Baru berusia 18 tahun, namun tanggungjawab yang dipikul oleh Aisyah Azahar amat berat.
Pada usia semuda itu, Aisyah menjalani kehidupan harian dengan menjaga datuknya yang lumpuh akibat parkinson, nenek yang mengalami penyakit kemurungan serta kakak dan ibu saudara yang mengalami sakit jiwa.
Aisyah yatim sejak ayahnya meninggal dunia 17 tahun lalu manakala ibu kini berada di hospital untuk mendapatkan rawatan akibat penyakit yang sama dialami kakak dan ibu saudaranya.
Nasib keluarga malang ini mendapat perhatian Pemuda UMNO Bahagian Bandar Tun Razak yang telah berusaha sedaya upaya untuk membantu meringankan beban mereka.
Sabtu lalu, mereka telah mengadakan gotong-royong untuk membersih dan mengecat rumah Aisyah di Taman Jaya, Bandar Tun Razak, di sini.
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang turut menyertai program murni itu berkata, Pemuda UMNO melalui program Jelajah One Malaysia (JOM) telah membantu keluarga tersebut dengan membaik pulih rumah keluarga itu.
Katanya, rumah tersebut telah dicat semula serta dipasang sistem pendawaian yang baru bagi memberikan keselesaan dan menjaga keselamatan mereka.
"Saya juga akan membantu Aisyah yang kini sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk meneruskan pelajaran nanti.
"Memandangkan dia merupakan nadi kepada keluarga ini, maka kami akan fikirkan cara yang terbaik untuk membantunya meneruskan pelajaran," katanya, yang turut menyampaikan sumbangan Pemuda UMNO.
Keluarga tersebut turut menerima sumbangan kerusi roda dan juga bekalan makanan daripada Pemuda UMNO.
Sementara itu, Aisyah berkata, dia terpaksa berhenti kerja sambilan di sebuah pusat beli-belah berdekatan semenjak kejadian ibunya cuba membunuh diri kerana perlu menjaga ahli keluarganya yang lain yang tidak berupaya untuk menguruskan diri mereka sendiri.
Ujarnya, doktor memberitahu, neneknya mengalami masalah kemurungan sejak kebelakangan ini kerana tertekan dengan pelbagai dugaan yang melanda keluarga tersebut.
"Saya berharap dapat menyambung pelajaran ke universiti selepas keputusan SPM keluar nanti namun saya juga harus memikirkan nasib keluarga yang membuatkan hati saya berasa berbelah bagi," katanya, yang mendapat 5 A dalam keputusan peperiksaan ujian di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tun Razak.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment