Saturday, December 18, 2010

Roman Abramovich tanding kerusi parlimen di Rusia



MOSCOW - Pemilik kelab bola sepak Chelsea dalam Liga Perdana Inggeris, Roman Abramovich berhasrat untuk bertanding kerusi parlimen di wilayah Chukotka, lapor agensi berita Interfax semalam.

Abramovich, 44, yang merupakan lelaki keempat terkaya di Rusia dengan anggaran kekayaan AS$11.2 bilion (RM35.14 bilion) oleh majalah Forbes telah menjadi ahli parlimen di daerah Selat Bering sejak 10 tahun lalu.

"Dia (Abramovich) mengemukakan dokumen itu (bertanding kerusi parlimen)," lapor Interfax yang memetik seorang pengerusi suruhanjaya tempatan sebagai berkata.

Abramovich mewakili wilayah itu dalam Dewan Rendah Parlimen dari 2001 hingga 2008 dan dia kini berkhidmat sebagai pengerusi di peringkat tempatan.

Dia menjadi kaya dengan berdagang minyak selepas Kesatuan Soviet berpecah menjadi Rusia.



.

Krisdayanti bakal berkahwin minggu depan


Penduduk di kawasan tempat tinggal penyanyi Krisdayanti, 35, di Radio Dalam, Jakarta Selatan heboh mengatakan bahawa penyanyi itu bakal berkahwin pada minggu depan, lapor sebuah akhbar semalam.
"Undangannya sudah disebar. Mungkin hanya untuk orang-orang tertentu, selebihnya anda semak sendiri," kata satu sumber.

Sumber itu turut memberitahu bahawa, majlis itu bakal diadakan di Hotel Mulia, Senayan, Jakarta.
Sebelum ini, Krisdayanti pernah menyatakan bahawa dia sudah bersedia untuk berkahwin dengan seorang ahli perniagaan yang berasal dari Timor Leste, Raul Lemmos.

Raul dikatakan sudah menghantar surat untuk bercerai dengan isterinya, Silvalay Noor Athalia di Timor Leste.
Menurut Silvalay, keputusan mahkamah mengenai status perceraian mereka bakal diketahui pada 21 Disember ini.

Dalam perkembangan sama, akhbar Tribunnews.com melaporkan bahawa bekas suami Krisdayanti, Anang Hermansyah, 41, merestui perkahwinan bekas isterinya itu.

"Kalau memang itu sudah menjadi keputusan yang baik buat Yanti (Krisdayanti) dan baik untuk jangka panjangnya, bagi aku itu keputusan yang tepat," kata Anang yang mempunyai tiga orang anak hasil perkahwinannya dengan Krisdayanti.




.

Gadis 24 tahun menang Ratu Cantik Universiti di Korea Selatan


LEEDS - Seorang gadis berumur 24 tahun, Katie Farr dipilih untuk memenangi Ratu Cantik Universiti peringkat dunia di Korea Selatan baru-baru ini, lapor sebuah akhbar semalam. Dia dipilih barisan hakim yang kagum dengan kecerdasan selain wajahnya yang cantik.
Katie dari sini menewaskan 40 lagi saingannya.

Gadis itu memiliki tahap kecerdasan (IQ) sebanyak 140 dan dia merupakan rakyat Britain yang pertama memenangi gelaran tersebut sejak ia diperkenalkan pada 1986.
Semua peserta merupakan pelajar atau bekas pelajar universiti dan berani menunjukkan kemahiran berdebat, kerja-kerja kebajikan dan bakat individu.


Tidak ada kategori pakaian renang namun Katie mampu memikat hakim dengan menunjukkan kemahiran tendangan dalam perlawanan tinju.

Dia menjadi model sebelum memperoleh ijazah sains politik dari University of Leeds.

Pada tahun lalu, dia memenangi gelaran Ratu Cantik Leeds. Para peserta perlu mengetahui cara untuk membuat kuih tradisional, memberikan bantuan makanan untuk golongan tidak berumah dan menyampaikan guni arang kepada penduduk miskin Korea.

Menurut Katie: "Keputusan itu tidak hanya bergantung kepada pertandingan akhir. Terdapat sekumpulan orang yang mengikuti kami dan melihat kami selama dua minggu. Berdasarkan pandangan saya, pemenang pertandingan itu merupakan yang paling bijak dalam pertandingan ratu cantik."


Pertandingan itu sebenarnya dianjurkan oleh persatuan pelajar dari beberapa buah universiti di dunia.

Tujuan ia diadakan adalah untuk mempromosikan keamanan. Pemenang sebelum ini terlibat dalam aktiviti keamanan di negara-negara seperti Kosovo dan Rwanda yang pernah dilanda peperangan.



.

Tipu kelayakan untuk masuk Universiti Harvard


BOSTON - Seorang pemuda berusia 24 tahun, Adam Wheeler mengaku bersalah berhubung 20 dakwaan terhadapnya termasuk penipuan identiti sebagai usahanya untuk memasuki Universiti Harvard di Amerika Syarikat (AS), lapor akhbar Boston Globe kelmarin.

Wheeler memberitahu hakim sebuah mahkamah di sini bahawa dia berasa malu dengan perbuatannya.
Dia diarahkan diletakkan dalam pemerhatian pihak berkuasa selama 10 tahun dan membayar AS$45,800 (RM143,651) sebagai ganti rugi selain menjalani sesi kaunseling.
Pemuda itu juga dilarang untuk cuba mendapatkan sebarang keuntungan dengan menjual kisahnya.

Pihak pengurusan Universiti Harvard mula menyiasat Wheeler pada September lalu selepas seorang profesor yang meneliti semula permohonannya untuk biasiswa Rhodes dan Fulbright.
Profesor itu mendapati bahawa pemuda tersebut telah memplagiat hasil kerja akademik yang dilakukan oleh pelajar lain.

Pihak pengurusan universiti itu mendapati Wheeler memalsukan transkrip Universiti Harvard supaya ia menunjukkan dia mendapat banyak A bagi membolehkannya layak mendapat biasiswa.
Pemuda itu kemudiannya diberikan geran penyelidikan lebih AS$45,000 (RM141,142), biasiswa dan bantuan kewangan dengan menggunakan hasil kerja akademik yang diplagiat.

Dia yang memasuki kursus utama bahasa Inggeris itu dibuang dari universiti tersebut pada tahun lalu selepas profesor tersebut membongkar penipuannya.
Semasa perbicaraan, dia mengaku menggunakan surat perakuan palsu dan memalsukan transkrip peperiksaan sekolah tinggi dan kolej.

Universiti Harvard merupakan universiti berprestij di AS dan salah seorang bekas pelajarnya ialah pengasas laman web Facebook, Mark Zuckerberg.



.

Buku wartawan baling kasut ke arah Bush dijual

Muntadhar cerita sebab tindakan terhadap bekas Presiden AS


BEIRUT: Buku bertajuk The Last Salute to President Bush mula dijual di sebuah pesta buku di Beirut, Lubnan, minggu ini.

Ia hasil nukilan Muntadhar al-Zeidi, wartawan Iraq yang terkenal selepas membaling kasut ke arah bekas Presiden Amerika Syarikat, George W Bush.

Muntadhar mendapat perhatian ketika hadir untuk majlis pelancaran buku itu di pameran berkenaan.

Dia juga berkata sudah mengambil langkah undang-undang untuk menyaman Perdana Menteri Iraq, Nuri al-Maliki di sebuah mahkamah Switzerland atas penahanannya berikutan tindakannya terhadap Bush. Muntadhar juga mendakwa, dia menjadi mangsa seksaan ketika dipenjara sembilan bulan.

Buku berkenaan menceritakan saat sebelum Muntadhar bertindak membaling kasutnya ke arah Bush dalam sidang akhbar di Baghdad pada 14 Disember, 2008.

Sambil membaling kasut, Muntadhar menjerit menggelar Bush ‘anjing.’ Bukunya juga menceritakan penderitaan warga Iraq bermula dengan Perang Teluk 1991.
Buku itu dilancarkan sempena dengan ulang tahun ke-2 insiden berkenaan yang dianggap antara imej ‘ikon’ perang Iraq.
Dalam bukunya, Muntadhar berkata, dia mual melihat Bush diiringi al-Maliki.

“Pada masa itu, saya rasa berang selepas melihat dan mendengar mengenai pembunuhan beramai-ramai penduduk Iraq oleh lelaki itu,” katanya.




.

Kajol rehat berlakon

Aktres Bollywood cuti mahu tumpu anak


MUMBAI: Peminat aktres terkenal Bollywood, Kajol, pasti akan merindui kemunculannya selepas ini apabila bintang filem itu mengambil keputusan ‘berehat’ daripada berlakon bagi memberi tumpuan kepada keluarga terutama anak lelakinya Yug yang baru berusia tiga bulan.

“Buat masa ini saya tidak boleh memikirkan mengenai lakonan atau filem, sehingga Yug berusia sekurang-kurangnya tiga tahun,” katanya kepada wartawan.

Pelakon itu berkata, menghabiskan masa bersama anak dan menguruskan keperluan keluarga adalah suatu perkara yang menyeronokkan. “Saya seronok menghabiskan masa bersama Yug dan anak sulung kami Nysa. Mereka adalah keutamaan saya sekarang dan saya amat suka melihat mereka membesar dengan saya berada di sisi mereka,” kata isteri kepada pelakon dan pengarah filem Ajay Devgn itu.

Kajol berkata filem terakhir lakonannya sebelum berundur diri ialah Toonpur Ka Superhero dan dia akan menimbangkan semula sama ada akan kembali berlakon selepas itu.

“Saya dan Ajay sukakan skrip filem ini dan kami juga tertarik untuk melihat bagaimana pengarahnya, Kireet Khurana akan menghasilkan filem ini kerana ia adalah filem animasi pertama India. Dia menunjukkan kepada kami bagaimana filem itu dihasilkan dan kami amat kagum,” katanya.

Kajol berkata, satu lagi sebab dia meminati filem Toonpur Ka Supehero ialah ia mempunyai kaitan dengan minda kanak-kanak.
“Kanak-kanak menerima banyak pendedahan sekarang, semuanya boleh didapati melalui internet jadi kita perlu memberikan mereka sesuatu yang positif,” kata pelakon itu yang mengaku amat meminati filem dan komik Superman.

Kajol juga berkata sebahagian hasil filem itu sudah ditunjukkan kepada penerbit filem Who Framed Roger Rabbit yang yang melawat Mumbai baru-baru ini dan beliau kagum dengan hasilnya.

“Dia tidak menyangka filem seperti ini mampu dibuat di India,” katanya.
Kajol mengakui dia tidak banyak berlakon bersama suaminya, bagaimanapun mereka berlakon bersama dalam Toonpur Ka Superhero.



.

Inter diundi bertemu Bayern


NYON, Switzerland - Juara bertahan, Inter Milan akan menentang Bayern Munich, sekali gus mengulangi final tahun lalu apabila diundi bertemu pada peringkat kalah mati Liga Juara-Juara semalam.

Pada aksi final di Stadium Santiago Bernabeu tersebut, juara Itali itu menewaskan Bayern 2-0 hasil jaringan penyerang Argentina, Diego Milito.
Begitupun, pengarah sukan Bayern, Christian Nerlinger yakin kelab Jerman itu memiliki peluang yang terbaik untuk menebus kekecewaan yang dialami pada Mei tahun lalu.

"Kami masih mengingati kekalahan kepada Inter pada final di Madrid dan kini, kami memperoleh peluang terbaik untuk menebus kekecewaan itu," kata Nerlinger.
"Ia bakal menjadi sesuatu yang sukar tetapi ia mungkin menjadi sangat menarik bagi kami."

Presiden Bayern, Karl-Heinz Rummenigge pula berkata: "Diundi bertemu Inter adalah sesuatu yang sangat sukar, tanpa diragui lagi ia adalah kesukaran yang bakal kami hadapi tetapi selepas Mei tahun lalu, kami berpeluang untuk membalas dendam."

Sementara itu, berdepan tugas getir apabila diundi bertemu kelab gergasi Sepanyol, Barcelona yang menyingkirkan skuad The Gunners itu pada aksi suku akhir tahun lalu.
Pada aksi suku akhir kedua, penyerang Argentina, Lionel Messi meledakkan kesemua empat gol untuk menyingkirkan kelab London itu dengan kemenangan 4-1 di Stadium Nou Camp.

Kedua-dua pasukan itu turut bertemu pada final 2006 di mana Barcelona bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Arsenal 2-1 di Stadium Stade de France.


Dalam undian lain, Manchester United dan Chelsea mendapat laluan mudah apabila masing-masing diundi bertemu kelab Perancis, Marseille dan Copenhagen dari Denmark.

Manakala juara sembilan kali, Real Madrid berdepan kelab Perancis, Lyon yang mencipta kejutan apabila menyingkirkan kelab gergasi Sepanyol itu pada aksi suku akhir tahun lalu.



.

Dua misi di Stamford Bridge


MANCHESTER United mempunyai dua misi besar apabila bertandang ke Stamford Bridge bagi perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL), malam esok.

Selain mahu mengukuhkan cengkaman di persada liga dan terus berada di depan juara bertahan itu, barisan Alex Ferguson juga mahu menamatkan kemarau lapan tahun kemenangan di gelanggang lawan itu.

Sejak April 2002, United tidak pernah menang di gelanggang Chelsea itu tetapi kemenangan kali ini, bukan saja meletakkan mereka enam mata di depan Blues, tetapi juga mengukuhkan lagi kedudukan kerana masih berbaki satu perlawanan.

Dengan rekod bersih tanpa tewas selepas 16 perlawanan musim ini, Red Devils juga sedang bersemangat ekoran kemenangan ke atas pencabar terdekat Arsenal di Old Trafford, Isnin lalu dan satu lagi kemenangan ke atas pasukan kelompok empat teratas, pasti mencerahkan peluang untuk mencatat rekod baru juara liga sebanyak 19 kali.

