KELANA JAYA: “Sebelum ini, saya terpaksa menangguhkan pemergian ke Tanah Suci Makkah kerana tidak sanggup meninggalkan dua cucu yang ketika itu masih kecil,” kata Sharipah Adam, 63, salah seorang jemaah haji kumpulan kesembilan (KT09) yang ditemui di Kompleks Haji Kelana Jaya di sini, semalam.
Sharipah adalah antara 340 jemaah haji yang berlepas ke Makkah jam 7.30 petang semalam dan dijangka tiba di Jeddah jam 11.30 malam waktu tempatan (5 pagi waktu Malaysia).
Menurut ibu kepada empat cahaya mata itu, pemergiannya ke Tanah Suci diiringi ibu saudaranya, Ramlah Mobil, 79, dan anak saudaranya, Rozaini Abdullah, 57.
Tambah Sharipah, sudah lama dia menyimpan hasrat menunaikan haji dan mula menyimpan duit sejak 40 tahun melalui potongan gaji sebanyak RM50 sebulan sebelum mendaftarkan diri pada 2002 sebaik saja bersara sebagai kakitangan kerajaan.
“Pemergian suami akibat sakit jantung pada 1994 banyak mengubah kehidupan saya memandangkan ketika itu semua anak bersekolah dan kecil menyebabkan saya perlu berjimat ketika berbelanja.
“Namun, keinginan yang kuat untuk mengerjakan haji menyebabkan saya memperuntukkan sedikit wang setiap bulan. Saya gembira kerana dapat mengerjakan haji dengan hasil titik peluh sendiri selain bantuan daripada anak-anak,” katanya yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Sharipah berkata, dia pernah menangguhkan pemergian pada 2005 dan 2006 kerana ingin menjaga dua cucu yang tinggal bersamanya. Namun, kali ini dia seolah-olah mendapat seru dan terbuka pintu hati untuk menunaikan rukun Islam yang kelima.
“Seperti jemaah lain, saya berharap memperoleh haji mabrur dan mampu menjalani ibadah di sana dengan sebaik mungkin,” katanya.
Bagi Ramlah yang ditemani anaknya, Rozaini berharap segala urusannya di sana nanti berjalan dengan lancar dan mampu melakukan ibadat dengan baik walaupun sedar dirinya sudah berusia dan menghidap kencing manis.
Menurutnya, walaupun hanya dimaklumkan terpilih untuk ke Makkah sebelum bulan puasa lalu, namun, persediaan sudah dibuat lebih awal sejak mereka mula mendaftar pada 2006.
“Sebelum ini, kami pernah membuat rayuan agar dipercepatkan giliran tetapi saya bersyukur masa ditunggu tiba juga akhirnya,” katanya.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment