Monday, October 11, 2010

Terkini kes Datuk Sosilawati

Polis tak mahu terburu-buru: Bakri

ORANG awam mengambil kesempatan melihat tempat disyaki Sosilawati dan tiga individu lain dibunuh dekat Ladang Gadong, Tanjung Sepat.

Kertas siasatan diserah dengan bukti lengkap

KUALA LUMPUR: Kertas siasatan kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara apabila segala fakta dan bukti yang dikumpul sepanjang proses siasatan termasuk penyiasatan kes lain yang dikaitkan dengan suspek, dilengkapkan sepenuhnya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, sehubungan itu meminta semua pihak bersabar dan memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan terperinci kes itu bagi memastikan mereka yang didapati terbabit dihadapkan ke muka pengadilan.
Beliau berkata, polis tidak terburu-buru dalam melengkapkan kertas siasatan kerana proses penyiasatan yang dijalankan perlu dilakukan secara terperinci termasuk mengemukakan bukti dan fakta bagi membantu mengukuhkan proses pendakwaan.

“Kita tidak boleh terburu-buru (menyiapkan kertas siasatan) bagi kami ruang dan jangan ‘push’ kami untuk siapkan siasatan dengan segera kerana kita tidak mahu ada perkara yang mungkin menjejaskan penyiasatan.

“Apabila siap semua siasatan (termasuk kes lain yang terbabit), kita akan serahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut. Selepas itu terpulang kepada mereka untuk menilainya dan membuat keputusan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Sebelum ini, polis dilapor menubuhkan dua pasukan petugas khas iaitu satu untuk menyiasat kes pembunuhan Sosilawati, manakala satu lagi bagi menyiasat laporan orang hilang yang di-kaitkan dengan suspek.
Sosilawati, 47, yang juga pengasas produk kecantikan, Nouvelle Visages, dibunuh bersama pemandunya, Kamaruddin Shansuddin, 44; peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dan perunding kewangannya, Noorhi-sham Mohammad, 38, di sebuah ladang persendirian di Tanjung Sepat, Morib pada 30 Ogos lalu.

Susulan itu, polis menahan reman lapan suspek termasuk dua peguam adik beradik bagi membantu siasatan. Sebaik tempoh reman 14 hari tamat, mereka ditangkap semula bagi membantu siasatan kes bunuh ahli perniagaan India, Muthuraja Allal Kanthan.

Semua suspek ketika ini sedang direman bagi membantu siasatan kes kehilangan kontraktor dari Sungai Petani, Kedah, Shafik Abdullah, 37, bersama rakannya yang dilaporkan hilang sejak lima bulan lalu.

Jabatan Peguam Negara sebelum ini mengembalikan semula kertas siasatan kes pembunuhan Sosilawati kepada polis pada 21 September lalu untuk diperincikan lagi.

Mengulas lanjut, Mohd Bakri memberi jaminan, akan ada satu keputusan yang diperoleh pada akhir siasatan kes pembunuhan kejam itu.

“Akhirnya nanti akan ada individu didakwa... tetapi tunggulah sehingga kita menyelesaikan sepenuhnya siasatan,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas apabila ditanya sama ada kertas siasatan yang akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara nanti membabitkan tiga kes berasingan atau disatukan semua kes yang disiasat pihaknya.







.

2 Penyokong CHELSEA:

Unknown on October 11, 2010 at 9:51 AM said...

Bagus la kalo pihak polis wat kertas kerja tu bebetul..
Takut nanti penjenayah terlepas dari hukuman lak..

Lulu Caldina on October 11, 2010 at 10:01 AM said...

ehmm betul tu.. Apa akan jadi kalau penjenayah yang bersalah tu dihukum macam apa yg dia buat pd mangsa-mangsa tu..

vasss...baru adil..

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!