Friday, December 10, 2010

'Abang tolak saya ke tepi'

KANGAR: “Walaupun hampir lemas dan tertelan banyak air tetapi saya berusaha menyelamatkan abang (Mohammad Azfar) dengan memeluk bahunya tetapi arwah bertindak sebaliknya apabila menolak saya ke tepi seolah-olah tidak mahu turut lemas,” kata Mohammad Akil Md Ghani, 15, dari Kampung Batu 9, Beseri, dekat sini, semalam.

Menurutnya, abangnya dua kali menolak dia ke tepi dengan melepaskan tangannya yang merangkul leher arwah. Keadaan itu berbeza dengan tindakan sesetengah mangsa lemas biasanya mencapai atau memeluk apa saja untuk menyelamatkan diri.

“Saya yakin abang ngah tidak mahu saya turut lemas ketika dalam keadaan terdesak sebelum tenggelam dan terus hilang di dasar empangan dan ketika itu, mujur seorang rakan cepat menarik tangan saya untuk dibawa ke tebing tebing,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, kelmarin.

Katanya, ketika cuba menyelamatkan abangnya, dia mendapati permukaan empangan itu beralun selain terdapat arus agak deras di dasarnya hingga menyukarkannya berenang.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang kelmarin, mangsa, Mohammad Azfar, 18, pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) Alor Setar, lemas ketika berenang mendapatkan abang sulung mereka, Mohammad Afiq, 19, yang berada atas sampan bersama tiga lagi rakan di tengah Empangan Timah Tassoh.

Arwah yang bercuti semester bersama Mohamad Akil serta dua lagi rakan dikatakan mandi-manda di tebing empangan itu manakala Mohammad Afiq bersama tiga lagi rakan berada dalam sampan bersiar-siar di sekitar empangan berkenaan.

Sebaik melihat abang sulung mereka, Mohammad Azfar terus berenang, tetapi mengalami kekejangan sebelum tenggelam. Sebelum kejadian itu, tiga beradik itu bersama lima rakan sekampung mengambil peluang cuti persekolahan mandi-manda dan bersiar di empangan berkenaan. Mayat mangsa ditemui selepas 18 jam operasi menyelamat dijalankan kira-kira 30 meter dari tempat mangsa tenggelam oleh sepasukan lapan anggota Unit Penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat Perlis, jam 11.25 pagi semalam.

Ibu mangsa, Rosminah Baharom, seorang pegawai Jabatan Pelajaran Perlis sedang berkursus di Pulau Pinang dan bergegas pulang selepas dimaklumkan tragedi menimpa anak keduanya itu. Seorang rakan mangsa, Azrul Helmi, 17, berkata, sebelum turun ke empangan itu untuk berenang ke sampan dinaiki empat rakan mereka, Mohamad Azfar dikatakan sempat memberi nasihat supaya menjaga diri masing-masing.

“Saya terkejut arwah tiba-tiba memberikan nasihat supaya kami bertiga menjaga diri sebelum terjun ke empangan dan berenang ke arah sampan dinaiki abangnya bersama tiga lagi rakan. “Saya tidak menjangka pesanan terakhir arwah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Padang Besar, Deputi Superintendan Mat Rafae Hassan berkata, mangsa ditemui lemas ketika beriadah di empangan itu bersama tujuh lagi rakan termasuk adik dan abangnya.

“Arwah mungkin kepenatan sebelum lemas ketika berenang ke arah sampan kira-kira 100 meter dari tebing,” katanya.




.

3 Penyokong CHELSEA:

: husna : on December 10, 2010 at 10:25 AM said...

kasih adik terhadap abg nya.....


sedih bce berita nie :(

Ikr@m Sulaiman on December 10, 2010 at 1:37 PM said...

anak sedara jiran saya tu. Al - fatihah

Lulu Caldina on December 10, 2010 at 2:52 PM said...

huhu..takziahh...
al-fatihah

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!