Wednesday, May 25, 2011

Lulu Caldina tutup blog Lulu-Pages..


Salam, hai semua rakyat jelata,, err, pembaca setia semua...
Hari ni mendung, kejap lagi hujan nak turun... haish...best, sejuk...
Tapi tak sampai didalam hati ni, yang resah gelisah...
Entah bagaimana harus ku ubati hati yang lara....
Kenapa? kenapa...


10 jun ni genaplah usia Lulu-Pages setahun...
Dah banyak yang lulu tempuh sepanjang bergelar blogger..
Benarlah, untuk mencapai sesuatu itu bukannya mudah..
Bila lulu kecewa, ada saja yang kembali mengubat kekecewaan itu..
Setiap kali, memang itu yang terjadi..


Oh, betapa indahnya bergelar blogger...
Menulis, mencurah kata melalui keyboard yang tidak jemu diketuk setiap hari..
Kerana dengan adanya pembaca dan komen setia dari korang, lulu rasa sangat dihargai...
Baiknya korang, hanya Allah saja yang mampu membalasnya..
Terima kasih.. Terima kasih...


Namun, bila kita sangka panas mentari hingga ke petang, rupa-rupanya semuanya dusta..
Sekadar menyedapkan hati...
Selalunya, kenyataan tidak seindah apa yang dimimpi, diharapkan..
Memang semua orang nampak Lulu-Pages berkembang sedikit demi sedikit setiap hari..
Hari berganti minggu...berganti bulan... Dan tinggal beberapa hari saja lagi akan melangkah ke tahun..
Namun, yang jelas, untuk sampai ke tahap ini, lulu sudah korbankan banyak perkara...
Selalunya perkara yang lebih penting dalam hidup...
Untuk menjadi blogger yang 'hebat' memang perlukan pengorbanan yang besar...


Kadang tu lulu letih...
Sampai tertidur depan laptop..
Malahan, bila tiada 'bahan' buat entri, lulu belek laptop berjam-jam setiap hari demi mencari sesuatu yang boleh dikongsikan dengan orang lain... Owh, syukurlah, semoga dengan usaha itu lulu akan dapat pahala darinya..


Rasanya sayang untuk menutup blog Lulu-Pages ni...
Dah ramai yang setia, walaupun follower bukan mencecah ribu-ribuan...
Terima kasih semua...
sedih....


Haih, kuatkan semangat... :(
Seandainya selama lulu berblog ini, ada kesilapan yang lulu tak sengaja...
ada yang terluka dengan gurauan lulu...
Maafkan lulu.... maafkan saya....
semoga kita berjumpa lagi....
doakan yang terbaik buat lulu...
salam......




.

Kecam penganjur


Roger Federer mara ke pusingan kedua Terbuka Perancis kelmarin dan kemudian mengecam keputusan penganjur Roland Garros memperkenalkan bola baru pada kejohanan itu.
Sepanjang musim gelanggang tanah liat Eropah, bola Dunlop digunakan namun acara Grand Slam kedua tahun ini sebaliknya memilih Babolat, yang secara umum lebih laju, sebagai sebahagian daripada perjanjian baru dengan syarikat pengeluar.

“Saya dengar banyak yang diperkatakan mengenai bola ini. Ia tidak sama dengan apa yang kami gunakan bulan lalu,” kata Federer.

“Bagi kami ia amat mengecewakan apabila semua kejohanan itu menukar kepada bola Roland Garros selepas tahun lalu, (tetapi) Roland Garros menukar bola mereka sekali lagi.

“Kini kami berdepan perjanjian berbeza bagi setiap acara Jelajah ATP. Ini mengecewakan kerana kami perlu sesuaikan diri sebelum Terbuka Perancis.” Pemain Britain, Andy Mur- ray tidak kisah mengenai jenis bola yang digunakan asalkan ia pilihan yang konsisten di semua empat kejohanan Grand Slam.

“Di Terbuka AS mereka menggunakan Wilson dan kemudian dalam acara gelanggang permukaan keras sebelumnya mereka menggunakan Penn. Saya fikir lebih baik mereka menggunakan jenis bola yang sama,” kata Murray.

“Bola ini mungkin membantu saya kerana ia agak pantas. Tapi saya lebih suka kami bermain dengan bola yang sama sepanjang setiap bahagian musim. Ketika musim gelanggang rumput, saya lebih suka semua kejohanan menggunakan Slazenger.” Bola baru itu juga mencetus kebimbangan di kalangan pemain wanita pada Terbuka Perancis.

“Ramai pemain wanita hadir dengan masalah bahu. Mereka berkata bola itu terlalu sukar,” kata Bethanie Mattek-Sands, pemain utama AS di Paris.

Novak Djokovic, pemain nombor dua dunia dan seorang daripada pemain pilihan untuk merampas mahkota kejuaraan Terbuka Perancis daripada Rafael Nadal, percaya pemain dengan servis yang kuat boleh mendapat manfaat daripada pe- rubahan itu.

“Bola ini amat pantas dan amat sukar untuk dikawal. Mungkin ia menyebelahi pemain dengan servis dan pukulan yang kuat,” kata pemain Serbia itu.

Federer bagaimanapun tidak berdepan masalah sama ada dengan bola Babolat atau lawannya pada pusingan pertama, Feliciano Lopez kelmarin apabila dia mencatat kemenangan 6-3, 6-4, 7-6 (7/3), kemenangan kesembilannya daripada sembilan perlawanan ke atas pemain tangan kidal dari Sepanyol itu.

Pemain nombor tiga dunia itu tampil dengan kedudukan pilihan paling rendah dalam tempoh lapan tahun pada acara Grand Slam, beraksi buat kali ke-46 berturut-turut dalam kejohanan Grand Slam.

Federer akan berdepan pemain wild card dari Perancis, Maxime Teixeira untuk merebut tempat ke pusingan ketiga.




.

Mayat pemancing ditemui selepas 40 jam hilang


Kehilangan seorang lelaki dalam tempoh 40 jam selepas keluar memancing bersama seorang rakan terjawab apabila mayatnya ditemui lemas oleh pasukan mencari dan menyelamat di sini awal pagi ini.
Mayat Ibrahim Sulaiman, 43, ditemui pukul 1.30 pagi oleh pasukan tersebut yang menjalankan operasi bersama penduduk tempatan di Sungai Sedili Besar di sini, kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Muhammad Shamsuddin berkata, laporan kehilangan mangsa dibuat pagi kelmarin setelah mangsa tidak pulang selepas keluar memancing bersama seorang rakan dikenali sebagai Sudirman dengan menyewa sebuah bot gentian kaca.

"Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa mengemudikan bot itu dalam keadaan cuaca buruk untuk mudik ke hulu sungai selepas botnya tersangkut pada kayu.
"Ketika dia dan rakannya hendak mengangkat enjin di tengah-tengah sungai, bot itu terbalik dan menggelongsor tenggelam," katanya ketika dihubungi di sini.

Muhammad berkata, dua warga Indonesia yang secara kebetulan memancing tidak jauh dari situ terjun ke dalam sungai dan sempat menyelamatkan Sudirman namun mangsa dihanyutkan arus deras.
Berikutan kejadian itu, pasukan penyelam dari Jabatan Bomba dan Penyelamat melancarkan operasi mencari sebelum menemui mayat mangsa kira-kira pukul 1.30 pagi.

Isteri mangsa, Rosnah Davi berkata, kali terakhir dia bertemu Allahyarham adalah ketika mangsa keluar memancing seawal pukul 6.30 pagi pada hari kejadian.
"Saya pelik kerana dia sempat cakap 'pergi dulu' sebelum keluar rumah dan tidak sangka pula perkataan itu membawa maksud dia akan pergi buat selama-lamanya," katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Kota Tinggi di sini.

Ibrahim meninggalkan empat orang anak berusia antara 8 hingga 14 tahun.



.

