Saturday, January 15, 2011

2 terbunuh kemalangan libatkan tiga kenderaan


Dua terbunuh, seorang parah dan dua lagi cedera ringan selepas kereta yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan di Kilometer 19 Jalan Lahad Datu-Tungku, dekat sini hari ini.

Pemangku Ketua Polis daerah, Asisten Supritendan Bong Kuet Khiun berkata, kemalangan tersebut turut melibatkan dua buah kenderaan lain iaitu lori 10 tan dan sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda (4WD).
Katanya, dalam kemalangan pada pukul 8.30 pagi itu, mangsa yang terbunuh ialah pemandu kereta Proton Aeroback, Abdul Santa Maung, 42, dan penumpang di hadapan, Tanjung Jelenty, 42.
Menurutnya, kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian ekoran cedera parah di kepala dan badan.

"Identiti mangsa yang parah dan tiga cedera ringan masih belum dikenal pasti. Kesemua mereka adalah penumpang kereta dan telah dihantar ke Hospital Lahad Datu (HLD) untuk rawatan lanjut," katanya di sini hari ini.

Kuet Khiun berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila lori 10 tan yang dalam perjalanan dari arah Tungku ke Lahad Datu cuba memotong kereta yang dinaiki oleh enam sekeluarga itu.
Bagaimanapun katanya, ketika lori itu cuba memotong kenderaan itu, sebuah kenderaan 4WD datang dari arah bertentangan.

Jelasnya, lori tersebut cuba memasuki semula lorong asal dan menyebabkan kenderaan itu melanggar bahagian tepi kanan kereta terbabit.

"Pelanggaran itu menyebabkan kereta tersebut terheret sehingga memasuki ke laluan kanan jalan, sebelum bertembung dengan kenderaan 4WD dari arah bertentangan yang cuba menggelak," katanya.

Kuet Khiun menambah, pemandu lori tersebut melarikan diri selepas berlakunya kemalangan tersebut.
Jelasnya, siasatan lanjut sedang dijalankan, termasuk mengesan pemandu lori tersebut.

Katanya, pasukan Bomba dan Penyelamat Lahad Datu tiba di lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Dalam pada itu katanya, mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke HLD bagi bedah siasat, sebelum dituntut oleh ahli keluarga mangsa.



.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!