Friday, December 10, 2010

Dua mati lemas, tiga masih hilang ketika berkelah

DUA anggota bomba dan penyelamat melihat keadaan ombak yang kuat dan sukar untuk mencari mangsa yang lemas dalam kejadian di Pantai Pandak, Cendering, Kuala Terengganu

Lima ahli keluarga yang cuba menyelamatkan salah seorang saudara mereka yang lemas berakhir tragedi apabila dua daripada mereka mati lemas, seorang kritikal manakala tiga lagi masih hilang dalam kejadian di Pantai Pandak, Cendering dekat sini petang ini.

Dalam kejadian pukul 2 petang itu, mayat Kumada a/p Shanmugam, 28 dan adik perempuannya, Roshini, 16 ditemui terapung kira-kira 100 meter dari lokasi mereka dilaporkan lemas manakala mangsa yang selamat, Mathavi, 21, berada dalam keadaan koma dan ditempatkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.
Tiga mangsa yang masih hilang dikenali sebagai Raymond, 26; Morgan, 21 dan Vijaykumar, 18.

Timbalan Ketua Polis daerah, Suprintendan Abdul Halim Mohd. Ishak berkata, kesemua mangsa yang berasal dari Klang, Selangor dikatakan datang ke Terengganu untuk menziarahi keluarga mereka di Batu Rakit sebelum dipercayai berkelah di pantai tersebut.

Katanya, menurut maklumat ahli keluarga mangsa, ketika kejadian mereka dipercayai cuba menyelamatkan salah seorang ahli keluarga, Vijaykumar yang dipercayai lemas ketika mandi berseorangan.

"Ketika melihat Vijaykumar lemas, salah seorang ahli keluarga mangsa cuba menyelamatkannya namun apabila melihat dia juga tidak berjaya menyelamatkan Vijaykumar, ahli keluarga mangsa seorang demi seorang cuba menyelamatkan mangsa-mangsa yang lain.
"Namun kesemua mereka dihanyutkan ombak yang kuat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Bagaimanapun ujarnya, kira-kira pukul 2.45 petang, Mathavi berjaya ditemui di lokasi berdekatan dengan tangannya berpaut pada sebiji batu besar manakala beberapa minit kemudian dua lagi mangsa dijumpai terapung.




.

Majlis Nikah Rabecca Tiga Hari Berturut-Turut


Pelakon Rabecca Nur Al-Islam, 24, bakal menamatkan zaman bujangnya pada 14 Januari 2011 dengan seorang peguam, Nor Azam Datuk Sulaiman berusia 42 tahun.

Menurut Rabecca, dia akan mengadakan tiga majlis berturut-turut iaitu pada 14 Januari bagi acara pernikahan sementara 15 dan 16 Januari pula bagi acara persandingan.
"Pada 14 hari bulan, pernikahan akan diadakan di rumah baru saya di Ampang, Selangor manakala majlis resepsi sehari selepas itu di Hotel Flamingo, Ampang berkonsepkan tradisional.

"Manakala 16 hari bulan pula ia akan diadakan di Menara Kuala Lumpur berkonsep Inggeris, di mana hanya 250 tetamu sahaja yang akan hadir.
"Syukur alhamdulillah setelah tiga tahun bercinta, kami bakal disatukan," katanya pada sidang media pengumuman perkahwinannya di butik Harrods, KLCC di sini, Jumaat.

Tambahnya, pengumuman yang dibuat itu secara tidak langsung menutup khabar angin tentang kisah percintaannya dengan seorang VIP.
"Sebenarnya saya tidak ada kaitan langsung dengan mana-mana VIP. Bakal suami saya pun bukanlah di kalangan mereka sebaliknya haya orang biasa.

"Dia hanya seorang duda biasa yang memiliki dua orang anak," tegasnya.
Ditanya mengenai jumlah hantaran yang bakal diterima, Rabecca masih tidak tahu berapa nilai hantaran yang akan diberi oleh pihak lelaki.

"Memang saya tak tahu berapa hantaran yang akan saya terima. Cuma dengan apa yang saya dapat sekarang ini seperti sebuah rumah di Ampang dan jam tangan jenama Chopard sudah memadai," katanya.




.

Dua Beranak Pengusaha Dobi Di Terengganu Rentung Dalam Kebakaran

PARA anggota bomba dan penyelamat menurunkan salah satu mayat daripada dua mangsa yang rentung dalam satu kebakaran melibatkan deretan rumah kedai di Kampung Batu 6, Manir

KUALA TERENGGANU: Seorang ibu dan anak perempuannya yang sedang nyenyak tidur maut apabila rumah kedai sewa mereka di Kampung Batu Enam, Manir, terbakar malam tadi.

Mayat Nor Laila Yaacob, 41 dan anaknya Nor Hidayu Kauzi, 19, dari Kubang Kerian, Kelantan, ditemui dalam keadaan rentung dalam kebakaran pada 11.30 malam tadi.

Kebakaran di sebelah sebuah stesen minyak itu memusnahkan kedai dobi milik Nor Laila selain turut memusnahkan dua lagi premis perniagaan iaitu kedai menjual perisian komputer dan kedai kosmetik.

Nor Laila dan anaknya dipercayai terperangkap dalam bilik tidur dan kedua-dua mayat ditemui berdekatan.
Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu Mohd Fauzi Muda berkata pihaknya mendapat panggilan pada 11.32 malam tetapi ketika anggota bomba tiba di tempat kejadian, api sudahpun memusnahkan sebahagian rumah kedai berkenaan.

"Punca kebakaran masih disiasat," katanya kepada pemberita di tempat kejadian. Kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk bedah siasat.Aanak sulung Nor Laila, Mohd Badrul Kauzi, 23 ketika ditemui, berkata beliau berada di Kota Baharu, Kelantan ketika dimaklumkan pihak polis mengenai kejadian.

Mohd Badrul berkata kali terakhir beliau menemui ibunya ialah seminggu yang lalu. Menurutnya jenazah ibu dan adiknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Demit, Kubang Kerian, sebaik bedah siasat selesai.



.

Berat 317.51kg?

Ubat yang perlu dimakan oleh Terri

COLUMBUS, Amerika Syarikat - Seorang wanita seberat 317.51 kilogram (kg), Terri Smith mula berusaha mengurangkan berat badan supaya dia boleh menjalani pemeriksaan otak dengan menggunakan mesin imbasan bagi mengesan tumor, lapor sebuah akhbar semalam.

Terri, 49, yang dipercayai wanita paling gemuk di dunia kini hanya berbaring di rumahnya di Shaker Heights, Ohio kerana dia tidak boleh berdiri dan bergerak.

Suaminya, Myaron

Dia bergantung kepada suaminya, Myaron, 55, dan anak perempuannya, Najah untuk membantunya mandi, memakai pakaian dan makan.

Semasa umurnya tujuh tahun beratnya ialah 50.80kg dan ketika berusia 20 tahun, berat badannya meningkat lebih 113.39kg.

Terri bersama 2 orang cucunya

Dia bekerja sebagai pekerja kesihatan mental selama 20 tahun.
Selepas berkahwin dengan suaminya pada 1986, berat badannya semakin meningkat.

Dia berasa bertuah kerana mempunyai suami yang masih mahu menjaganya.

Terri sewaktu remaja...(Kiri sekali)

Berat badannya perlu diturunkan kerana mesin pengimbas otak tidak sesuai untuk wanita yang memiliki saiz besar sepertinya.




.

Polis Negeri Sembilan Tembak Mati Penjenayah Warga Asing Pecah Masuk Rumah


SEREMBAN: Seorang lelaki warga asing yang menyerang polis dengan sebilah parang, mati ditembak dalam satu kejadian di Taman Desa Ros, Ampangan dekat sini, Jumaat.
Ketua Polis negeri Datuk Osman Salleh berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 4 pagi ketika lelaki tersebut bersama dua lagi yang berjaya melarikan diri, sedang memecah masuk ke rumah terbabit.

Mengulas kejadian itu pada sidang media di sini, Osman berkata sepasukan polis dari Ibu Pejabat Kontinjen Polis negeri telah dihantar ke kawasan perumahan tersebut selepas menerima maklumat awam.
"Dalam kejadian ini, pasukan polis telah berpecah dua yang mana pasukan yang di belakang sebuah rumah di situ telah terserempak dengan sekumpulan tiga oranglelaki sedang memotong pagar rumah tersebut.

"Apabila menyedari kehadiran polis, mereka telah berpecah untuk melarikan diri walaupun telah diberi amaran oleh polis. Seorang daripada mereka kemudian cuba menyerang polis dengan sebilah parang," katanya.
Beliau berkata lelaki tersebut yang memakai topeng ski dan sarung tangan juga tidak mengendahkan amaran supaya berhenti, menyebabkan polis melepaskan dua das tembakan yang mengenai kepala dan dadanya.

"Dua lagi melarikan diri ke arah semak di belakang kawasan perumahan tersebut. Selepas diperiksa, selain sebilah parang di sisi mayat lelaki yang ditembak, polis juga menemui sebilah lagi parang, satu alat pemotong dan satu pemutar skru di kawasan berhampiran," katanya.

Katanya polis juga yakin lelaki yang ditembak mati itu adalah ketua kumpulanpenjenayah warga asing yang dikenali 'Kumpulan Gemuk', dan dipercayai terlibat dengan 26 kes samun bersenjata di negeri itu.
Tahun ini sahaja katanya, sebanyak tujuh kes dipercayai dilakukan kumpulan tersebut di sekitar Paroi dan Rahang.

"Modus operandi kumpulan ini selalunya memecah masuk menerusi bahagian belakang rumah. Setiap kali melakukan pecah rumah, mereka selalunya membeli alat baru seperti parang, pemotong dan pemutar skru. Selepas saja digunakan, alat baru ini akan dibuang terus.

"Pihak polis telah memantau kumpulan ini yang didapati aktif sejak dua tahun lepas," katanya.
Beliau berkata polis kini mengesan tiga lagi anggota kumpulan itu termasuk seorang dipercayai bertindak sebagai pemandu kenderaan yang diguna bagi melarikan diri selepas menyamun.




.

Raja Farah Mahu Bersanding Dalam Laut


Aktres Raja Farah Raja Aziz, 22, dan suaminya, Megat Bashirun Qhuyum Datuk Zakaria, 25, memilih dasar laut untuk mengabadikan majlis persandingan mereka.

Majlis berkenaan akan diadakan di Pulau Perhentian, Terengganu pada Mac atau April 2011.

Kedua-dua merancang untuk membuat pelamin pada kedalaman tiga meter di dalam laut berkenaan.
Sebelum ini pasangan pelakon Rozie Rashid dan bekas penyanyi kumpulan Medicine, Ijam, pernah mengadakan majlis serupa di pulau berkenaan.

Menariknya, dalam persandingan itu, Raja Farah dan Megat Bashirun akan turut diiiringi tujuh hingga lapan buah bot laju sebelum mereka menyelam ke dalam air.


“Kami akan menaiki sebuah bot yang dihias cantik sebelum bersanding di dalam laut. Selain membina pelamin dalam air, kami turut menyediakan pemain kompang untuk memeriahkan majlis.

“Resepsi ini hanya dihadiri kira-kira 20 hingga 30 orang penyelam,” kata Farah yang terlebih dahulu akan berbulan madu di Pulau Sipadan, Sabah pada Januari atau Februari depan.
Sebelum itu, dia dijangka akan melangsungkan majlis resepsi secara besar-besaran di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini pada Februari 2011.

Bercerita lanjut tentang majlis tersebut, Farah dan Megat memilih tema perkahwinan ala-ala diraja dan tradisional dengan warna kuning keemasan.

Lebih istimewa, pasangan ini akan diarak di atas tandu oleh enam hingga lapan orang.
Sekali lagi mereka memilih pihak Reka Teemor sebagai perunding perkahwinan dan Photo Signature (gambar).

Kemungkinan Farah akan memilih pereka fesyen Qudyn untuk menghasilkan dua persalinan bagi upacara persandingan dan memotong kek.

“Memang impian kami untuk membuat resepsi seperti ini. Kami juga sengaja tidak menerima banyak penaja kerana mahu mengeluarkan duit sendiri. Dari situ, hasilnya lebih baik dan berpuas hati,” ujarnya yang merancang untuk menjemput 1,500 hingga 2,000 tetamu.

Pasangan ini bernikah pada 12 November lalu.


P/S - Farah memang agak berisilah... Eh, i tot Ijam and Rozie buat di Pulau Mataking...Oww...So, Iklan mataking tu t*pu lah eh.. [KLIK SINI]




.

Terima Kasih..



  1. Tajuk : TERIMA KASIH..
  2. Ceritakan satu peristiwa yang korang tak dapat lupakan berkaitan TERIMA KASIH .. Contoh Aku belanja kawan makan tapi terima kasih pon tidak .. 
    Pernah, masa nak ambik duit...Barisan bukan main panjang.. Ditambah keperitan masa tu, waktu tengah hari..Time makan, perut pun bukan main lapar lagi..adeh.. Gastrik dah start datang..Tapi dengan ramai orang dalam bank masa tu, confirm giliran lambat lagi...Lulu dah naik gelisah...Sekejap-sekejap tengok jam...adeh...berdiri lak tu..Tempat duduk dah takde kosong..Aircond dalam bank pun mulai rasa panas.. Tetiba ada kakak tu, menyapa..Sambil menghulur nombor giliran yang jauh lebih didepan dari nombor yang ada ditangan..Lulu mula tersenyum, malu...Kakak tu bagi lulu sebab dia tak jadi nak buat urusan hari tu.. Ada urusan peribadi..So, bagi dengan lulu.. Leganya masa tu.. Eheh...Terus lulu ucap terima kasih bebanyak..terharu sangat..Syukur alhamdulillah..
  3. Bagaimanakah nak menyemai sikap berterima kasih di kalangan kita ?
    Ini semua berpunca dari budi bahasa.. (Budi bahasa kan budaya kita) Berterima kasihlah kita kepada orang lain..Tidak ada ruginya menghormati dan menghargai orang lain..
  4. Ucapan terima kasih yang paling ikhlas korang pernah terima dari siapa dan apakah cerita disebalik itu ? 
    Menghulur juadah buat anak jiran sebelah rumah..Kebetulan parents dia takde dirumah...Agaknya kebetulan mereka lapar dan belum makan..So, rezeki pagi tu dibahagikan kepada mereka..Ketika mereka mengucapkan terima kasih, jelas dimata mereka keikhlasan..Huhu syukurlah...
  5. Secara jujur , adakah anda terlupa mengucapkan terima kasih pada seseorang , hari ini ? 
    Tidak..eheh..syukurlah... 




    Segmen ini ditaja oleh En.Ben Ashaari..
    Lagi Segmen En. Ben [KLIK SINI]


Saiz harimau semakin kecil


KOLKATA - Saiz harimau Bengal kini didapati semakin kecil akibat perubahan persekitaran habitat haiwan itu, menurut satu kajian terbaru.

Menurut satu kajian yang dilakukan beberapa pegawai hidupan liar India, berat beberapa harimau di kawasan berpaya Sunderban di sempadan Bangladesh didapati semakin ringan berbanding sedekad lalu.

"Kami terkejut kerana harimau yang kelihatan sihat hanya seberat 98 kilogram (kg)," kata Pengarah Kawasan Simpanan Harimau di Sunderban, Subrata Mukherjee.

"Purata berat harimau dewasa sepatutnya tidak lebih 140kg," tambahnya.

Selain aktiviti pencerobohan, pakar-pakar menyalahkan peningkatan paras laut yang meningkatkan kadar garam di paya Sunderban sebagai punca berat haiwan itu berkurangan.




.

Abadi raja sehari dalam pesawat

Majlis anjuran AirAsia catat sejarah di Asia


Pelbagai cara dilakukan pasangan pengantin untuk mengabadikan hari bersejarah sebagai ‘raja sehari’.

Bagi pasangan S Kamaleswaran, 34 dan R Thanusyia, 29, melangsungkan perkahwinan di dalam pesawat pada ketinggian 9,000 meter pasti akan menjadi kenangan paling indah dalam hidup mereka.

Lebih manis, majlis perkahwinan yang dianjurkan AirAsia itu bukan saja julung kali dilangsungkan di dalam pesawat di negara ini malah mencipta sejarah sebagai majlis perkahwinan pertama di dalam pesawat di rantau Asia.

Majlis perkahwinan yang mengikut adat tradisional kaum India, bermula dengan pasangan pengantin disarungkan cincin di jari kaki sebelum Pengerusi AirAsia, Datuk Aziz Bakar mengalungkan bunga malai kepada mereka di balai berlepas sambil diiringi paluan gendang.

Mempelai serta kira-kira 100 tetamu terdiri daripada kaum keluarga dan kakitangan AirAsia kemudian menaiki pesawat khas AK9 dari Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) kira-kira jam 5 petang.

Pada ketinggian 9,000 meter di atas paras laut, majlis mengikat thali dilangsungkan yang menandakan pasangan itu sah bergelar suami isteri. Penerbangan ‘tanpa destinasi’ itu mengambil masa kira-kira sejam.

Kamaleswaran atau lebih dikenali dengan Iswara yang juga Pengurus Penjadualan Serantau AirAsia, berkata impiannya untuk melangsungkan perkahwinan di dalam pesawat Airbus 320 itu akhirnya tercapai.

"Sejak bekerja dengan AirAsia, saya ada impian untuk melangsungkan perkahwinan dalam satu penerbangan.

"Mac lalu, saya menemui Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Seri Tony Fernandes mengenai impian saya ini dan beliau terus bersetuju," katanya.




.

'Abang tolak saya ke tepi'

KANGAR: “Walaupun hampir lemas dan tertelan banyak air tetapi saya berusaha menyelamatkan abang (Mohammad Azfar) dengan memeluk bahunya tetapi arwah bertindak sebaliknya apabila menolak saya ke tepi seolah-olah tidak mahu turut lemas,” kata Mohammad Akil Md Ghani, 15, dari Kampung Batu 9, Beseri, dekat sini, semalam.

Menurutnya, abangnya dua kali menolak dia ke tepi dengan melepaskan tangannya yang merangkul leher arwah. Keadaan itu berbeza dengan tindakan sesetengah mangsa lemas biasanya mencapai atau memeluk apa saja untuk menyelamatkan diri.

“Saya yakin abang ngah tidak mahu saya turut lemas ketika dalam keadaan terdesak sebelum tenggelam dan terus hilang di dasar empangan dan ketika itu, mujur seorang rakan cepat menarik tangan saya untuk dibawa ke tebing tebing,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, kelmarin.

Katanya, ketika cuba menyelamatkan abangnya, dia mendapati permukaan empangan itu beralun selain terdapat arus agak deras di dasarnya hingga menyukarkannya berenang.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang kelmarin, mangsa, Mohammad Azfar, 18, pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) Alor Setar, lemas ketika berenang mendapatkan abang sulung mereka, Mohammad Afiq, 19, yang berada atas sampan bersama tiga lagi rakan di tengah Empangan Timah Tassoh.

Arwah yang bercuti semester bersama Mohamad Akil serta dua lagi rakan dikatakan mandi-manda di tebing empangan itu manakala Mohammad Afiq bersama tiga lagi rakan berada dalam sampan bersiar-siar di sekitar empangan berkenaan.

Sebaik melihat abang sulung mereka, Mohammad Azfar terus berenang, tetapi mengalami kekejangan sebelum tenggelam. Sebelum kejadian itu, tiga beradik itu bersama lima rakan sekampung mengambil peluang cuti persekolahan mandi-manda dan bersiar di empangan berkenaan. Mayat mangsa ditemui selepas 18 jam operasi menyelamat dijalankan kira-kira 30 meter dari tempat mangsa tenggelam oleh sepasukan lapan anggota Unit Penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat Perlis, jam 11.25 pagi semalam.

Ibu mangsa, Rosminah Baharom, seorang pegawai Jabatan Pelajaran Perlis sedang berkursus di Pulau Pinang dan bergegas pulang selepas dimaklumkan tragedi menimpa anak keduanya itu. Seorang rakan mangsa, Azrul Helmi, 17, berkata, sebelum turun ke empangan itu untuk berenang ke sampan dinaiki empat rakan mereka, Mohamad Azfar dikatakan sempat memberi nasihat supaya menjaga diri masing-masing.

“Saya terkejut arwah tiba-tiba memberikan nasihat supaya kami bertiga menjaga diri sebelum terjun ke empangan dan berenang ke arah sampan dinaiki abangnya bersama tiga lagi rakan. “Saya tidak menjangka pesanan terakhir arwah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Padang Besar, Deputi Superintendan Mat Rafae Hassan berkata, mangsa ditemui lemas ketika beriadah di empangan itu bersama tujuh lagi rakan termasuk adik dan abangnya.

“Arwah mungkin kepenatan sebelum lemas ketika berenang ke arah sampan kira-kira 100 meter dari tebing,” katanya.




.

Maut bergumpal bersama dodol

DI SINI...mesin pengisar dodol terbabit.

TUMPAT: “Panas ni! Tolong la wei! Cepat, panas ni,” rintih seorang warga emas, Wan Zainab Wan Ali, 62, ketika ditemui bergelumang dalam mesin kawah pengacau dodol panas oleh anak saudaranya, Nik Roslan Nik Hussein, 41, di bangsalnya di Kampung Laut, di sini, petang semalam.
Kejadian jam 5 petang itu menyebabkan Nik Roslan yang mengumpulkan kayu api untuk diletakkan di bangsal itu tergamam sebelum melihat badan ibu saudaranya bergumpal bersama dodol di dalam kawah berkenaan.
Difahamkan, mangsa sudah dua hari tidak pergi ke bangsal itu bersama anak perempuannya, Zarika Mamat, 40, kerana kedua-dua mereka demam.

Bagaimanapun, Wan Zainab pergi berseorangan kira-kira jam 8 pagi semalam untuk mengacau dodol menggunakan mesin baru dibelinya Julai lalu, berikutan sambutan menggalakkan sempena musim cuti sekolah ini.

Hasrat pengusaha dodol terbabit untuk mencari pendapatan lebih, bagaimanapun tidak kesampaian apabila dia ditemui dalam keadaan menggelupur kepanasan di dalam kawah.

Difahamkan, usaha mengeluarkan mangsa gagal dilakukan penduduk kampung kerana tubuhnya tersekat di dalam mesin berkenaan menyebabkan tugas menyelamat diserahkan kepada bomba.

Sebaik tiba, sekumpulan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat mengalihkan mesin itu sebelum mengeluarkan mangsa.

Mangsa yang mewarisi bakat mengacau dodol sejak turun-temurun dan mengusahakan perniagaan itu 50 tahun lalu, menghembuskan nafas terakhir ketika dibawa menaiki ambulans ke Hospital Tumpat dengan keadaannya berlumuran darah.

POTONG...mesib pengisar yang mengorbankan mangsa selepas dipotong bomba.

Nik Roslan berkata, dia terkejut mendengar jeritan seseorang ketika meletakkan timbunan kayu di bangsal dodol diusahakan ibu saudaranya kira-kira jam 5 petang semalam.

“Ketika itu saya kutip kayu api untuk disimpan ke dalam bangsal. Saya bergegas sebaik mendengar jeritan dan lihat mak cik sudah berpusing di dalam pengisar itu dengan keadaan tangan berputar.

“Saya segera mematikan suis mesin itu dan menjirusnya dengan air kerana keadaan terlalu panas dan mak cik meraung kesakitan,” katanya.

Nik Roslan meminta bantuan jiran untuk membantu mengeluarkan ibu saudaranya di dalam kawah dodol berkenaan.

“Saya panggil orang minta tolong, tapi mereka hanya mampu lihat sebab keadaannya mengerikan. Sebelah kakinya tersekat di batang mesin, manakala sebelah lagi terkeluar ke sebelah kiri kawah yang panas.

“Dua kali saya tengok mak cik berpusing dalam mesin. Orang kampung cuba bantu, tapi gagal menyebabkan mereka menjirusnya dengan air kerana dodol terlalu panas,” katanya.

Berikutan itu, katanya, beberapa jiran menghubungi bomba untuk membantu mengeluarkan mangsa yang tidak sedarkan diri.

“Dia dibawa ke Hospital Tumpat sebelum disahkan meninggal dunia oleh ahli keluarga ketika dalam perjalanan,” katanya.

Suami mangsa, Mamat Mat Nor, 66, berkata kejadian disedari ketika dia hendak menunaikan solat Asar dan tergerak turun dari rumah untuk melihat kekecohan di bangsal itu.

“Ketika saya hendak solat Asar di rumah, saya dengar orang bising di bawah dan turun ke bangsal untuk melihat apa yang berlaku. Masa itu orang ramai tengah kerumun dan jirus air seperti nak sejukkan dodol.

“Saya tergamam apabila melihat yang dijirus adalah isteri saya menyebabkan saya tidak mampu berkata. Sayu kerana tidak pernah kejadian ini berlaku sepanjang kami mengusahakan dodol,” katanya.

Katanya, sejak dua bulan lalu, isterinya berperangai pelik kerana terlalu sedih ketika menziarahi kakaknya yang mahu menunaikan haji.

“Isteri nampak lain ketika kakaknya nak pergi Makkah. Dia sedih nak berpisah sebab takut mereka tak berjumpa lagi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi dan Penyelamat Balai Bomba Tumpat, Yaacob Abdullah, berkata pihaknya menghantar enam anggota bersama satu jentera selepas menerima panggilan, jam 5.30 petang semalam.

Katanya, sebaik tiba jam 5.39 petang, mangsa masih terbaring dalam kawah mesin dodol itu dan orang ramai berusaha mengeluarkan mangsa, tetapi tidak berjaya kerana dia terperosok di dalam mesin.

“Bomba mengambil masa enam minit untuk mengeluarkan mangsa kerana terpaksa memotong batang pengisar dodol. Kami juga terpaksa meminta bantuan orang ramai memegang kepala dan kaki mangsa ketika memotong batang besi berkenaan.

“Mangsa ketika itu separuh sedar. Badan dan kedua-dua kaki serta mukanya melecur, manakala tangan kanan remuk akibat dipulas pengisar,” katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati kemungkinan kain tudung mangsa terlilit ke dalam pengisar menyebabkan mangsa terhumban ke dalamnya.




.

