Suasana pilu menyelubungi Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini apabila pesawat Charlie C-130 yang membawa jenazah jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd. Nor yang maut akibat terkena tembakan curi di Mogadishu, Somalia pada Jumaat lalu tiba kira-kira pukul 10.05 pagi semalam.
Pesawat yang sama turut membawa pulang seramai 16 pengamal media lain yang turut disertai 14 pasukan khas daripada sukarelawan Kelab Putera 1Malaysia, doktor (19) dan krew TUDM (26) yang diketuai oleh Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.
Sejurus tiba, jenazah Allahyarham yang diiringi Abdul Azeez disambut anggota keluarga termasuk ayah Allahyarham, Mohd. Nor Mat Yassin, 66, dan ibunya, Naemah Abd. Majid, 63.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor turut menyambut ketibaan jenazah.
Ketawa bertukar sepi
“Masa dalam perjalanan ke Mogadishu tempoh hari, suasananya penuh meriah dan riuh dengan gelak ketawa, tetapi perjalanan pulang semalam bersama jenazah Allahyarham keadaannya sungguh sepi dan suram dengan raut sedih jelas pada wajah setiap sukarelawan dan petugas media,” kata wartawan Berita Harian, Nor Azizah Mokhtar yang turut menyertai misi kemanusiaan di Somalia.
Menceritakan pengalaman 21 jam dalam pesawat Hercules C130 ketika dalam perjalanan ke tanah air, Nor Azizah berkata, ada antara mereka menitiskan air mata mengenangkan apa yang berlaku dan di mana salahnya sehingga terpaksa membawa pulang Noramfaizul dalam keranda.
“Apa yang berlaku memang di luar jangkaan, seminggu lalu kami ke Somalia dengan ceria. Malah, arwah antara yang paling bersemangat serta tidak putus-putus berjenaka hingga membuatkan perjalanan jauh itu tidak membosankan.
“Namun, suasana itu cuma tinggal kenangan apabila hari ini (semalam) hanya jasadnya dibawa pulang. Tiada lagi wajah ceria atau gelak tawa arwah sepanjang 21 jam perjalanan pulang ke tanah air,” katanya.
Nor Azizah berkata, semua peserta misi kemanusiaan itu menempuh detik paling menakutkan sepanjang 15 jam selepas serangan yang mengorbankan arwah dan hanya menghela nafas lega sebaik pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berlepas dari Lapangan Terbang Mogadishu.
“Alhamdulillah kami semua selamat tiba... tiada yang lebih menggembirakan selain berjumpa ahli keluarga dan rakan yang menunggu kepulangan kami, namun masih bersedih mengenangkan kematian arwah,” katanya.
Jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan, yang cedera di lengan dalam serangan kira-kira jam 5.15 petang (waktu Somalia) Jumaat lalu, berkata arwah Noramfaizul duduk bersebelahannya sepanjang perjalanan ketika memulakan misi pada 28 Ogos lalu.
“Ketika penerbangan ke Mogadishu, arwah memberitahu walaupun sudah banyak mengikuti misi kemanusiaan anjuran Kelab Putera 1Malaysia, namun beliau memasang impian suatu hari nanti berpeluang membuat liputan di Baitulmaqdis. Namun, impian itu tidak menjadi kenyataan,” katanya.
P/S - Sedih dengan kisah ni, semoga keluarganya tabah diatas kehilangan itu.. Al-fatihah..
.
3 Penyokong CHELSEA:
al-fatihah utk arwah wira negara kite..
alfatihah buat arwah..
Al-Fatihah buat arwah.. semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman
Post a Comment