Monday, October 10, 2011

Tiger Woods dilontar hotdog


Seorang peminat yang melontar hot dog ke arah Tiger Woods pada pusingan terakhir Terbuka Frys.com Open ditahan polis.

Ketika Woods bersedia untuk melakukan putt untuk birdie dari jarak 19 kaki di lubang ketujuh, lelaki terbabit lari ke hujung green di CordeValle Golf Club lalu menjerit “Tiger, Tiger” sebelum melontar hot dog itu.

Beliau segera ditahan pengawal keselamatan dan dibawa keluar dari padang golf itu.







.

"Halo Bulan' atau Moon Halo


Fenomena "Moon Halo" atau Halo Bulan yang berlaku kira-kira jam 10 hingga lewat malam tadi di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, bukanlah sesuatu yang luar biasa tetapi sering berlaku apabila bulan melalui fenomena tertentu.

Penolong Pegawai Sains Observatori Negara Langkawi, Karzaman Ahmad, berkata fenomena bulan yang kelihatan seolah-olah dikelilingi cincin itu berlaku disebabkan pembiasan cahaya bulan yang melalui kristal ais (ketulan ais) pada awan jenis sirus yang terletak kira-kira lima hingga 10 kilometer dari permukaan bumi.

"Cahaya bulan itu akan dibias dan dipantulkan oleh kristal ais maka cincin yang kelihatan di sekiling bulan itu adalah cahaya bulan yang terserak.
"Cincin tersebut sepatutnya berwarna pelangi namun disebabkan bulan tidak mempunyai cahayanya sendiri (bulan hanya memantulkan cahaya dari matahari) maka kesan warna itu amat terhad dan tidak kelihatan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, fenomena itu juga berlaku bergantung kepada ketulan awan sirus yang berada di atmosfera selain terhasil dalam sudut dan bentuk yang berbeza dalam kristal ais.

"Moon Halo yang terhasil bergantung kepada bentuk kristal ais...ada yang berbentuk heksagon namun malam tadi ia terhasil pada bentuk cincin, sudut 22 darjah," katanya.

Karzaman berkata, fenomena yang berlaku kira-kira lima atau enam bulan sekali itu turut berlaku pada matahari dan dikenali sebagai "Sun Halo".
Beliau turut menolak dakwaan sesetengah individu yang mendakwa bahawa kejadian tersebut memberi petanda sesuatu kejadian buruk akan berlaku kepada bumi.

Lewat malam tadi, ramai di kalangan pengguna laman sosial Facebook dan Twitter yang memuat naik gambar serta membincangkan tentang fenomena itu, yang dikatakan aneh serta menimbulkan pelbagai reaksi.







.

Alin kembali


SETELAH setahun menyepi diri dari dunia pengacara, Datin Nor Azlina Redzuan kini kembali menghias kaca televisyen (TV) menerusi rancangan terbaru terbitan TV3, Intai Intai Deko.
Tanpa berselindung, wanita kelahiran Perlis ini memberitahu, dia teruja apabila diberi peluang untuk kembali beraksi di hadapan kamera dan menyampaikan informasi kepada masyarakat.
Cerita Azlina, jiwa dan minatnya terhadap dunia penyiaran masih tebal biarpun telah meninggalkan karier sebagai personaliti TV sejak setahun lalu.

"Saya berhenti untuk memberikan tumpuan kepada keluarga. Apabila sudah duduk di rumah rasa janggal pula kerana tiada kerja yang boleh dibuat.
"Lalu setelah berbincang dan mendapat izin suami saya membuat keputusan untuk kembali mewarnai dunia penyiaran," kata isteri kepada Datuk Yusof Annuar Yaacob itu ketika ditemui pada pelancaran rancangan Intai Intai Deko di TV3, baru-baru ini.

Tambahnya, biarpun pernah mengacara beberapa rancangan seperti Majalah Tiga dan Nona, hatinya tetap disapa kerisauan untuk muncul semula.
"Kali terakhir saya menjadi pengacara adalah enam tahun lalu. Jadi untuk kembali mengacara timbul rasa kurang keyakinan dalam diri saya.
"Terlintas juga di fikiran ini apakah kemunculan semula saya masih mampu menarik minat penonton seperti dahulu ataupun sebaliknya," katanya lembut.

Menyambung bicara, wanita yang lebih mesra di sapa Alin ini memberitahu, salah satu sebab dia kembali ke dunia penyiaran kerana minatnya terhadap bidang kewartawanan yang tidak pernah luntur dari jiwanya.
"Saya begitu teruja apabila diberi peluang untuk kembali melakukan tugas sebagai pengacara TV apatah lagi minat saya ini disokong oleh suami tercinta.

"Malah suami juga lebih suka saya bekerja daripada duduk di rumah," jelasnya.
Selain itu, dalam pertemuan berkenaan, Alin turut menolak pandangan skeptikal masyarakat yang sering mengandaikan kemunculan semula selebriti ke persada seni setelah berkahwin berpunca daripada masalah rumah tangga.

"Tidak timbul soal itu kerana ini adalah kerjaya yang saya minati. Bagi saya tiada salahnya seorang wanita yang berkahwin meneruskan kerjayanya asalkan pandai membahagikan masa antara kerjaya dan alam rumah tangga.
"Tetapi apa yang penting mendapat keizinan daripada suami terlebih dahulu.
"Seperti saya, suami sangat memberi sokongan malah dengan kembali meneruskan kerjaya sedikit sebanyak ada juga perkara yang boleh kami bualkan atau bertukar-tukar pandangan berkaitan dengan bidang masing-masing," katanya.

Menyentuh mengenai rancangan terbaru yang dihoskan itu, Alin menambah, Intai Intai Deko adalah sebuah rancangan berkonsepkan gaya hidup yang bertujuan memberikan ilham dan inspirasi kepada para penonton untuk menghias rumah mereka.
"Apa yang menarik program ini menampilkan slot istimewa mendedahkan isi kediaman beberapa selebriti tanah air.

"Sebenarnya melalui rancangan ini, tuan rumah itu sebenarnya menjadi keutamaan yang ingin ditonjolkan," katanya menerangkan serba ringkas berkenaan dengan rancangan 13 episod itu.
Intai Intai Deko telah mula bersiaran pada 15 September lalu, setiap Khamis menerusi slot Senda Pagi, pukul 11.30 pagi di TV3.







.

Sakitnya putus cinta.......


BERITA mengejutkan muncul dari pasangan aktor Bollywood Shahid Kapur dan Bipasha Basu yang mengatakan pasangan ini baru putus cinta beberapa bulan lalu.
Penyebab perpisahan tersebut dikatakan kerana perubahan sikap Shahid yang semakin acuh tidak acuh.
Indiatimes melaporkan, perpisahan tersebut terjadi sekitar dua minggu setelah filem Mausam lakonan Shahid ditayangkan dan sebelum kepulangan Bipasha ke Greece.

Satu sumber lain pula memberitahu bahawa perubahan sikap Shahid terjadi setelah dia bertemu wanita lain.
Beberapa sumber yang merupakan orang terdekat pasangan tersebut seperti sudah menduga perkara ini akan berlaku dengan mendakwa Shahid dan Bipasha seperti kapur dan keju yang tidak mungkin menyatu.
Shahid adalah seorang yang sangat kuat mengongkong, sedangkan Bipasha selalu berfikiran bebas.
"Dia (Bipasha) sangat terkejut dengan semua ini kerana dia tidak pernah menyangka semuanya akan berakhir begitu cepat.

"Shahid telah menjadi teman baiknya dan telah membantunya bangun akibat perpisahannya dengan John Abraham," ungkap salah satu sumber.
Selepas perpisahan tersebut, salah seorang kawan Bipasha mengingatkan dia bahawa walaupun terpaksa merasa kecewa untuk kedua kalinya, namun hidup harus diteruskan.
Dia meminta Bipasha untuk melupakan Shahid dan kembali menjalani kehidupan seperti biasa.







.

Paul McCartney kahwini Nancy Shevell


Bekas ahli kumpulan Beatle, Paul McCartney, 69, melangsungkan perkahwinan dengan tunangnya, Nancy Shevell, 51, di pejabat pendaftaran di London, semalam.

