Sejarah tercipta di bumi Stadium Gelora Bung Karno, buat pertama kali dalam sejarah penganjuran Piala Suzuki AFF 2010 apabila Malaysia menjadi juara walaupun tewas 1-2 kepada Indonesia dalam perlawanan akhir kedua untuk meraih kemenangan melalui agregat 4-2, semalam.
Bertambah manis anak didik K. Rajagobal berjaya melakukannya di hadapan 95,000 penyokong fanatik Indonesia yang terpaksa menelan kepahitan bahawa Malaysia lebih berhak merangkul kejuaraan edisi kelapan Piala Suzuki.
Ternyata bekalan 3-0 yang dibawa dari Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad lalu cukup membantu kerana gol di tempat lawan yang dijaringkan oleh Safee Sali menjadi faktor penting mematahkan api perjuangan Indonesia yang mahu mencipta jaringan pendahuluan.
Bukan sekadar itu, penyerang negara, Safee Sali dinobatkan selaku penjaring terbanyak kejohanan Piala Suzuki AFF 2010 dengan lima gol mengatasi pesaing terdekat, Cristian Gonzales.
Gol tunggal Malaysia dalam perlawanan ini diilhamkan daripada gerakan pantas Mohd. Ashari Samsudin ketika Indonesia rancak menyerang dan pemain Terengganu itu melakukan hantaran jauh yang disambut dengan baik oleh Safee Sali.
Safee dengan tenang mengawal bola sebelum mendapat posisi terbaik melepaskan rembatan kencang melalui kaki kiri menewaskan Markus Harison untuk memberikan gol penting di tempat lawan.
Biarpun Indonesia dengan mendapatkan dua jaringan pada minit ke-71 melalui Mohamad Nasuha dan Muhammad Ridwan pada minit ke-87, ia sudah terlewat buat skuad Garuda bangkit mengatasi Malaysia yang menang dengan kelebihan agregat 4-2.
Penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat wajar diberikan pujian menggunung kerana beraksi cemerlang menghalang hajat Indonesia memburu gol yang lebih besar termasuk menyelamatkan sepakan penalti pada minit ke-18 yang diambil oleh Firma Utina.
Walaupun pertahanan negara yang dikemudi oleh Mohd. Muslim Ahmad dan Mohd. Fadhli Shas bocor sebanyak dua kali, ketenangan dan kesungguhan semangat juang pemain Malaysia bertahan jelas menjadi kunci utama kejayaan bersejarah Malaysia.
Apa yang penting, kejayaan merangkul Piala Suzuki AFF akan menutup mulut media dan peminat Indonesia yang tidak henti-henti melancarkan provokasi semenjak hari pertama skuad Malaysia tiba di Jakarta.
Malahan, sebelum perlawanan, mental pemain Malaysia didera habis-habisan oleh penyokong tuan rumah yang menyebut perkataan Maling! Maling! dan membuat bising semasa lagu kebangsaan Malaysia dimainkan.
Bertambah pahit buat pihak Indonesia, ini merupakan kegagalan kali keempat buat Indonesia selepas empat kali mencuba di pentas final.
Selain membawa pulang trofi AFF, Malaysia meraih wang tunai sebanyak A$$100,000 sementara Indonesia mendapat A$$ 50,000.
Pemain terbaik kejohanan Piala Suzuki AFF dirangkul kapten Indonesia, Firman Utina
PM, TPM ucap tahniah kepada skuad bola sepak negara
Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah dan melahirkan rasa bangga serta gembira atas kejayaan skuad bola sepak Malaysia menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 apabila menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta malam ini.
Menurut Perdana Menteri, skuad negara telah bermain dengan baik sebagai satu pasukan sehingga berjaya menjulang piala berkenaan.
“Saya berasa begitu gembira dan bangga atas kejayaan yang diraih oleh pasukan muda Malaysia. Syabas Harimau Malaya! Kamu semua telah membanggakan negara. Tahniah,” katanya menerusi pesanan ringkas dalam laman sosialnya di Twitter dan Facebook.
Malaysia adalah negara keempat di rantau ini yang berjaya menjulang Piala Suzuki AFF 2010 selepas Thailand, Singapura dan Vietnam.
Dalam satu kenyataannya menerusi Bernama pula, Najib berkata, kemenangan Malaysia dalam perlawanan akhir Piala Suzuki-AFF adalah sesuatu yang dibanggakan.
“Ini adalah malam paling gemilang dalam bola sepak Malaysia. Pasukan muda telah memberikan kita kebanggaan dan kita mesti bina kejayaan ini untuk menggerakkan bola sepak maju ke hadapan pada tahap yang lebih tinggi.
“Ini bagi memastikan apa yang kita capai malam ini bukan satu yang sepintas lalu tetapi permulaan dalam sejarah bola sepak kita sebagai yang besar,” katanya.
Sementara itu, perasaan sama turut dikongsi Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada pasukan bola sepak Malaysia atas kejayaan itu.
Menurut beliau, pencapaian itu lebih manis setelah menunggu 14 tahun untuk menjulang kejuaraan itu.
“Kejayaan ini membuktikan bahawa tiada yang mustahil sekiranya kita benar-benar idamkan kemenangan. Segala usaha, penat lelah dan pengorbanan setiap pemain, jurulatih dan pegawai pasukan jelas terhasil dengan kejayaan ini,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Muhyiddin percaya setiap rakyat pasti berasa megah, terharu dan paling utama bersyukur kerana kejayaan itu memperlihatkan kesungguhan mereka yang terbabit terutama para pemain dan jurulatih, K. Rajagobal memburu kejuaraan itu.
“Saya ingin menggesa para pemain supaya terus mengekalkan prestasi sekali gus meningkatkan kecemerlangan yang dicapai agar Malaysia terus gah di persada antarabangsa,” ujarnya.
Muhyiddin berkata, aspirasi itulah yang diperlukan untuk terus membakar semangat wira-wira bola sepak negara untuk terus merekodkan kejayaan pada masa depan dan kembali muncul sebagai pasukan yang digeruni bukan sahaja di Asia Tenggara malah seluruh dunia.
“Penghargaan juga ditujukan kepada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang berjaya menerajui bola sepak Malaysia serta usaha-usaha selama ini sehingga berjaya mengecapi kejayaan ini,” katanya.
Ferdinand ucap tahniah
KEJAYAAN skuad negara menjulang Piala AFF Suzuki buat kali pertama dalam tempoh 14 tahun dengan menewaskan Indonesia 4-2 secara agregat bukan hanya mendapat pujian peminat tempatan dan pemimpin tertinggi negara, malah pemain bek tengah Manchester United, Rio Ferdinand turut mengucap tahniah dan memuji pasukan negara.
“Saya pernah menentang skuad bawah 23 tahun Malaysia 18 bulan lalu, mereka sebuah pasukan yang bagus. Tahniah kepada Malaysia,” kata pemain itu di laman sosial twitter.com peribadinya.
Penyokong geram
Kecewa dengan lokasi tempat duduk dalam Stadium Gelora Bung Karno serta faktor risiko keselamatan, antara 150 hingga 200 penyokong Malaysia menonton dalam protes final kedua Piala Suzuki AFF di layar besar di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, malam tadi.
Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor, Mohd Nasir Yunus, 55, yang mengetuai rombongan penyokong pasukan bola sepak Malaysia, berkata kumpulan penyokong negara yang tidak ramai jumlahnya sudah menempah tiket di tempat duduk VIP, tetapi mereka diberikan tempat duduk di belakang gawang gol di pintu II.
Mereka juga diletakkan di tengah-tengah penyokong Indonesia dan berasa tidak selamat untuk berada dalam stadium menonton perlawanan bagi menyokong pasukan Malaysia.
“Kami amat kesal sekali. Kami berasa kami dianak tiri, disisih dan tidak diberikan keadilan sewajarnya. Setelah mengambil kira faktor keselamatan dan perbincangan dengan pihak Kedutaan Besar Malaysia serta persetujuan anggota rombongan, kami mengambil keputusan menonton perlawanan itu dalam protes di Kedutaan Besar Malaysia,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Dewan Serbaguna Kedutaan Besar Malaysia.
Mohd Nasir berkata rombongan itu membabitkan kira-kira 60 penyokong yang datang dari Malaysia dan protes mereka itu turut disertai penyokong negara yang berada di Jakarta.
“Kumpulan kami tidak ramai, tidak ada masalah jika kami diberikan tiket di tempat duduk VIP,” katanya.
Apa lagi alasan Indonesia?
APA lagi alasan Indonesia? Sudah mahu mengaku kalah atau masih terus nak bersandiwara?
Tolonglah sedar semua penyokong Indonesia, jangan putar-belit- kan kelemahan diri.
Harus belajar untuk menerima hakikat bahawa dalam apa juga acara sukan, yang terbaik akan muncul pemenang.
Tidak perlu membuat 1,001 macam tuduhan, dan tidak perlu juga mengadakan tunjuk perasaan.