Pemuda maut, kereta dirempuh lori



Seorang pemuda maut setelah kereta dipandunya tiba-tiba dirempuh dari belakang oleh sebuah lori yang kerosakan brek sebelum diseret sejauh kira-kira 150 meter di Jalan Kewajipan, di Lebuh Raya Persekutuan, di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu berlaku ketika kereta mangsa, Sabaruddin Junus, 34, jenis Proton Saga sedang bergerak perlahan menghala ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS).
Lori yang dipandu laju, kemudian merempuh belakang kereta mangsa sebelum diseret hingga ke tepi jalan.
Berikutan rempuhan kuat itu, Sabaruddin yang berasal dari Sabah meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di seluruh anggota badan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berkata, kemalangan itu turut melibatkan tiga kenderaan lain di hadapan kereta mangsa.
Katanya, pemandu kesemua kenderaan itu dan lori terbabit berusia 20-an hanya mengalami kecederaan ringan.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.




.

Tertembak kaki sendiri


Seorang anggota polis Pasukan Gerakan Am (PGA) melalui detik-detik mencemaskan apabila tertembak kakinya sendiri sewaktu bertugas mengadakan rondaan di sekitar bandar ini hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 8 pagi ketika Lans Koperal Azwan Anas, 33, sedang membetulkan kedudukan pistolnya sejurus memasuki kereta peronda yang dipandunya bersama seorang rakan setugas.
Insiden itu berlaku di tengah-tengah kesesakan lalu lintas apabila satu das tembakan menembusi buku lali kaki kanan Azwan menyebabkan anggota polis itu mengalami pendarahan teruk.

Azwan ketika ditemui di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini memberitahu, kejadian berlaku ketika dia baharu selesai memeriksa kereta peronda tersebut yang mengalami kerosakan sebelum itu.
"Selepas memeriksa kereta, saya masuk semula dan cuba membetulkan semula kedudukan pistol tetapi secara tidak sengaja melepaskan satu das tembakan.
"Ketika itu, saya hanya dapat rasa kaki saya berasa kebas dan kasut penuh dengan darah," katanya yang sudah 11 tahun bertugas sebagai anggota PGA.

Menurut Azwan, dia bernasib baik apabila doktor mengesahkan tiada kerosakan teruk pada tulang buku lalinya selain berlaku keretakan kecil yang akan dirawat melalui satu pembedahan dalam masa terdekat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Azman Abd. Lah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
"Buat masa ini, kita percaya ini merupakan satu kemalangan tetapi satu siasatan akan dijalankan untuk mengetahui punca sebenar kejadian," katanya.




.

Saya amat mencintaimu...


Adik kepada pengarah dan pelakon Syamsul Yusof, Syafiq,18, (gambar) bakal mengarah filem cereka pertamanya berjudul Saya Amat Mencintaimu (SAM).
 
Filem tersebut dilakonkan oleh Syamsul, Lisa Surihani, Shaheizy Sam, Azad Jasmin dan Neelofa.
Menurut bapanya yang juga penerbit Skop Production, Datuk Yusof Haslam, 57, Syafiq merupakan pelajar Universiti Metropolitan Kuala Lumpur (KLMU) dan pernah menghasilkan filem pendek dan mendalami teknik imej janaan berkomputer (CGI).

“Saya gemarkan elemen cinta dalam sebuah cerita tetapi Syamsul selalu menolak genre percintaan dan romantik sebaliknya lebih selesa dengan genre aksi.
“Jadi, saya memberi peluang kepada Syafiq untuk mengarah filem pertama bercorak romantik komedi iaitu SAM yang akan menjalani penggambaran tidak lama lagi,” katanya,
Sebelum ini, Syafiq juga pernah diberi peluang mengarah drama Gerak Khas yang disiarkan di RTM.

Selain itu, Yusof yang telah bergelar penerbit filem sejak 20 tahun lalu juga bakal menerbitkan filem terbaru arahan Syamsul iaitu Aku Bukan Tomboi dan Jalan Kembali… Bohsia.
Riak wajahnya juga menunjukkan dia berbangga dan rasa bertuah kerana mempunyai anak seperti Syamsul dan Syafiq yang kini mengikut jejaknya untuk aktif dalam bidang perfileman.




