Saturday, November 27, 2010

Liverpool mampu tewaskan Spurs


Jamie Carragher mendakwa Liverpool mampu menumbangkan Tottenham sekali lagi tanpa kehadiran Steven Gerrard.
Carra mengakui, kehilangan Gerrard merupakan satu tamparan hebat buat Liverpool, setelah rakan sepasukannya itu terpaksa diketepikan ekoran kecederaan hamstring.

Tetapi, dia menegaskan, Reds mampu menghadapi Spurs, Ahad ini, jika pertemuan musim lalu diambil kira apabila Liverpool menewaskan pasukan bimbingan Harry Redknapp itu 2-0 di Anfield, meskipun tanpa kelibat Gerrard dan Fernando Torres.

''Tidak diragui lagi, sememangnya Steven bakal terlepas pertemuan ini, tidak kira kami mencatat kemenangan, kalah atau pun seri kerana dia merupakan pemain yang amat penting,'' kata naib kapten Liverpool itu.
''Semua orang tahu, Steven merupakan pemain yang berkualiti dan ia sesuatu yang amat mengecewakan apabila dia tidak dapat beraksi kerana dia kini berada pada tahap terbaik.

''Tetapi, ia terpulang kepada kami untuk beraksi baik, seperti mana yang kami berjaya lakukan sewaktu menewaskan Spurs, pada Januari lalu, tanpa kehadiran Steven dan Fernando.

''Terdapat beberapa persamaan kerana perlawanan itu berlangsung selepas kami mencatat keputusan menghampakan ketika menentang Stoke setelah kami sekadar seri 1-1, tetapi, kami membuktikan yang kami mampu bangkit kembali.''
Bos Reds, Roy Hodgson mengakui Spurs bukan lagi sebuah pasukan 'belasahan', tetapi, dia menegaskan, Liverpool mampu menamatkan rekod tiga kekalahan berturut-turut di White Hart Lane.

''Untuk mencapai kemenangan sememangnya sukar jika bertemu dengan pasukan utama dan kami terpaksa mengakui yang Tottenham kini bukan Tottenham yang dulu,''katanya.
''Mereka kini merupakan pasukan yang hebat dan dibarisi pemain yang mahal. Kami tidak lagi beraksi dengan pasukan 'belasahan'.

''Kami kini berada di kondisi terbaik, satu kekalahan dalam lapan perlawanan merupakan pencapaian yang bagus. Kami gembira dengan situasi ini, tetapi, kami juga bukan bodoh.
''Kami tahu, jika kami bertandang ke Tottenham ia menjadi dua kekalahan dalam sembilan perlawanan, tetapi, jika kami bermain seperti yang diharapkan, kami mampu melakar kejutan.''




.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!