TIADA perkara yang lebih meruntun jiwa seorang ibu tatkala mengiringi darah daging sendiri menuju ke ruangan bilik bedah di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada 14 September lalu.
Berat sungguh hati untuk meninggalkan anak yang baru berusia 78 hari itu, untuk menjalani pembedahan tersebut.
Terus-terang, dia tak sanggup melihat kesakitan Aida Eirdeena yang disahkan mengalami truncus arteriosus, penyakit jantung kongenital melibatkan saluran darah utama dari jantung bercantum.
Doktor yang terlibat juga mengesahkan tentang kehadiran lubang pada dinding di antara dua pengepam jantung anaknya itu.
Situasi yang mengkehendaki puteri sulungnya membuat pembedahan awal tatkala tekanan darah pada paru-paru masih stabil. Andai lewat dilakukan, tekanan pada paru-paru akan meningkat dan menambah risiko pembedahan akan datang.
“Saya dan suami tak masuk ke bilik bedah. Tak sanggup nak tengok kesakitan Eirdeena terutamanya ketika Eirdeena dibius sebelum pembedahan bermula,” singkap juara rancangan realiti Gadis Melayu pertama terbitan TV9 ini, Aida tentang pengalaman membabitkan anaknya.
Permata sulung Aida itu dilahirkan pada 29 Jun 2011 dengan berat 2.2 kilogram menerusi pembedahan di sebuah pusat perubatan di Shah Alam, Selangor.
Eirdeena disahkan mempunyai penyakit truncus arteriosus sewaktu membuat rawatan susulan di IJN pada minggu ketiga selepas dilahirkan.
Mengulas lanjut tentang situasi tersebut, Aida memberitahu dia sudah mengikat janji dengan suami, Mohd. Saiful Nizam Ismail, 30, yang juga penyampai berita TV3 untuk tidak menitiskan air mata atas situasi yang melanda anak mereka.
Lantaran itu, sepanjang tempoh pembedahan kira-kira lima jam tersebut mereka lebih banyak melayan perasaan masing-masing sewaktu berada di bilik khas.
“Kami tidak bercakap apa-apa. Saya solat, baca surah Yasin dan banyak berdoa agar tidak ada perkara buruk yang melanda Eirdeena. Saya juga minta supaya dikuatkan hati saya untuk berdepan dengan apa juga masalah selepas pembedahan itu,” ujarnya.
Berkongsi perasaan pemilik nama Khairul Noormaidah Zali, 26, ini, dia memberitahu bahawa tempoh debaran menunggu anaknya keluar dari bilik bedah tidak sama sewaktu melahirkan Eirdeena. Macam-macam persoalan bermain dalam mindanya.
Bagaimanapun, fasa kerisauan bertukar ceria apabila Pakar Klinikal Kardiologi Pediatrik, Dr. Marhisham Che Mood dan Dr. S.Sivakumar (Pakar Perunding Bedah Kardiotorasik) mengkhabarkan tentang perkembangan positif Eirdeena.
Sudah pasti kegembiraan dan kesyukuran dipanjatkan kepada Ilahi. Eirdeena kemudiannya dibenarkan pulang selepas mendapat penjagaan rapi di IJN selama 13 hari.
“Sekarang ini Eirdeena dikuarantin selama enam minggu kerana bimbang jangkitan kuman. Dia juga perlu makan 10 jenis ubat setiap hari. Disebabkan dia belum putus susu badan, saya ambil keputusan untuk bercuti tanpa gaji.
“Tak mengapalah, saya reda dengan dugaan Tuhan. Buat saya lebih kuat dan mungkin sebagai petanda bahawa saya perlu dekat dengan-Nya. Eirdeena yang bermaksud ‘kebanggaan dan kehormatan kami’ ini adalah amanah yang akan terus dijaga sehingga akhir hayat,” katanya yang turut mengucapkan terima kasih kepada pihak terlibat dalam pembedahan anaknya di IJN.
.
1 Penyokong CHELSEA:
sila tabah..moga semuanya akan baek2 sahaja.
Post a Comment