, Hakim, Michael Topolski QC menganggap kenyataan gadis itu sebagai 'mengganggu' dan menolak permohonannya supaya hukuman penjara tidak dilaksanakan. "Mahkamah kerap menyaksikan kes serangan ke atas wanita. Sikap cemburu menjadi punca kepada serangan ini.. "Penggunaan pisau menunjukkan tahap kemarahan yang melampau dalam diri suspek. Tak boleh nak bayangkan bagaimana perasaan mangsa pada waktu itu. "Kesalahan ini hanya boleh diselesaikan dengan menjatuhkan hukuman penjara segera ke atas pesalah," ujar hakim berkenaan. Menurut pihak mahkamah, pasangan itu mula bersama sejak zaman remaja dan datang ke Britain untuk menyambung pelajaran di peringkat sarjana beberapa tahun lalu.

Gadis itu menuntut dalam bidang filem manakala teman lelakinya baru memulakan pengajian dalam bidang alam sekitar setelah menghabiskan setahun untuk mempelajari bahasa Inggeris. Yuran pengajian Pan dan sewa rumahnya dibiayai oleh bapa saudaranya yang memiliki restoran di China, dan bapanya dikatakan bertugas sebagai ketua pasukan yang berkhidmat untuk kerajaan China. Pada 1 April lalu, pasangan itu dikatakan keluar ke sebuah restoran Jepun sebelum kembali ke apartmen pada pukul 11 malam untuk minum. Pan dikatakan menghabiskan tiga botol whisky Jepun, sebotol wain Jepun dan dua minuman koktel Jaeger bomb. Rakaman CCTV sekitar pukul 10.30 pagi keesokan harinya memaparkan Zhang berlari keluar dari apartment sambil diekori Pan.

Menurut pendakwaraya Sherry Nabijoo, Pan dilihat mengheret mangsa kembali ke apartmen berkenaan. Menurut kenyataan Zhang kepada pihak polis, dia mula disepak ketika sedang menggunakan telefon di dalam bilik tidur. Selain disepak di kaki dan muka, suspek turut memecahkan gelas ke lantai. Zhang dikatakan mengunci dirinya di dalam bilik air sebelum Pan menikam pintu kayu lebih 10 kali. Gadis itu berjaya keluar sewaktu lelaki itu sedang leka bercakap telefon. "Saya minta maaf, saya mabuk," ujar Pan kepada polis. Menerusi penjelasan kepada pegawai pemeriksa, Pan menjelaskan tindakannya berpunca kerana dia menyangka Zhang sedang berbalas mesej cinta dengan lelaki lain.

Tambahnya, perasaannya semakin tidak menentu setelah teman wanitanya bertindak mengunci diri di dalam bilik air kerana bimbang wanita itu tidak sedarkan diri selepas dipukulnya. Zhang berada di mahkamah sepanjang sesi pendengaran. Pan mengaku bersalah atas kesalahan mencederakan teman wanitanya dan dipenjara selama lapan bulan. -The Telegraph



#keganasanrumahtangga #kesserangan



.

Tampar teman lelaki 41 kali depan orang ramai selepas lelaki itu dikatakan mengajak 10 wanita untuk tidur dengannya



Tampar teman lelaki 41 kali depan orang ramai selepas lelaki itu dikatakan mengajak 10 wanita untuk tidur dengannya | SEORANG wanita dilihat melempang teman lelakinya sebanyak 41 kali dalam satu rakaman video. Wanita itu dikatakan menuduh kekasihnya mengajak 10 wanita untuk tidur dengannya. Video tersebut yang disiarkan oleh Apple Daily menunjukkan lelaki itu berulang kali menafikan tuduhan terhadapnya, malangnya penafian itu dengan lebih banyak penampar' daripada teman wanitanya. Kejadian berlaku di tempat awam dan dapat dilihat orang ramai yang lalu-lalang di situ. Pada satu ketika, lelaki itu dapat dilihat menampar teman wanitanya itu dan menarik rambutnya. Sambil melempang kekasihnya, dalam video itu dapat didengar wanita itu bertanya 'berapa wanita', manakala lelaki itu memberi amaran bahawa dia akan memanggil polis jika tindakannya itu tidak dihentikan.


 Kejadian itu dirakamkan oleh seorang wanita bernama Cheuk, yang memberitahu akhbar ia berlaku kira-kira pukul 4 petang Khamis di stesen MTR Yau Tong, Hog Kong. Cheuk memberitahu Apple Daily bahawa ramai yang terkejut dengan apa yang mereka lihat, tetapi tidak ada yang campur tangan. Jurucakap MTR Corporation memberitahu akhbar bahawa kakitangan stesen bertindak menghampiri pasangan itu selepas menerima laporan. Pasangan itu meninggalkan premis tersebut selepas mereka didatangi oleh kakitangan MTR.

Polis juga memberitahu media bahawa mereka tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian itu. Ini bukanlah kali pertama seorang wanita dirakam menampar teman lelakinya beberapa kali di tempat awam. Pada 2013, seorang lelaki dirakam sedang melutut meminta maaf, manakala teman wanitanya memegang rambutnya dan menamparnya sebanyak 14 kali kerana menuduh kekasihnya itu membawa seorang gadis ke rumahnya. Seorang orang awam cuba campur tangan, tetapi pegawai tiba di tempat kejadian tidak lama kemudian untuk menangkap wanita itu kerana didakwa melakukan serangan. -AP



#keganasanrumahtangga #lelakicurang



.

Terpaksa berpura-pura mengaji selepas curi duit tabung masjid



Terpaksa berpura-pura mengaji selepas curi duit tabung masjid | Seorang lelaki warga Kemboja yang leka 'memancing' duit tabung Masjid Al-Ansar, Meru Raya di sini bertindak mengaji al-Quran selepas menyedari kehadiran pihak polis di pekarangan masjid berkenaan. Dalam kejadian pada pukul 4.15 pagi itu, suspek yang berusia 31 tahun bagaimanapun terus ditahan polis bersama wang tunai berjumlah RM160 yang disimpan di dalam poket bajunya hasil daripada kegiatan mencuri itu. Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, pihaknya mendapat maklumat mengenai kejadian itu melalui panggilan telefon daripada pengurusan masjid yang melihat kegiatan lelaki berkenaan melalui rakaman televisten litar tertutup (CCTV).


“Melalui rakaman CCTV itu, pihak masjid melihat seorang lelaki masuk ke kawasan masjid dan mula mencuri duit di dalam tabung. “Sepasukan anggota dari Balai Polis Jelapang terus bergegas ke sana dan mereka mendapati lelaki tersebut yang berpakaian baju Melayu dan berkain pelikat sedang duduk di sebelah tabung sedang mengaji al-Quran,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi. Tambah Mohd. Ali, lelaki tersebut dipercayai berpura-pura mengaji al-Quran kerana bimbang kegiatannya terbongkar. “Hasil pemeriksaan mendapati suspek menyembunyikan wang curi RM160 itu di dalam poket baju. “Anggota turut menemui empat tali kabel yang terdapat pelekat di hujung dalam lipatan kain pelikat yang dipakainya,” katanya. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri. - Kosmo



#tabungmasjid #curiduit #curiduittabungmasjid



.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!