Tuesday, August 16, 2011

Dua warga emas terselamat


Seorang wanita warga emas yang leka menyediakan juadah nasi kerabu untuk berbuka puasa nyaris maut apabila rumahnya musnah dalam kebakaran di Perumahan Awam Laka Temin, Bukit Kayu Hitam di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 6.20 petang, Ku Emas Ku Sulaiman, 82, yang merupakan ibu tunggal melecur di dahi dan cedera di tangan kanan akibat terkena api ketika cuba memadam kebakaran di rumahnya itu.
Turut terlibat, sebuah rumah bersebelahan mangsa iaitu seorang lagi warga emas, Hamid Ahmad, 70. Bagaimanapun, Hamid tidak mengalami kecederaan.

Menurut Ku Emas, ketika itu dia yang bersendirian asyik memotong sayur di dapur rumahnya sebelum terdengar letupan kecil dari arah ruang tamu dan melihat api mula marak.
Katanya, dia kemudian cuba memadam api dengan mengambil air dari bilik air tetapi gagal kerana api marak dengan cepat.

"Saya kemudian menjerit meminta tolong sebelum jiran datang membantu membawa saya keluar melalui pintu dapur," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Ketika kejadian cucunya, Ku Ridzuan Ku Ahmad, 31, dan seorang cicitnya, Ku Iskandar Ku Ahmad, 3, tiada di rumah.

Ku Emas ketika ini menumpang sementara di rumah anak perempuannya di kawasan berhampiran.
Ku Emas dan Hamid semalam menerima sumbangan berupa selimut, telekung dan keperluan harian daripada
Pergerakan Puteri UMNO Kubang Pasu yang diketuai Wan Zawiyah Wan Halim, selain bantuan wang tunai daripada Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Mohd. Johari Baharum.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Kayu Hitam, Ahmad Zamri Chik berkata, pihaknya berdepan kesukaran untuk memasuki kawasan itu kerana laluan yang sempit selain berdepan tekanan air rendah.

Namun, katanya, tekanan air dapat diatasi dengan mendapatkan bekalan air di luar kawasan itu bagi memadamkan kebakaran.
"Dengan tekanan air lebih kuat, api dapat dikawal daripada merebak ke rumah berdekatan pada pukul 6.45 petang," katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat punca kejadian dan jumlah kerugian.



.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!