Thursday, July 28, 2011

Terperangkap satu jam


“Belum sempat keluar lif, tiba-tiba lif bergerak ke atas dengan pintu tidak tertutup.
“Ketika itu, lif bergerak laju sambil pintu lif tertutup semula. Saya hanya mampu berdoa dan menunggu sebelum ia berhenti mengejut di tingkat 25 dengan hentakan kuat sehingga jatuh terduduk,” kata Mohamad Faizal Abu Hassan, 36.

Mohamad Faizal terperangkap dalam lif bersendirian hampir sejam di Blok A Pangsapuri Sutera di sini, selepas menaiki lif itu dari tingkat 25 rumahnya untuk ke tingkat bawah, kira-kira jam 7 malam kelmarin.
Menurutnya, dia bersama enam penduduk lain menggunakan lif itu untuk turun dan ketika itu tidak mengalami sebarang masalah.

Katanya, ketika lif sampai di tingkat paling bawah, dia yang berada berdekatan papan elektronik lif menekan butang buka untuk memberi laluan kepada pengguna lain.

Namun, dia terkejut apabila lif tiba-tiba bergerak ke atas ketika mahu keluar.
“Selepas lif berhenti dengan kuat di tingkat 25, saya yang terduduk disebabkan impak itu cuba bangun, tetapi gagal kerana sakit di pinggang dan belakang.

“Saya menghubungi jiran meminta bantuan sebelum diselamatkan bomba,” katanya yang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) sebagai pesakit luar.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Perai, A’azelan Hassan berkata, pihak bomba menerima panggilan jam 7.05 malam mengenai seorang penduduk Pangsapuri Sutera terperangkap di dalam lif.

Katanya, sebuah jentera dengan tujuh anggota dan seorang pegawai bergegas ke tempat kejadian.
“Anggota kami mendapati lif itu tersangkut di tingkat 25 dan terpaksa menaikkan lif itu ke tingkat 26 iaitu tingkat paling atas pangsapuri berkenaan.

“Jam 7.53 malam mangsa dibawa keluar dan ditemui dalam keadaan trauma serta mengadu sakit belakang,” katanya.
Menurutnya, mangsa terpaksa dibawa turun dari tingkat 26 menggunakan pengusung dengan bantuan penduduk yang bergilir-gilir mengangkatnya sebelum dihantar ke HSJ.
Sementara itu, Pengerusi Badan Pengurusan Bersama Pangsapuri itu, Mat Rodhi Puteh berkata, kejadian itu paling menakutkan berlaku di pangsapuri itu.
Katanya, setiap blok mempunyai dua lif, tetapi kerap rosak disebabkan vandalisme.

“Sebelum ini, lif blok A dua kali rosak kerana kilat selain sikap pengguna yang tidak bertanggungjawab.

“Kerja penyelenggaraan sukar dilakukan disebabkan sesetengah penghuni enggan membayar yuran penyelenggaraan,” katanya.

Menurutnya, kos untuk membaik pulih dua lif yang rosak itu dianggarkan kira-kira RM42,000.




.

2 Penyokong CHELSEA:

aizamia3 on July 28, 2011 at 1:10 PM said...

gile.. ada 2 lif je untuk 25 tingkat..
kesian pada penghuni kat situ..
disebabkan segelintir tak nak bayar kos penyelenggaraan, banyak masalah timbul..

Ce'gu JAERA on July 28, 2011 at 2:02 PM said...

huhuhu.. risiko tinggal d rumah pangsapuri dan berlift.. ini lah kejadian yang terpaksa ditanggung oleh para penghuni

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!