Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itu situasi yang dihadapi seorang tukang cat kenderaan, Shahrul Nizam Abd. Rahman, 31, yang tabah menjaga empat adiknya termasuk berstatus orang kurang upaya.
Adiknya, Saiful Izaham, 30, terlantar sejak dilahirkan manakala Safuan, 22, dan Sofian, 20, terlantar sejak bulan lalu setelah terbabit dalam kemalangan jalan raya.
Mohd. Aliff, 15, pula baru menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Siong di sini.
Walaupun hidup dalam keadaan serba kekurangan, Shahrul Nizam berkata, sebagai abang sulung, dia bertanggungjawab menjaga adikadiknya itu selepas kematian ibu bapa mereka.
Katanya, itu merupakan wasiat arwah ibunya, Sharifah Mohd. Khozali yang menghembuskan nafas terakhir pada April lalu.
"Saya terpaksa bekerja kuat untuk menjaga adik yang terlantar kerana semua urusan harian terpaksa diuruskan sendiri," katanya yang sudah berkahwin dengan Zuraida Mohammad, 26, dan dikurniakan tiga cahaya mata, Norhusna, 8, Alisya, 2, dan Nur Ain, tiga bulan.
Ketika ditemui di rumahnya di Kampung Siput Mukim Siong di sini baru-baru ini, Shahrul Nizam berkata, pendapatannya mengecat kereta adalah tidak menentu dan ia bergantung kepada pelanggan yang datang ke rumahnya untuk mendapatkan perkhidmatan itu.
"Dengan pendapatan itulah saya membeli makanan untuk keluarga, wang persekolahan dan ubat untuk Saiful Izaham. Memang tidak dinafikan, kadang-kadang saya terpaksa mengikat perut demi adik-adik yang memerlukan perhatian," katanya.
Dia memberitahu, Sofian terlantar di atas katil setelah terbabit dalam kemalangan bulan lalu di Jalan Bongor di sini, yang menyebabkan tangan dan dagunya patah.
Tambahnya, dia turut bingung memikirkan cara mencari sumber kewangan untuk membiayai rawatan lanjut Sofian yang memerlukan kos tinggi.
Sementara itu, Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Bahagian Baling, Norazman Ramli berkata, pihaknya menghulurkan sedikit bantuan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh Shahrul Nizam.
"Kita turut menghantar barang makanan dan tilam bagi membolehkan adiknya berasa selesa," katanya.
Menurut beliau, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memperuntukkan bantuan RM300 sebulan kepada Saiful Izaham bagi menyediakan lampin pakai buang dan juga ubat-ubatan.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban keluarga itu boleh menyalurkan bantuan melalui akaun Bank Islam Cawangan Baling (BIMB) atas nama Shahrul Nizam Abd. Rahman di nombor 02-048-02- 033562-1.
.
1 Penyokong CHELSEA:
kita diuji oleh Allah dengan macam-macam ujian... bersabarlah
Post a Comment