Pasangan yang bercinta sejak empat tahun lalu itu dilihat tiba di dewan perbandaran dalam kereta yang sama diiringi seorang gadis pembawa bunga yang dipercayai anak perempuan bongsu McCartney, Beatrice.


Ia merupakan perkahwinan McCartney yang ketiga selepas isterinya, Linda, meninggal dunia akibat kanser payudara pada tahun 1998 dan selepas perkahwinan keduanya dengan Heather Mills berakhir dengan penceraian sedekad kemudian.






.

Guru tampar pelajar


Seorang pelajar tingkatan lima sebuah sekolah menengah di sini trauma untuk ke sekolah itu selepas mendakwa ditampar sehingga bengkak di pipi kirinya oleh guru sekolah berkenaan hanya kerana membuat bising di surau sekolah.

Mangsa, 17, turut mendakwa guru lelaki tersebut yang dipanggil ustaz kemudiannya menarik kolar baju mangsa di hadapan kira-kira 90 pelajar lelaki yang berada di surau berkenaan.

Akibat kejadian itu, pendengaran di telinga kiri mangsa sedikit terjejas selain rasa kebas beberapa hari di pipinya dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 malam iaitu sejurus selesai solat Maghrib, 7 September lalu.







.

Akibat menentang arus


Tindakan tiga lelaki Orang Asli menunggang dua buah motosikal melawan arus membawa padah apabila kesemua mereka maut selepas bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 2.7, Lebuh Raya Damansara-Puchong di sini awal pagi ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 3.45 pagi ketika kesemua mangsa dalam perjalanan dari Bukit Lanjan menghala ke Damansara Perdana.

Pegawai Turus Trafik Selangor, Deputi Supritendan Azmi Mansur berkata, mereka yang maut ialah dua beradik iaitu Ngah Relup, 30, dan Mazlan Relup, 34, berasal dari Pahang manakala Bah Juli Bah Muning, 29, pula berasal dari Perak.
"Kita percaya motosikal dinaiki tiga lelaki itu berada di lorong paling kanan di laluan bertentangan lebuh raya tersebut untuk pulang ke rumah mereka di Damansara Perdana.

"Kedua-dua motosikal itu kemudian bertembung dengan sebuah kereta jenis Honda City dipandu seorang remaja lelaki mengakibatkan kesemua mangsa tercampak di atas lebuh raya dan maut di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Azmi, pemandu kereta itu tidak mengalami kecederaan.
Katanya, mayat ketiga-tiga mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat.


Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu diminta menghubungi mana-mana balai polis terdekat bagi membantu siasatan.







.

Mati dihari lahir...


“Kak, esok tolong masak bihun. Nak buat makan-makan sambut hari jadi saya.”
Itulah kata-kata terakhir Mohammad Hafiz Mustapa, pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Tok Labu, Penaga sebelum dia dan rakannya, Mohd. Harraz Bukhori, 13, tenggelam dihanyutkan arus deras di muara sungai Kampung Kuala Muda di sini semalam.

Mayat Mohammad Hafiz, 13, ditemui sepasukan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) kira-kira pukul 10.30 pagi ini selepas operasi mencari dan menyelamat yang disertai pasukan polis dan penduduk sekitar dihentikan pukul 11 malam tadi.

Mayat Mohd. Harraz pula ditemui pukul 6.30 petang ini berhampiran sebuah rumah api, kira-kira 700 meter dari tempat mereka mandi.
Bapa kepada Mohammad Hafiz, Mustapa Mohd. Akhir, 58, berkata, anak ke-11 daripada 13 adik beradik itu bersungguh-sungguh meminta kakaknya memasak bihun untuk meraikan hari lahirnya yang disambut hari ini.

“Sebelum ini, tidak pernah dia meminta kakak-kakaknya meraikan hari jadinya. Tapi semalam, dia bersungguh sangat. Tidak sangka, itu permintaan terakhir anak saya,” katanya dalam nada sebak sambil menyifatkan anaknya itu seorang yang baik dan pendiam.
Menurut Mustapa, anaknya itu juga dilihat agak pelik apabila menatap wajah ibunya, Khatijah Ali, 48, beberapa ketika sebelum keluar dari rumah mereka yang terletak berhampiran muara sungai itu untuk mandi bersama rakannya yang lain.

