Monday, November 14, 2011

Nyaris diculik

Tindakan nekad seorang bapa 'memburu' sendiri seorang lelaki warga asing yang cuba menculik anak perempuannya membuahkan hasil apabila suspek berjaya ditahan polis di Taman Melati Utama, Wangsa Maju di sini malam tadi.

Saifuddin Abu Samah bertindak nekad menjejaki lelaki warga Kemboja yang sebelum itu cuba melarikan anak perempuannya berusia enam tahun sehingga berjaya ditangkap.

Ketika kejadian kira-kira pukul 8.30 malam, Saifuddin, 37, bersama isteri dan empat anak perempuannya sedang berjalan ke kereta selepas makan malam di sebuah restoran di sini.
Difahamkan, suspek berusia 33 tahun cuba melarikan anaknya, Nur Fariha, 6, ketika isteri serta anak ketiganya itu tertinggal kira-kira 50 meter di belakang.

Menceritakan kejadian itu, Saifuddin berkata, lelaki itu segera melarikan diri sebaik sahaja disergah isterinya, Rohani Abdul Rauf, 37, tanpa sempat membawa kanak-kanak itu.
Dia yang sempat menghantar anak dan isterinya pulang ke rumah mereka di Taman Bunga Raya, Wangsa Maju mengambil keputusan untuk mencari suspek sehingga berjaya ditangkap.

"Setelah keluar semula dan puas mencari, saya terserempak lelaki itu di sebuah stesen minyak di sekitar Taman Melati ketika dia melintas Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2).
"Ketika menjejaki suspek, saya sudah menghubungi Cif Inspektor Mispani Hamdan, Ketua Balai Wangsa Maju yang kemudian datang untuk memberkas suspek," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Kata pengurus projek syarikat komunikasi itu, dia bertindak demikian kerana tidak ingin kejadian culik kanak-kanak seperti kes Allahyarham Nurin Jazlin Jazmin sekali lagi terjadi di Wangsa Maju.
"Saya nekad mengikuti suspek walaupun tidak tahu sejauh mana dia bersalah. Sekurang-kurangnya tindakan ini membantu pihak berkuasa," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan mengesahkan kejadian itu namun siasatan masih dijalankan untuk menentukan kes tersebut berkait dengan kejadian culik atau tidak.
"Cubaan culik itu berjaya dihalang dengan jeritan ibu mangsa dan tindakan bapanya mengekori suspek berjaya membantu polis memberkas warga Kemboja yang bekerja sebagai buruh binaan.
"Setakat ini kita masih menyiasat apa motif sebenar suspek dan akan melihat kemungkinan ia culik atau tidak," ujarnya.









.

5 Penyokong CHELSEA:

oshin-jamel on November 14, 2011 at 9:50 AM said...

syukur alhamdulillah selamat....xdpt nk bayangkan klu jadi kes culik yg makin menjadi2 nie....sdey!

Hani Rahman on November 14, 2011 at 10:37 AM said...

Isshh ... takut nyer ... Dekat sangat dah tu ...

JunAina on November 14, 2011 at 10:52 AM said...

agaknya kalau mak dia tak perasan apa akan jadi...syukur sesangat sebab tak sempat bawak lari...

RamRamCute on November 14, 2011 at 11:29 AM said...

Alhamdulillah..nasib baik sempat perasan dan menjerit...ish..semakin takut nak bawa anak-anak kecil berjalan-jalan. Keadaan diluar semakin tak selamat.

Farah Deeb on November 15, 2011 at 11:34 AM said...

Tapi mamat tu dh dilepaskan balikkan sbb takde bukti. Manela tau dia tu mmg si pembunuh Arwah Nurin, mmg hampaslah!

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!