Monday, September 5, 2011

Dua lemas..


Sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini ditempuhi dengan kesedihan oleh dua keluarga apabila dua remaja mati lemas ketika sedang berkelah dan mencari kepah di Lagun Kuala Semerak dekat sini, semalam.
Dua mangsa yang lemas itu ialah Nik Nur Hidayah Nik Man, 11, dan Nik Nor Fatin Izzati Nik Mohd. Noor, 15.

Kejadian pukul 3.45 petang itu berlaku selepas mereka terjatuh ke dalam sebuah lubang pasir jerlus ketika mereka dan tiga lagi remaja sedang leka mandi dan mengharungi air.
Tiga lagi remaja yang juga sepupu Nik Nor Fatin Izzati berusia 12 hingga 15 tahun yang turut lemas bagaimanapun berjaya diselamatkan pengunjung.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mohd. Kamal Zainal berkata, kedua-dua mangsa dipercayai pergi ke kawasan lagun itu bersama keluarga masing-masing untuk berkelah dan mencari kepah.
Katanya, Nik Nur Hidayah adalah murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Awang berasal dari Kampung Gong Penaga, manakala Nik Nor Fatin Izzati, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gaal dari Kampung Gong Datuk.

"Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala tiga lagi iaitu sepupu mangsa kedua (Nik Nor Fatin Izzati) berjaya diselamatkan.
"Gerakan mencari dan menyelamat dilakukan bersama sepasukan 10 anggota Bomba dan Penyelamat Daerah Pasir Puteh serta Unit Skuba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu.

"Pasukan itu menemui mayat Nik Nur Hidayah di dasar lagun berkenaan pada pukul 5.05 petang manakala mangsa kedua, Nik Nor Fatin Izzati, pukul 5.20 petang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jenazah Nik Nur Hidayah dikebumikan di kampung datuknya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tembila manakala Nik Nor Fatin Izzati pula di Tanah Perkuburan Kampung Gong Datuk lewat malam tadi.
Bapa Nik Nor Fatin Izzati, Nik Mohd. Noor Junuh, 39, berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama ahli keluarga yang lain sedang asyik mencari kepah sebelum dikejutkan dengan jeritan orang ramai.

"Air sungai di kawasan anak saya mandi cetek pada paras pinggang sahaja, ia menyebabkan arwah dan tiga sepupunya, Mohd. Halim Zaid, 12; Norhayati Samsuddin, 14; dan Nabila Azmi, 15, leka mengharungi air sungai sehinggalah tergelincir ke dalam lopak yang dalam," katanya.
Ibu Nik Nur Hidayah, Zaini Mat Hasan, 45, pula berkata, kakak mangsa, Nik Nasuha, 16, telah cuba menyelamatkan adik bongsunya daripada lemas tetapi gagal.

"Malah Nik Nasuha sendiri nyaris lemas sama apabila mangsa berpaut erat pada badannya tetapi sempat diselamatkan oleh sepupunya, Mohd. Zamri Ibrahim, 37, yang menyaksikan kejadian itu," ujarnya.
Zaini yang juga ibu tunggal kepada empat anak berkata, pagi sebelum kejadian itu, dia melihat Nik Nur Hidayah begitu manja dengannya dan sempat duduk di atas pangkuannya.
"Ia memperlihatkan sikap arwah yang ingin dibelai. Tiga hari lalu, sikap dan kelakuan arwah berlainan dan asyik bermanja dengan abang dan kakaknya seolah-olah enggan berpisah dengan mereka," katanya.



.

1 Penyokong CHELSEA:

Ce'gu JAERA on September 5, 2011 at 10:26 AM said...

kegembiraan bertukar kedukaan... sentiasa tabah dengan ujian dan dugaan ini..

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!