“Dia jarang mandi di sungai itu walaupun jaraknya dekat dengan rumah kami. Kalau dia mandi pun, selalunya saya tidak merasa risau kerana dia tahu berenang,” kata Mustapa.
Dia memberitahu, kira-kira pukul 5.30 petang semalam, anaknya itu mandi di sekitar muara sungai bersama 14 rakannya termasuk Mohd. Harraz.

Mohammad Hafiz dikatakan hanyut dibawa arus dan dipercayai Mohd. Harraz yang berada paling hampir dengannya berenang ke arah rakannya itu untuk membantu.
Bagaimanapun, kedua-dua mereka kemudian tenggelam dihanyutkan arus deras.
Sementara itu, Bukhori Mohd., 48, berkata, beliau reda dengan pemergian anak bongsu daripada empat adik beradik itu.

Menurut Bukhori, anaknya itu merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Muda, Penaga dan merupakan satu-satunya anak lelakinya.
“Dia sangat rapat dengan saya dan ibunya. Namun jika itulah (lemas) takdir Allah terhadapnya, saya reda,” katanya sambil menangis.







.

Maut dibunuh ahli keluarga sendiri


Seorang peniaga nasi lemak ditemui mati dipercayai akibat dipukul ahli keluarganya sendiri di sebuah kuarters Pejabat Haiwan Kecil di Taman Goldenwood, Jalan Besar di Ulu Bernam di sini hari ini.
Gurmeet Kaur Sedara Singh, 41, ditemui mati di atas katil dengan kesan bengkak dan berdarah di muka.
Mangsa dipercayai bergaduh dengan suami serta kakaknya sebelum ditemui mati di kuarters itu yang turut dijadikan pusat rawatan haiwan Jabatan Veterinar Ulu Bernam.
Menurut sumber, sebelum pergaduhan, ketiga-tiga mereka yang tinggal bersama di rumah itu dikatakan dalam keadaan tidak sedar selepas mengambil minuman keras.

"Mangsa dikatakan bertengkar dengan kakaknya dipercayai berpunca daripada tindakan si mati yang tidak menebus semula gelang emas milik kakaknya itu, sebaliknya wang itu digunakan bersama untuk membeli arak.
"Mungkin disebabkan dalam keadaan mabuk, pertengkaran mereka berlanjutan sehingga membawa kepada kematian mangsa yang hanya disedari oleh suaminya pukul 7 pagi ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, anak ketiga mangsa, N. Shareendra, 24, ketika ditemui di tempat kejadian memberitahu, mayat ibunya ditemui bapanya sendiri sebaik sahaja bangun dari tidur pagi ini.

"Bapa memberitahu, dia nampak ibu saya terbaring di atas lantai lalu mengangkat ke bilik tidur tetapi mulutnya dilihat berdarah. Saya dan abang ipar tiba di rumah tidak lama kemudian dan segera memaklumkan kepada polis," katanya yang tinggal di Cameron Highlands dan pulang sejak semalam.
Ditanya tentang pergaduhan itu, Shareendra yang berkerja sebagai pengawal keselamatan mengakui, ketiga-tiga mereka dalam keadaan mabuk setelah mengambil minuman keras petang semalam.

"Saya masih nampak mereka dalam keadaan mabuk dan bertengkar pada pukul 11.30 malam tadi, namun saya tidak menyangka kejadian akan berlaku seburuk itu kerana saya kemudian keluar dari rumah.
"Ibu bapa saya kerap bergaduh selepas mengambil arak dan setiap kali bergaduh, bapa akan memukul ibu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Supritendan Norel Azmi Yahya Affendi berkata, polis telah menahan suami mangsa yang berusia 57 tahun dan merupakan pegawai veterinar serta kakaknya yang berusia 44 tahun tidak lama selepas kejadian.

"Terdapat kesan calar di muka suspek wanita dipercayai akibat bergelut dengan si mati dan siasatan awal mendapati, ketika kejadian mereka dalam keadaan mabuk.
"Mayat mangsa juga didapati mempunyai kesan bengkak di muka selain berdarah di hidung dan mulut. Polis juga tidak menolak kemungkinan mangsa telah ditolak sehingga cedera kerana tiada senjata ditemui," katanya.








.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!