Thursday, April 28, 2011

Kepala pecah, patah leher, tangan kanan, tulang belakang dan betis

Seorang lelaki yang baru lima bulan menimang cahaya mata sulungnya maut dihempap balak ketika menebang balak bersama seorang rakannya di kawasan hutan Pos Piah, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, Badli Shah Sulaiman, 29, dari Felda Lasah, Sungai Siput, maut di tempat kejadian akibat cedera parah dengan kepalanya pecah serta patah leher, tangan kanan, tulang belakang dan betis akibat dihempap balak reput.
Ia kejadian kedua dalam tempoh kurang dua minggu selepas seorang penebang balak maut dihempap pokok balak ketika bekerja di kawasan hutan Lawin Utara, juga dekat sini.
Ketua Polis Daerah Grik, Superintendan Abd Manab Bahrum, berkata sebelum kejadian, mangsa bersama rakannya sedang menarik tali yang diikat pada sebatang pokok balak dalam usaha menumbangkannya selepas digergaji.

Bagaimanapun, katanya, pada masa sama, pokok balak yang reput di sebelah pokok ditarik mangsa itu tiba-tiba patah dan tumbang ke arah mangsa serta rakannya.

“Pokok reput itu menghempap mangsa menyebabkannya maut di tempat kejadian. Rakan mangsa berusia 40-an bagaimanapun selamat kerana sempat menyelamatkan diri,” katanya di sini, semalam.

Mayat mangsa dibawa keluar menggunakan kenderaan pacuan empat roda kira-kira sejam selepas kejadian dan dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat jam 3 pagi semalam.




.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!