.

Mayat kanak-kanak bertindih


"Menitis air mata apabila melihat mayat anak-anak ini bertindih antara satu sama lain," kata anggota bomba Khairul Rizal Hassan.

Beliau yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah, Kuala Lumpur, berkata apa yang dilihat itu akan menjadi kenangan yang tidak boleh dilupakan sepanjang hidupnya.

"Saya menyertai operasi menyelamat bermula pada hari kejadian lagi, melihat mayat kanak-kanak ini membuatkan hati saya pilu.

"Apatah lagi ada mangsa yang cedera teruk akibat dihempap batu sehingga terpaksa dipotong kakinya," katanya ketika ditemui di lokasi tanah runtuh di FELCRA Semungkis, Hulu Langat di sini, hari ini.

Beliau berkata, kejadian tanah runtuh ini adalah tragedi yang paling teruk dan menyayat hati sepanjang tahun ini.

"Jika sebelum ini operasi menyelamat yang saya sertai membabitkan mangsa golongan dewasa, tetapi melihat nasib kanak-kanak ini dan bilangan korban yang besar...ia satu perkara yang tidak dapat dilupakan.

"Walaupun sedih ketika itu tetapi sebagai anggota penyelamat kita perlu bersikap profesional dan perlu menjalankan tugas sehingga selesai," katanya yang bertugas sebagai anggota bomba selama 16 tahun.
Bagi Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Lumpur, Dr Che Hassandi Abdullah, perasaan sedih mengenai tragedi itu menyelubungi jiwanya sehingga hari ini.

"Walaupun tugas menyelamat dipikul oleh anggota bomba, tetapi pasukan kami turut bekerjasama dengan mereka sejak hari pertama kejadian lagi.

"Sedih sangat apabila melihat kanak-kanak menjadi korban di depan mata kita sendiri dan kejadian itu tidak akan dapat saya lupakan sampai bila-bila," katanya.

Sementara itu, pelakon, Tengku Sarina Tengku Muzani atau lebih dikenali sebagai Kuna, berkata tragedi yang menimpa anak-anak yatim itu membuka hatinya untuk datang dan melihat sendiri keadaan lokasi kejadian yang meragut 16 nyawa.

"Saya datang ke sini bersama rakan-rakan, saya bersimpati dengan keadaan mereka dan dengan itu saya juga datang untuk melawat anak-anak yang terselamat serta memberi sedikit sumbangan peribadi kepada mereka," katanya yang turut berkunjung ke Lembah Azwen Resort yang menjadi tempat perlindungan sementara bagi 24 kanak-kanak yang terselamat.




.

Lelaki mati tergantung dalam lokap

Seorang lelaki yang ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes pencerobohan kediaman, ditemui mati dalam lokap Balai Polis Simpang Renggam di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Mohd Fawzi Arshad, berkata Nasrul Redzuan Mohamad, 25, ditemui mati tergantung kira-kira 10.20 pagi oleh anggota polis yang bertugas ketika mahu memindahkan lelaki terbabit ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang.

"Nasrul Redzuan ditahan polis selepas dipercayai menceroboh kediaman seorang penduduk di kawasan Simpang Renggam dan menyerang sehingga mengakibatkan kecederaan pada mangsa pada kira-kira 6.30 pagi tadi.

"Dia kemudian dibawa ke Balai Polis Simpang Renggam sebelum ditempatkan sementara di lokap tahanan bagi proses laporan. Bagaimanapun, ketika anggota bertugas ingin memindahkannya ke IPD Kluang, anggota berkenaan menemui dia mati tergantung di dalam lokap tersebut," katanya kepada pemberita.

Mohd Fawzi berkata, pemeriksaan lanjut mendapati Nasrul Redzuan yang berasal dari FELDA Bukit Rokan Utara, Gemencheh, Negeri Sembilan, menggantung dirinya menggunakan seutas tali.

Beliau berkata, mayat lelaki itu kemudian dihantar ke Hospital Kluang untuk bedah siasat.




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!