Maut ditembak ketika berburu


Seorang lelaki maut selepas terkena satu das tembakan yang dipercayai dilepaskan oleh ahli keluarganya ketika memburu di hutan sekitar Nabawan kira-kira 100 kilometer dari sini pada Isnin lalu.
Jainol Wot, 45, sempat dihantar ke Hospital Keningau untuk diberikan rawatan kecemasan, namun disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 7.20 petang hari yang sama.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Zahari Mohamed berkata, tembakan peluru penabur dari senapang buatan sendiri itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di perut, kaki, paha dan kemaluan.
“Sebelum dihantar ke Hospital Keningau, mangsa mendapat rawatan awal di Klinik Kesihatan Nabawan.

“Maklumat awal menunjukkan mangsa keluar memburu bersama adik iparnya di kawasan hutan berhampiran ladang getah kira-kira pukul 4 petang,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Zahari menambah, selain mangsa dan adik iparnya, satu lagi kumpulan daripada keluarga yang sama dikatakan keluar memburu babi hutan di kawasan itu.

Katanya, kumpulan kedua yang terdiri daripada adik ipar dan sepupu mangsa itu dikatakan melepaskan tembakan kerana menyangka mangsa ialah babi hutan.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek, semuanya ahli keluarga mangsa berusia antara 25 hingga 27 tahun ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.



.

Kereta dikompaun 167 kali ditunda

Pemilik kenderaan yang mempunyai 167 kompaun tanpa berbayar terkejut apabila keretanya ditunda penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dalam Operasi Tunda Kenderaan Pesalah Tegar di USJ 10, di sini, semalam.
Difahamkan, lelaki berusia 30-an itu tidak puas hati dan berang atas tindakan MPSJ selepas mendapat tahu keretanya ditunda berdekatan restoran makanan segera di situ.

Yang Dipertua MPSJ, Datuk Adnan Md Ikshan, berkata pihaknya terkejut sebaik menyemak nombor pendaftaran kenderaan itu dan mendapati terdapat sejumlah besar kompaun atas pelbagai kesalahan yang tidak dijelaskan pemilik. Katanya, MPSJ tidak teragak-agak menunda kenderaan itu dan pemiliknya perlu menjelaskan setiap kompaun tertunggak selain membayar kos tunda dan kompaun berjumlah RM178.
“Tidak dinafikan, jumlah keseluruhan kompaun yang perlu dibayar pemilik agak tinggi iaitu menelan ribuan ringgit, tetapi kami tetap bertegas dan tiada kompromi kerana MPSJ sudah memberi tempoh lama kepada pemilik untuk menjelaskannya,” katanya.

Beliau berkata, operasi tunda kenderaan pesalah tegar yang bermula semalam menemui tiga kereta yang mempunyai jumlah kompaun tinggi selain melakukan kesalahan lain seperti tidak meletakkan kenderaan di tempat disediakan. “Operasi ini bertujuan meningkatkan kepatuhan masyarakat terhadap peraturan lalu-lintas terutama di kawasan komersial dan tumpuan orang awam selain menerapkan nilai murni dalam sikap pemandu,” katanya.



.

Kerana RM10 Tahun Dipenjara 4 Tahun


KUANTAN: Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini menjatuhkan hukuman penjara empat tahun ke atas seorang penjual ikan yang mengaku bersalah meragut beg seorang wanita berisi RM10.

Nik Khairul Azmi Salleh, 28, dari Triang, Bera, dituduh meragut jurujual berkenaan di belakang Sekolah Rendah Sultan Abdullah, Jalan Wong Ah Jang di sini pada 9.45 malam 12 November lepas.
Selain wang tunai itu, beg itu juga mengandungi kunci rumah, MyKad, buku akaun bank dan surat hospital.

Tertuduh ditangkap oleh orang ramai di kawasan berkenaan sebelum diserahkan kepada polis.
Nik Khairul Azmi memohon supaya dikenakan hukuman yang ringan dengan alasan isterinya baru melahirkan anak tiga minggu lepas.

Hakim Irwan Suaibon menetapkan hukuman penjara berkenaan berkuatkuasa dari tarikh tertuduh ditangkap.
Nik Khairul Azmi tidak diwakili peguam manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Ain Fadilla Md Ali.



.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!