Thursday, January 13, 2011

Maut terkena renjatan


Galah besi diguna mangsa terkena kabel ketika kait kelapa

NIBONG TEBAL: Seorang bilal masjid meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik ketika sedang mengait buah kelapa menggunakan galah besi berhampiran rumahnya di Kampung Tengah, Sungai Setar Besar, di sini, semalam.

Mayat Arsyad Awang, 61, ditemui dalam keadaan terbaring oleh adiknya, Ramli, 55, pada jam 10.40 pagi.

Malah, Ramli yang terkejut setelah abangnya terbaring dengan tangan kiri berasap, turut terkena renjatan elektrik ketika mengalihkan galah sepanjang kira-kira lapan meter yang terkena lengan kiri. Bagaimanapun, dia bernasib baik kerana bertindak cepat melepaskan galah itu.

Galah besi itu kebiasaannya digunakan untuk mengait buah kelapa sawit.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk bedah siasat dan polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

Nahas dikatakan berlaku apabila sebiji kelapa tersangkut di hujung sabit yang menyebabkan galah berkenaan gagal dikawal oleh mangsa sebelum terkena kabel elektrik. Walaupun kabel itu mempunyai penebat, tetapi terkoyak akibat terkena mata sabit.
Ini menyebabkan berlaku aliran elektrik ke seluruh galah besi yang mengakibatkan Arsyad yang memegangnya terkena rencatan sebelum dia terjatuh.

Arsyad adalah Bilal Masjid Al-Falah Kampung Tengah dan Allahyarham dijadualkan menerima tauliah untuk sambungan perkhidmatan sebagai bilal daripada Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) hari ini.

Mangsa adalah anak sulung daripada lapan beradik, dan menduda sejak beberapa tahun lalu. Dia tinggal bersama ibunya, Teh Salleh, 84.

Ramli berkata, kira-kira sejam sebelum kejadian itu, dia yang dalam perjalanan ke kedai, melihat abangnya sedang mengait kelapa di tepi rumah.

Apabila kembali kira-kira jam 10.30 pagi, Ramli tidak nampak kelibat abangnya lalu mencari di sekitar rumah dan menemui mangsa dalam keadaan terbaring.

Dia yang nampak asap masih keluar daripada tangan kiri abangnya dan galah besi terkena lengan, mengalihkan galah berkenaan.

“Saya segera mendapatkan abang dan mengubah galah yang menghalang sebelum separuh badan sebelah kiri saya terkena renjatan elektrik. Mujurlah saya sempat melepaskan galah itu.

“Saya memanggil namanya tapi abang tak bergerak dan saya agak abang sudah meninggal dunia kerana terkena renjatan elektrik. Tangannya juga berasap dan saya segera memanggil ahli keluarga dan jiran sebelum melaporkan kepada polis,” katanya.



.

1 Penyokong CHELSEA:

shahazrin on January 13, 2011 at 10:08 AM said...

bahaya tul..

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!