“Perlawanan Ahad ini (esok) adalah satu perlawanan besar. Ia juga perlawanan yang mungkin menentukan corak saingan di kelompok atas liga.

“Kami masih tidak tewas selepas 16 perlawanan dan kami mahu menjadikannya 17,” kata Ferguson yang percaya anak buahnya mula menemui rentak selepas bermula agak perlahan musim ini.

Berbeza pula di kem Chelsea, barisan Carlo Ancelotti gagal mencatat kemenangan dalam enam perlawanan sejak awal November lalu tetapi pengurus kelahiran Itali itu percaya, tempoh hitam kelab itu sudah berlalu.
Kehadiran semula Frank Lampard yang diturunkan seketika ketika seri 1-1 dengan Tottenham Hotspur minggu lalu, memberi sebab buat jurulatih itu untuk berasa yakin menghadapi perlawanan penting esok



P/S - Semangat Chelsea....



.

MYAUTHENTICZONE OPENING GIVEAWAY


Jom sertai GiveAway....
Klik pada banner untuk details...

Lulu tau Giveaway ni dari srg blogger yg lulu follow...
So, hadiahnya mmg menarik..
1st time tau psl blog pengganjur ni..
(Rasanya blog ni akan lebih menarik kalau template hitam tu
ditukar kepada warna2 yag lebih ceria...ngee..)


Jom join bersama..
Tarikh tutup : 25.12.2010




.

Pengedar dadah maut jatuh bangunan

SHAH ALAM – Tindakan seorang pengedar dadah memanjat balkoni rumah untuk melarikan diri dari ditahan polis mengundang padah apabila dia mati selepas terjatuh dari tingkat empat blok 39, flat Taman Bunga Negara di Seksyen 27 di sini kelmarin.

Kejadian pukul 4.30 petang itu menyebabkan lelaki tersebut mati di lokasi kejadian selepas mengalami cedera parah di kepala dan badan.

Difahamkan, penganggur berusia 29 tahun terbabit tergelincir sebelum terjatuh ketika cuba memanjat tembok di balkoni belakang bangunan sembilan tingkat berkenaan untuk ke balkoni rumah sebelah.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, sebelum itu, sepasukan polis dari Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dapat menahan enam lelaki berusia di antara 19 dan 27 tahun yang khayal dadah ketika menyerbu rumah tersebut.

Katanya, empat ditahan di ruang tamu manakala dua lagi ditahan di dalam bilik. Ketika itu mereka sedang berpesta menghisap syabu.

“Soal siasat mendapati, ada dua lagi rakan mereka yang telah melarikan diri melalui balkoni. Apabila ditinjau, polis mendapati, salah seorang daripada mereka telah terbaring di atas laluan pejalan kaki dalam keadaan berlumuran darah.

“Polis kemudian bergegas turun tetapi mendapati suspek telah mati akibat kecederaan parah di kepala dan badan,” katanya yang turut merampas syabu seberat 0.5 gram pada sidang akhbar di sini semalam.




.

Hasrat isteri dikebumi satu kubur bersama suami termakbul


Siapa sangka kata-kata seorang isteri untuk disemadikan dalam satu kubur dengan suaminya dimakbulkan apabila mereka meninggal dunia bersama dalam kemalangan jalan raya malam semalam.
Kedua-duanya, Nur Hazah Mohamad Yusuf, 24, dan Ahmad Azhar Hassan, 30, merupakan pasangan yang baru berkahwin pada 30 Oktober lalu dan belum sempat untuk menimang cahaya mata.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 8 malam itu, motosikal yang mereka naiki dilanggar sebuah kereta di Kilometer 7 Jalan Tapah-Changkat Petai berhampiran pekan Tapah.

Menurut kakak Nur Hazah, Nur Aaida, 35, sebelum kejadian, adiknya itu ada menyuarakan hasrat untuk berhenti kerja pada Sabtu ini dan ingin berpindah ke sebuah rumah berhampiran dengan kubur di Kampung Batu 5 dekat sini.

“Beberapa hari lalu juga, dia menyatakan kalau nak mati, biarlah meninggal dunia pada Jumaat dan satu kubur dengan suaminya.

“Tak sangka permintaannya dikabulkan oleh Allah dan mereka dikebumikan dalam satu kubur hari ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Tapah Road di sini hari ini.
Sementara itu, bapa saudara Nur Hazah, Saat @ Harun Mat, 67, berkata, dia yang baru pulang dari tempat kerjanya segera ke tempat kejadian sebaik sahaja mengetahui berita malang tersebut pada pukul 8.40 malam.
Menurutnya, apabila sampai ke tempat kejadian, kedua-dua pasangan suami-isteri itu sudah tidak bernyawa.




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!