MOSCOW: Sebuah pesawat penumpang terputus kepada beberapa bahagian selepas terhempas ketika melakukan pendaratan cemas, menyebabkan dua orang terbunuh dan lebih 80 cedera.
Menurut laporan, antara yang terbunuh dalam kemalangan itu ialah Gadzhimurad Magomedov, adik Presiden Dagestan, Magomedsalam Magomedov.
Seorang lagi ialah ibu seorang hakim Mahkamah Perlembagaan, Gadisa Gadzhyeva.
Pesawat Tupolev milik Syarikat Penerbangan Dagestan yang membawa 169 penumpang itu terbabas dari landasan selepas terhempas ketika mendarat di Lapangan Terbang Domodedovo dengan ketiga-tiga enjinnya tidak berfungsi.
“Akibat kemalangan pesawat Tu-154 itu, dua orang terbunuh.
“Kami mengambil semua langkah perlu untuk merawat mangsa yang cedera,” kata Menteri Kesihatan, Tatyana Golikova
Beliau bersama Menteri Pengangkutan, Igor Levitin memberi taklimat kepada Presiden Demitry Medvedev berhubung operasi menyalamat.
Muncung pesawat itu hancur sementara tangki minyaknya berkecai tetapi penumpang memuji kemahiran juruterbang dalam mendaratkan pesawat Tupolev yang sudah berusia itu dan mempunyai rekod buruk dari segi keselamatan.
Penumpang, Gamzat Guitinomagomedov memberitahu AFP, dia dalam penerbangan pulang ke Makhachkala, ibu negara Dagestan, selepas bekerja di Moscow.
“Ketika pesawat mendarat, kami menyangka ia akan selamat. Tetapi pendaratan itu begitu kasar dan kemudian ia seolah-olah melanggar sesuatu.
“Saya duduk di tengah. Pesawat itu putus dua, kira-kira empat atau lima baris di depan saya. Kami melihat mereka yang tercampak. Sebahagian mereka patah kaki,” katanya.
Penyiasat berkata, pesawat itu putus apabila ia meluncur di atas tanah tidak rata yang bersebelahan dengan landasan. Pesawat berkenaan adalah model yang sama yang terhempas April lalu, menyebabkan Presiden Poland, Lech Kaczynski dan 90 yang lain terbunuh.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment