Pemandu treler membawa muatan beras yang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori pasir semalam, melalui detik cemas apabila dia terpaksa menahan kesakitan dan dibiarkan terbaring di tengah jalan hampir satu jam tanpa dibantu oleh mana-mana pihak.
Lebih malang lagi apabila kecederaan yang dialami Ahmad Rodzlin Ahmad Murad, 27, tidak diendahkan bahkan dia dituduh memandu laju dalam keadaan mengantuk.
Namun, apa yang lebih dikesalkan mangsa apabila orang ramai yang berhenti untuk melihat kemalangan itu tidak menghulurkan bantuan sebaliknya sibuk mengaut beras yang bertaburan di atas lebuh raya.
“Hampir satu jam saya terbaring di atas lebuh raya dan tiada seorang pun yang menghulurkan bantuan. Malah, mereka kelam kabut mengutip beras yang bertaburan.
“Tidak cukup dengan beras, beg dan telefon bimbit saya juga diambil. Bayangkan dalam keadaan berlumuran darah, mereka hanya memandang tanpa membantu memberikan kain untuk menutup luka saya,” katanya ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini hari ini.
Kejadian pukul 10 pagi di Kilometer 394.4, Lebuh Raya Utara-Selatan berdekatan Tanjung Malim itu turut meragut nyawa kelindan treler berkenaan, Hanafi Mohd. Daud, 22.
Katanya, akibat kejadian itu dia mengalami kecederaan di bahagian paha dan lengan kiri dan pihak hospital terpaksa menampal kecederaan tersebut dengan kulit di bahagian paha.
Ahmad Rodzlin memberitahu, kejadian itu berlaku apabila dia cuba mengelak daripada terlanggar lori pasir yang tiba-tiba memotong dan memperlahankan kenderaan di bahu jalan tanpa memberikan isyarat lampu.
Katanya, lori tersebut mungkin cuba mengelak daripada melalui sekatan jalan raya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak jauh dari tempat kejadian.
“Jika lihat daripada gambar dalam akhbar, lori saya memang berada di lorong yang betul, manakala sebahagian badan lori pasir masih berada di atas jalan raya dan bahu jalan.
“Saya tidak sempat mengelak sebab secara tiba-tiba pemandu itu memperlahankan kenderaan dan saya percaya ini ada mengena dengan sekatan jalan raya yang diadakan JPJ,” katanya.
Ahmad Rodzlin yang berpengalaman selama lima tahun membawa lori berkata, kemalangan itu merupakan kali pertama dialaminya dan ketika itu, dia dalam perjalanan ke Puchong, Selangor untuk menghantar ratusan guni beras dari sebuah kilang di Perlis.
Tambahnya, dia kini bimbang dengan penerimaan keluarga Hanafi yang meninggal dunia di Hospital Slim River kerana mengalami kecederaan parah di kepala.
.
1 Penyokong CHELSEA:
xde sifat keperimanusian langsung...kesian kat mangsa
Post a Comment