Pelbagai usaha dilakukan kerajaan dalam membasmi kemiskinan namun masih ada antara golongan daif yang terpaksa hidup bersama keluarga dalam keadaan terhimpit.
Begitulah nasib seorang tukang cuci, Mohamad Zaidi Ismail, 40, isteri, Nor Azira Abdul Rahman, 38, berserta tiga anak mereka berusia antara 11 bulan hingga 12 tahun di sebuah rumah sewa di Taman Universiti, Semeling dekat sini.
Keluarga itu terpaksa tinggal berhimpit dalam rumah daif yang sering bocor ketika hujan, malah terpaksa bergelap kerana tidak mampu membayar bil elektrik.
Lebih malang, anak bongsu mereka yang berusia 11 bulan disahkan menghidap penyakit jantung berlubang, manakala anak sulung pula menderita penyakit asma.
Mohamad Zaidi berkata, dia terpaksa membiarkan isteri serta tiga anak tinggal dalam keadaan gelap dan tidak berkipas kerana tidak mampu menjelaskan bil elektrik yang tertunggak selama lima bulan.
"Pendapatan bulanan saya sebagai tukang cuci adalah sebanyak RM500 sebulan. Hampir kesemua wang gaji digunakan untuk tujuan perubatan kerana anak-anak sering keluar masuk ke hospital," katanya kepada pemberita dekat sini, baru-baru ini.
Tambahnya, anak bongsunya, Norlia mengalami jantung berlubang sejak dilahirkan dan mempunyai berat badan hanya lima kilogram berbanding kanak-kanak seusianya sekitar 12 kilogram.
"Doktor mencadangkan agar dilakukan pembedahan. Namun, disebabkan berat badan tidak sampai 10 kilogram, pembedahan tidak dapat dilakukan. Akibat itu, kami terpaksa berulang-alik ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk mendapatkan rawatan," katanya.
Tukang cuci itu memberitahu, selain bil elektrik tertunggak, dia juga masih berhutang bil perubatan anak-anaknya dan kini membayar secara beransur-ansur.
"Isteri saya pula tidak bekerja kerana perlu jaga anak-anak. Selain itu, dia juga menghidapi penyakit darah tinggi yang memerlukan rawatan berkala di hospital," katanya.
Sementara itu, Penyelaras Parlimen Merbok, Datuk Tajul Urus Md. Zain yang mengunjungi keluarga tersebut berkata, pihaknya akan meminta pengecualian bayaran daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi membolehkan bekalan elektrik disambung semula.
Beliau berkata, pihaknya juga mengemukakan kes itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat agar diberikan bantuan sewajarnya.
.
1 Penyokong CHELSEA:
kesiannya...kehidupan yang penuh dugaan
Post a Comment