Tindakan seperti itu membuktikan betapa kurangnya semangat kesukanan dalam diri.
Negara akan jadi malu dengan sikap seperti itu.
Tolong jangan jadikan sukan sebagai medan untuk mencetuskan ketegangan.
Satu Indonesia seharusnya berasa malu dengan tindakan penyokong mereka mengadakan tunjuk perasaan di hadapan hotel penginapan skuad Malaysia di Jakarta kelmarin, yang berhimpun sambil membawa kain rentang dengan pelbagai tuli- san berbentuk sindiran.
Pernahkah penyokong Indonesia bertanya pada diri mereka sendiri - adakah mereka dilayan sebegitu rupa ketika skuad mereka beraksi di Kuala Lumpur, Ahad lalu?
Adakah pemain mereka dibawa menggunakan kereta perisai untuk datang ke stadium?
Kalau saya seorang warganegara Indonesia, saya akan berasa malu melihat sikap seperti itu.
Ia membuktikan betapa biadapnya sikap kita terhadap tetamu yang tidak bersalah.
Bila kalah, pelbagai alasan dilemparkan. Penyokong Malaysia dituduh mengguna laser yang mereka dakwa mengganggu penjaga gol, Markus Harison.
Nak menuduh biarlah berasas. Sedarlah bahawa dalam sukan, yang terbaik pasti menang dan sinaran laser bukan punca.
Untuk pengetahuan penyokong Indonesia - Malaysia memang hebat dan tidak perlu dipertikaikan lagi.
Walaupun tewas 1-2 pada final kedua Kejohanan Bola Sepak Piala Suzuki AFF di Stadium Utama Gelora Bung Karno malam tadi tetapi Malaysia tetap bergelar juara dengan agregat 4-2 hasil kemenangan 3-0 pada final pertama, Ahad lalu.
Kelebihan jaringan di tempat lawan juga memihak kepada Malaysia selepas Mohd. Safee Mohd. Sali berjaya menggegar gawang Indonesia pada separuh masa kedua untuk mendahului 1-0 sebelum lawan mereka bangkit menjaringkan dua gol.
Adakah penjaga gol Indonesia, Markus diganggu sinaran laser dengan jaringan Mohd. Safee itu?
Markus memang bijak berlakon. Lakonan yang telah memusnahkan harapan pasukan mereka.
Jika dia tidak berlakon pada final pertama di Bukit Jalil, Ahad lalu, saya yakin keadaan akan berbeza.
Gara-gara kerenah Markus itu, rentak permainan mereka tempang dan ia dipergunakan sepenuhnya oleh Malaysia untuk menghasilkan tiga gol.
Pada aksi kedua semalam, penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat turut diganggu pancaran laser oleh penyokong Indonesia tetapi dia tetap berjaya menyelamat sepakan penalti yang diperoleh Indonesia pada separuh masa pertama.
Apa pun, kejohanan sudah berakhir dan Malaysia sudah sah bergelar juara, sekali gus mengakhiri penantian selama 14 tahun.
Tahniah kepada Indonesia kerana mencatat kemenangan pada final kedua ini tetapi sayang ia tidak cukup bagi membolehkan mereka bergelar juara.
Bila dah 'sayur', memang 'sayur' dan memang betul pun apa yang diperkatakan oleh kapten Malaysia, Safiq Rahim kelmarin sebelum berlangsungnya final di Geloran Bung Karno itu.
Peringatan kepada skuad kendalian K. Rajagobal ini - jangan mudah berasa selesa dan terus berusaha meningkatkan reputasi pasukan.
Tahniah Malaysia!
Aksi penyokong Indonesia
Seorang penyokong Indonesia duduk di atas palang besi pada bumbung Stadium Utama Gelora Bung Karno di sini untuk menonton pusingan kedua perlawanan akhir Piala Suzuki AFF antara Malaysia dan Indonesia, lapor akhbar KOMPAS.com semalam.
Penyokong yang tidak diketahui identitinya itu beraksi seperti adi wira Spiderman apabila dia berjalan dari satu tiang ke tiang lain di atas bumbung stadium itu.
Sekilas pandang, dia dilihat membawa bendera Merah Putih Indonesia yang tertera nombor 4-0 yang bermaksud kemenangan skuad Indonesia.
Ketika perlawanan itu berlangsung semalam, Spiderman tersebut berkali-kali mengibarkan benderanya sebagai sokongan kepada pasukan bola sepak tanah airnya.
Aksi beraninya menarik perhatian orang ramai termasuk kumpulan kakitangan media kerana Spiderman itu duduk dekat ruang wartawan membuat liputan.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment