Sepasang suami isteri dari Kampung Paya Luas dekat sini tabah mengharungi kehidupan untuk menjaga lapan daripada 13 anaknya, termasuk dua cucu yang merupakan orang kurang upaya (OKU).
Khatijah Mohamed, 60, berkata, pada mulanya dia merasakan bahawa dugaan terhadap diri dan suaminya, Mohamad Yusuf Awang, 62, itu sangat berat untuk ditanggung, namun menyedari bahawa itu adalah takdir dan dugaan yang perlu ditempuhinya.
Menurutnya, dia tidak pernah merasa kekurangan walaupun mempunyai lapan anak dan dua cucu OKU, sebaliknya memberi kasih sayang secukupnya kepada mereka.
"Anak adalah anugerah Allah kepada setiap ibu bapa. Saya diuji dengan diberikan anak-anak OKU, namun itu tidak pernah mematahkan semangat untuk terus menjaga mereka.
"Saya bersama suami sentiasa bersyukur dengan anugerah dan dugaan yang diberikan ini. Memang ia agak sukar, tetapi apabila memikirkan ia dugaan Allah, hati kami tenang dan reda," katanya ketika ditemui pemberita di sini, baru-baru ini.
Khatijah berkata, sebelum ini dia dan suaminya bekerja sebagai penoreh getah, namun terpaksa berhenti kerana faktor usia.
Tambahnya, ketika ini mereka menjual sayur-sayuran kampung di pekan sehari dan pasar malam Kuala Krau bagi menyara kehidupan sekeluarga.
"Alhamdulillah, rezeki Allah ada di mana-mana dan kita perlu berusaha mencarinya. Walaupun berniaga dua kali seminggu, ia cukup menyara kami sekeluarga," katanya.
Beliau berharap anak bongsunya yang kini sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia supaya dapat belajar bersungguh-sungguh dalam membela nasib mereka sekeluarga.
Penderitaan keluarga tersebut sentiasa mendapat perhatian Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jenderak, Datuk Mohamed Jaafar dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam menghulurkan bantuan kepada mereka.
Baca yang ini ~..
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment