Penyanyi terkenal Indonesia, Kris Dayanti menjelaskan, bakal suaminya, Raul Lemos merupakan seorang penganut agama Islam biarpun dilahirkan dalam sebuah keluarga Katolik. Raul yang juga seorang usahawan ternama kata Kris, sudah lama memilih menganut dan menjadikan agama suci Islam sebagai pilihannya.
Keputusan memilih Islam sebagai agama dibuat Raul selepas kekasihnya itu mendalami ajaran-ajaran agama suci itu berdasarkan kajiannya menerusi kitab-kitab sufi.
“Sudah ramai yang bertanyakan saya hal mengenai status agama Raul kerana beliau berasal dari sebuah negara yang majoriti bukan beragama Islam (Timor Leste).
“Justeru, penjelasan ini saya harapkan dapat mengelakkan lagi kekeliruan orang ramai yang sangsi dengan status agama bakal suami saya,” kata Kris kepada Utusan Malaysia pada satu pertemuan eksklusif di sini hari ini.
Kenyataan itu dibuat Kris selepas banyak pihak di Indonesia yang menyatakan rasa sangsi mereka berhubung pendirian agama yang dianuti oleh bakal suaminya itu.
Selama ini, Kris mengakui, terdapat kenalannya yang berat mulut untuk bertanya kepadanya secara peribadi memandangkan hal tersebut cukup sensitif.
“Saya faham dan berterima kasih di atas sensitiviti mereka yang inginkan kepastian berhubung hal ini (status agama Raul).
“Justeru, selagi tidak dijelaskan ia hanya akan terus mengundang teka-teki serta boleh mencetus pelbagai spekulasi yang kurang enak,” kata Kris yang sebelum ini pernah gagal dalam perkahwinan pertamanya dengan komposer dan penyanyi terkenal, Anang Hermansyah.
Raul atau nama sebenarnya Raul Dos Reis Lemos juga lebih yakin memilih Islam sebagai agamanya selepas bernikah dengan isteri pertamanya, Silvalay Noor Athalia atau Atha yang merupakan seorang wanita berbangsa Arab.
Malangnya, pernikahan pertama Raul dengan Atha juga gagal di pertengahan jalan.
Kris turut memberitahu, apa yang dikagumi mengenai Raul juga ialah, lelaki itu memiliki pengetahuan yang mendalam mengenai Islam.
“Sehingga kini pun Raul masih lagi mendalami agama Islam. Saya bersyukur dan gembira kerana bakal suami saya tidak pernah berhenti daripada belajar,” jelas Kris yang akan disatukan dengan Raul sebagai pasangan suami isteri pada 20 Mac ini.
.
4 Penyokong CHELSEA:
nice info... semoga hubungan mereka kekal ke akhirat sana.. :)
ahaa.. yelah tu. islam nama je kan. sedey :-(
@Nizam yer semoga..
@Makbed itulah...huhu
Post a Comment