Thursday, November 3, 2011

Berhenti kerja jaga isteri, anak


Seorang bapa yang tinggal di Kampung Teluk Talipon, Kuala Kedah di sini kehilangan mata pencarian setelah berhenti kerja sejak dua bulan lalu untuk menjaga isteri dan anaknya yang terlantar sakit.
Radzi Abdul, 58, yang sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan tidak lagi boleh bekerja kerana terpaksa menjaga isterinya, Sabariah Saari, 50, yang menghidap barah payudara manakala anak bongsunya, Nor Hafizi Abd. Aziz, 20, lumpuh kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya tahun lalu.

Radzi yang dahulunya memperoleh gaji RM700 sebulan mengambil keputusan untuk berhenti kerja kerana tiada siapa yang boleh menjaga dan menguruskan keperluan harian isteri dan anaknya itu.
"Isteri saya menghidap barah payudara tahap empat sejak lima tahun lalu dan dia tidak boleh bergerak kerana rasa terlalu sakit sejak September lalu.

"Anak bongsu pula lumpuh, buta kedua-dua belah mata, tidak mampu bercakap dan hanya boleh minum susu serta nasi lembik sahaja. Jadi saya terpaksa berhenti kerja sebab kena jaga mereka berdua sepenuh masa," katanya ketika ditemui di rumah mereka di kampung tersebut, di sini, hari ini.
Menurutnya, setiap hari dia akan memasak nasi, menyalin lampin pakai buang anaknya, memandikan dan menyuapkan makanan untuk mereka.

"Pendapatan yang ada cukup untuk kami sekeluarga dan saya beli barang dengan menggunakan wang pencen isteri serta duit simpanan yang semakin sedikit sekarang," katanya sambil menambah isterinya dahulu pernah bekerja di sebuah kilang dan wang pencen yang diterima ialah RM300 sebulan.

Dia memberitahu, anaknya yang lumpuh turut mendapat bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun masih tidak mencukupi.
Katanya, dia mempunyai lima anak dan Nor Hafizi adalah anak bongsunya.
Dalam pada itu, seorang jiran, Sabariah Hamid, 46, berkata, dia sedih dengan keadaan sahabatnya yang terlantar itu dan berharap ada pihak yang sudi membantu.

"Dulu Sabariah masih boleh berjalan dan dia yang menguruskan anaknya lumpuh ini. Namun sejak dia terlantar sakit, semua tugas menjaga rumah tangga diambil alih oleh suaminya.
"Saya juga miskin seperti mereka dan hanya mampu melawat keluarga ini setiap hari. Jadi saya harap pihak yang berkenaan boleh menghulurkan bantuan yang sewajarnya kepada keluarga ini," ujarnya.
Orang ramai yang ingin membantu keluarga Radzi boleh menghulurkan sumbangan dengan menghubunginya di 012-5979138.



P/S - Kasih sayang seorang suami.. semoga mereka dipermudahkan...










.

Pesawat Boeing 767 LOT selamat mendarat tanpa roda


Sebuah pesawat Boeing 767 membawa seramai 231 orang selamat mendarat selepas ia mengalami kegagalan peralatan pendaratan di Lapangan Terbang Warsaw, hari ini.
Jurucakap syarikat penerbangan LOT Polish Airlines di Poland berkata, anggota bomba dan ambulans dikerah ke tempat kejadian dan kesemua 220 orang penumpang serta 11 orang krew selamat dikeluarkan dari pesawat penumpang itu.

Menurut jurucakap LOT, Leszek Chorzewski, pesawat Boeing 767-300 itu yang dalam perjalanan dari Newark, Amerika Syarikat berjaya melakukan pendaratan kecemasan selepas mengalami kegagalan pada gear pendaratan.

"Pesawat tersebut selamat mendarat pada badannya di landasan itu yang telah disembur dengan bahan perencat api yang istimewa.
"Kesemua penumpang selamat diturunkan (dari pesawat) dan tiada sesiapa yang cedera," katanya.
Rakaman video pendaratan kecemasan yang disiarkan beberapa minit selepas kemalangan tersebut menerusi stesen televisyen tempatan, TVN24 menunjukkan badan pesawat tersebut tergelincir di landasan dan mengeluarkan asap putih.

Percikan api turut kelihatan di enjin jet yang terletak di kepaknya ketika pesawat itu tergelincir.
Penumpang kemudian keluar dari pesawat tersebut menggunakan gelongsor kecemasan dengan bantuan krew lapangan terbang.








.

Rupanya bukan kain buruk...


Seorang wanita warga emas tidak menyangka segumpal objek yang disangkanya kain buruk dalam reban ayam di belakang rumahnya, rupa-rupanya seekor ular sawa sepanjang kira-kira dua meter dan berat 10 kilogram.

Hasmah Jusuh, 60, berkata, reptilia itu ditemui kira-kira pukul 7.30 pagi ketika dia memberi ternakannya makan di rumahnya di Kampung Kulim Lakota dekat sini, semalam.
Wanita itu pelik setelah mendapati bilangan ayam dalam reban tersebut berkurangan menyebabkan dia memeriksa sekeliling kawasan itu dan ternampak objek seperti kain buruk di kiri pintu reban berkenaan.

"Pada mulanya, saya ingin mengambil dan membuang kain buruk itu tetapi disebabkan cuaca ketika itu gelap, saya tangguhkan kerana bimbang juga ia ular kerana sebelum ini sudah banyak binatang peliharaan penduduk kampung hilang," katanya ketika ditemui di sini.
Menurut Hasmah, kira-kira pukul 4 petang dia turun ke reban untuk mengalihkan kain buruk itu dan terkejut apabila melihat seekor ular sawa besar di atas reban berkenaan.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Bomba Sukarela Ayer Lanas, Noranina Ab. Razak memberitahu, pihaknya dimaklumkan mengenai penemuan ular itu dan bergegas ke lokasi untuk memberikan bantuan.
"Seramai lapan anggota mengambil masa lima minit untuk menangkap reptilia itu yang dianggarkan seberat 10 kilogram," katanya.

Ular berkenaan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan selanjutnya.









.

Mereka dipisahkan..


Sepasang kembar siam perempuan berusia dua tahun yang dilahirkan di Filipina selamat dipisahkan oleh sepasukan pakar bedah Amerika Syarikat (AS) di sebuah hospital di Palo Alto, utara California semalam.

Pasukan 20 doktor dengan bantuan kira-kira 20 petugas di Hospital Kanak-Kanak Lucile Packard menjalankan pembedahan selama 10 jam untuk memisahkan Angelina dan Angelica Sabuco yang bercantum di bahagian dada dan perut.

"Saya bersyukur kepada Tuhan atas segala-galanya, tetapi tiada kata yang dapat menggambarkan perasaan kami sekeluarga mengenai kejayaan memisahkan kembar kami, Angelica dan Angelina," kata ibu mereka, Ginady Sabuco.

Ketua pakar bedah, Gary Hartman berkata, mereka menjangka kanak-kanak itu pulih sepenuhnya.

"Keupayaan mereka untuk pulih sangat tinggi, dan dalam jangka panjang, kami menjangkakan mereka menjadi sepasang kanak-kanak perempuan yang sihat dan ceria," kata nya.

Kembar tersebut yang dijangka mula sedar hari ini akan terus ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) selama seminggu dan berada di hospital seminggu lagi selepas itu jika tidak timbul sebarang komplikasi, menurut pihak hospital.

Pakar bedah plastik, Peter Lorenz yang mengetuai prosedur pembentukan semula tisu berkata, hanya sedikit tanda yang akan menunjukkan kembar itu pernah bercantum.

Kembar yang genap berusia dua tahun pada Ogos lalu itu bercantum di bahagian dada dan abdomen tetapi mempunyai otak, jantung, buah pinggang, perut dan usus berasingan.









.

Hasrat Ahmad Faris tidak kesampaian


Harapan pasangan suami isteri dari Kampung Bunut Payong di sini melihat anak bongsu lelaki mereka bekerja dan membina keluarga sendiri tidak kesampaian, apabila pemuda itu meninggal dunia akibat ketumbuhan di kepala baru-baru ini.
Lebih menyedihkan pasangan tersebut apabila Wan Ahmad Faris Wan Yusoff, 22, meninggal dunia selepas empat hari menerima ijazah dalam bidang mikrobiologi daripada Universiti Sains Malaysia (USM) pada majlis konvokesyen universiti itu 25 September lalu.

"Walaupun dalam keadaan sakit, Wan Ahmad Faris berkeras naik ke pentas dengan berkerusi roda bagi menerima skrol. Hasrat terakhir untuk menerima skrol itu seolah-olah sebagai penutup terhadap usahanya selama empat tahun berada di universiti itu," kata ibunya, Kamariah Mustapha, 58.

Kamariah yang juga Setiausaha Pergerakan Wanita UMNO Kota Bharu berkata, mereka sekeluarga amat berbesar hati dan berbangga melihat kegigihan arwah yang sanggup melupakan seketika segala kesakitan semata-mata untuk menerima ijazah tersebut.

Beliau turut terkilan kerana Wan Ahmad Faris yang merupakan anak kelima daripada enam beradik, telah menerima tawaran bekerja di Putrajaya selepas empat hari meninggal dunia.
Lebih menyedihkan ibu berkenaan apabila arwah telah bertunang dengan kenalannya dari Melaka, Siti Nadilah Abu Kassim, penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 16 Julai lalu.

"Saya terharu kerana walaupun mengetahui anak saya menghidap penyakit berkenaan, keluarga Siti Nadilah masih menerima lamarannya," katanya yang memberitahu anaknya mengenali tunangnya itu melalui laman sembang sosial Facebook setahun lalu.
Menurut Kamariah, sebelum dikesan menghidap penyakit ketumbuhan, Wan Ahmad Faris tidak pernah mengalami sebarang penyakit tetapi bermula Mei lalu, dia memberitahu kerap pening kepala sehingga tidak boleh berjalan.

"Kami segera ke Pulau Pinang untuk mengambilnya dan membawa pulang ke Kota Bharu. Masa itu Faris baru sahaja menamatkan peperiksaan akhirnya. Selepas menjalani imbasan, dia dikesan menghidap ketumbuhan di bahagian saraf tunjang kepala dan mula menjalani pelbagai rawatan di hospital dan perubatan secara Islam.
"Saya membawanya menjalani rawatan di Kuala Lumpur dan melihat keadaannya ketika itu, dia dimasukkan ke Hospital Kajang dan di situlah dia menghembus nafas terakhir," katanya yang reda dengan pemergian anak lelakinya itu.

Beliau sehubungan itu melahirkan penghargaan kepada semua pihak yang memberi kerjasama sepanjang anak lelakinya mendapatkan rawatan termasuk rakan-rakan arwah yang tidak putus-putus mengunjunginya memberi semangat semasa dia di hospital.







 
.

Masih ingat kah kita padanya??


Masih ingatkah kita pada insan malang ini????
Mungkin ada yang masih ingat dan juga ada yang sudah mula melupainya....
Apakah nasib dan khabarnya ketika ini?

Hairuman terkena renjatan elektrik bervolatan tinggi ketika sedang mengait buah kelapa sawit di kebun milik rakannya di Kampung Masjid Baruh, Tanjung Karang pada 26 November tahun lalu.
Badannya yang melecur teruk dan pernah menerima rawatan di Unit Rehabilitasi HKL.


Sebenarnya lulu terpanggil membuat entri khas ini, kerana Lulu-Pages menerima komen daripada seseorang yang mengaku sebagai kakak kepada Hairuman..






Assalammualaikum wbt. Saya Maryuni Miskon, kakak kpd Hairuman amat-amat mengharapkan bantuan yang berterusan untuk menampung hidup dan menampung kos perbelanjaan perubatan hairuman. Bantuan telah terhenti sedangkan ubatan masih lagi diperlukan untuk menyembuhkan kesakitannya. Apatah lagi untuk merancang perjalanan kehidupan hairuman yang masih jauh. Hairuman OKU seumur hidup. Sekarang ini dia menjadi pesakit luar di hospital. Keadaan kulit yang melecur blm lagi sembuh, masih pedih, berair dan gatal. Manakala 3 kerat anggotanya telah dipotong, yang tinggal hanyalah 1 kerat iaitu kaki kanan, tetapi masih dalam pemulihan, tidak boleh digunakan untuk berdiri apatah lagi berjalan, kerana kelecuran yang teruk menyebabkan banyak saraf kaki yang rosak. Ini menyukarkan dia untuk menguruskan dirinya sendiri apatah lagi membuat aktiviti, terpaksa mengharapkan bantuan untuk bergerak. Harapan saya dapatlah kalian terus menyebarkan berita tentang hairuman kerana ramai juga yang tidak tahu tentang kisahnya bila berselisih dengan hairuman di tempat awam. Ada juga org awam yang prejudis dan seakan mengejek2 tanpa tahu apa sebenarnya dia jadi begitu. Harap ada insan-insan yang mulia sudi menghulurkan bantuan untuk menampung kos perubatannya. Tak tertanggung rasanya dengan derita dan kesedihan yang melanda. T.kasih atas sumbangan kalian semua. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas kita semua. Amin….

Untuk sebarang sumbangan bolehlah disalurkan ke :
MARYUNI BT MISKON
MAYBANK A/C : 162030632448
CIMB A/C : 12570000203529
atau
MUHAMAD HAIRUMAN B. MISKON
CIMB A/C : 12570005386520




Semoga Hairuman tabah menghadapi dugaan ini..





 P/S - ENTRI TERDAHULU [KLIK]









 

.

Bila amah lari....


Seorang akauntan meminta agensi pembantu rumah mengembalikan wang sebanyak RM10,965 kepadanya selepas amah Kemboja yang dibekalkan kepadanya melarikan diri pada 24 Oktober lalu. Menurut Liew Mong Yee, 29, agensi tersebut didakwa tidak berupaya membekalkan amah baharu dengan segera dan jika diganti dengan amah lain, dia akan dikenakan bayaran tambahan.

“Ini bukan silap saya dan kenapa saya yang harus membayar sedangkan ia adalah tanggungjawab agensi,” katanya pada sidang akhbar di Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA di sini kelmarin. Turut hadir Ketua Pejabat Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Micheal Chong. Jelasnya, agensi tersebut memberi tempoh jaminan selama tiga bulan iaitu sekiranya amah melarikan diri, mereka akan memberi amah baharu kepadanya.

“Amah tersebut hanya berkhidmat selama sebulan lebih dengan saya. “Sekarang, mereka (agensi) tidak mengotakan janji malah meminta saya membayar lagi untuk mendapatkan amah baharu,” katanya. Mengulas lanjut, kata Mong Yee, amah tersebut yang berusia 28 tahun dipercayai melarikan diri selepas menyedari kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di rumahnya pada 23 Oktober lalu. “Ketika dia lari, anak saya berumur dua tahun ditinggalkan berseorangan di rumah.

“Saya dapati dia berkelakuan pelik selepas dua minggu bekerja antaranya dengan menukar pakaian di balkoni rumah. Saya kemudian memasang CCTV bagi menjamin keselamatan anak saya ketika saya dan suami keluar bekerja. “Apabila dia dapat tahu saya memasang CCTV, dia terus menghilangkan diri keesokan harinya,” katanya. Tambahnya, kejadian itu menyebabkan dia tawar hati dan tidak mahu lagi pembantu rumah baharu sebaliknya mahu wangnya dikembalikan. Sementara itu, Chong berkata, beliau akan membawa perkara tersebut ke Tribunal Pengguna untuk menuntut wang milik Mong Yee.




P/S - Masalah ni dah selalu diluahkan oleh redmummy... Banyak duit habis... Kenapa pihak berkenaan tak ambil tindakan  untuk mengelakkan hal ni terus terjadi eh??









.

Tewas walaupun seberat 200kg..


Perairan Miri sekali lagi membuktikan statusnya sebagai syurga kaki pancing apabila seekor kerapu seberat 200 kilogram berjaya ‘ditewaskan’ oleh seorang pemancing petang kelmarin.
Kerapu gergasi sepanjang dua meter itu ditangkap kira-kira tujuh batu nautika dari pesisir pantai Miri
dan mengambil masa beberapa jam untuk dinaikkan.

Pertarungan yang memenatkan itu berbaloi apabila kerapu gergasi berkenaan dibeli oleh seorang pengusaha restoran makanan laut yang dikenali sebagai Liew pada harga RM16,000.




P/S - Memang besar, kerapu ni, kecil pun lulu susah nak siang, kalau besar macam ni, rela tak makan..ekeke......









.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!