Thursday, March 24, 2011

Torres terima anugerah dalam kehambaran


Fernando Torres dianugerahkan pingat penghormatan kerana pencapaiannya dalam sukan oleh bandar kelahirannya, Fuenlabrada kelmarin tetapi jaringan, bukan anugerah yang diperlukan penyerang tumpul Sepanyol itu ketika ini.

Dia gagal menemui gawang sepanjang Piala Dunia Afrika Selatan tahun lalu dan hanya menjaringkan dua gol buat juara Eropah dan dunia itu - dua gol ketika menentang pasukan lemah, Liechtenstein dalam kelayakan Euro 2012 di Vaduz September lalu.

Penyerang 27 tahun itu, berkongsi kedudukan kelima dalam senarai penjaring terbanyak Sepanyol dengan 26 gol, tetapi bergelut untuk mencari sentuhan bersama kelab baru, Chelsea, malah gagal menggegar gawang dalam tujuh penampilan sejak berpindah dari Liverpool Januari lalu.

Torres berpeluang kembali dalam senarai penjaring apabila Sepanyol melayan kunjungan Republik Czech bagi kelayakan Euro 2012 di Granada esok dan Lithuania di Kaunas empat hari selepas itu, ketika pendahulu Kumpulan I itu mengambil langkah penting untuk mengesahkan tempat ke pusingan akhir di Poland dan Ukraine, tahun depan.

“Perkara paling sukar adalah menang di peringkat kebangsaan,” kata Torres kelmarin.

“Banyak kali, ketika anda berjaya, anda mula bersikap leka, tetapi nasib baik kami memiliki sasaran, iaitu memenangi kejohanan Eropah, dunia dan Eropah berturut-turut,” katanya.

“Tiada siapa pernah mencapai kejayaan seperti ini. Apa yang kami mahu lakukan adalah mencipta sejarah, ia berada dalam benak fikiran kami dan memenangi dua perlawanan seterusnya akan meletakkan kami ke pusingan akhir.”



.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!