Monday, November 7, 2011

Manusia awal berasal dari Afrika



Satu kajian menunjukkan kelompok manusia terawal berasal dari Afrika tersebar ke seluruh dunia melalui Arab, dan bukannya Mesir.
Pengarah Projek Genografik, Dr Spencer Wells berkata, kajian selama enam tahun melibatkan proses corak pemetaan, mendapati manusia tiba di Eropah, Asia dan Ocenia dengan menyeberangi laut ke rantau Arab kira-kira 7,000 tahun dahulu.

Katanya, saintis sebelum ini berpendapat manusia berhijrah ke benua lain menggunakan laluan di wilayah Senai, Mesir, namun kajian terbaru menunjukkan kumpulan tersebut mengembara jauh ke selatan, berkemungkinan melalui Yemen.
"Bukti terbaru itu menunjukkan paras air laut mungkin rendah semasa kelompok pertama manusia dari Tanduk Afrika menyeberang ke rantau Arab melalui semenanjung Bab-el-Mandeb di Laut Merah.
"Kemudian, negara-negara di selatan Asia seperti India mungkin menjadi perhentian utama sebelum manusia tersebar ke seluruh dunia," katanya.

Jelasnya, mereka kemudiannya mengikut laluan pantai untuk turun ke timur Asia dan Oceania, manakala yang lain berpecah menujuk ke utara ke Iran, Rusia, Eropah dan China.
Penyelidik juga mendapati penduduk India mempunyai kepelbagaian genetik, sekali gus menunjukkan mereka mempunyai umur yang lebih lama berbanding manusia di Eropah atau timur Asia timur.

Saintis juga menggunakan kaedah kajian baru yang rumit untuk menyelidik laluan manusia terdahulu.
Teknik tersebut dikenali sebagai penggabungan semula (recombination), yang mana saintis memecahkan molekul asid deoksiribonukleik (DNA) dan menggabungkannya semula untuk membentuk sel baru.
Melalui kaedah tersebut, saintis dapat mengetahui kaitan manusia hari ini dan 7,000 tahun dulu. -AFP






.

Artis ini bakal lahirkan anak perempuan


Penyanyi terkenal yang sebelum ini dikatakan menipu kehamilannya dijangka melahirkan seorang anak perempuan.

Jantina anak tersebut didedahkan oleh seorang rakan baik Beyonce, Kelly Rowland dalam satu temu ramah baru-baru ini.
Pendedahan tersebut dibuat secara tidak sengaja semasa Rowland membuat kenyataan mengenai rakan baiknya itu.

"Saya tidak mempunyai idea apa yang perlu saya beli untuk Beyonce pada hari meraikan anaknya kerana Jay (suami Beyonce) akan membeli anak kecil perempuannya setiap barang," katanya.
Sebelum ini, terdapat spekulasi bahawa Beyonce menipu kehamilannya ekoran bentuk perutnya yang kelihatan ganjil semasa dia muncul dalam satu program temu ramah televisyen.









.

Aneh, tapi benar terjadi


Seorang penanam pokok pisang di Lukut dekat sini menemui setandan pisang yang tumbuh pada batang pokok buah itu yang ditanam di belakang rumahnya.
Elyas Wahi, 51, menemui pisang ganjil itu ketika ingin menebang pokok pisang yang sudah kering di rumahnya di Taman Selasih di sini baru-baru ini.

“Ketika pulang dari kerja, saya ingin tebang pokok pisang yang sudah kering.
“Tiba-tiba saya melihat sebatang pokok pisang saya berbuah di batangnya,” katanya yang ditemui di rumahnya itu.
Menurutnya, beliau telah menanam pokok pisang itu selama setahun dan hasil yang ditemuinya itu amat mengejutkan.

Katanya, berkebun adalah hobi utamanya bagi mengisi masa lapang terutamanya selepas pulang dari kerja.
“Semuanya pasti ada maksud yang tersendiri dan apabila pisang itu sudah masak, pastinya saya tidak akan menjualnya seperti hasil tanaman yang lain,” katanya yang juga seorang anggota polis.








.

Maraton lelaki 100 tahun


FAUJA SINGH mengejutkan dunia dengan menyertai larian maraton ketika usianya mencecah 100 tahun. Pelari Britain itu menamatkan maraton Toronto Waterfront di Kanada sejauh 41.9 kilometer dalam masa lapan jam, 25 minit dan 16 saat baru-baru ini.
Bagaimanakah pencapaian melangkaui usia itu dapat dilakukan? Padahal kebanyakan daripada kita akan bersyukur sekali gus terkejut kerana masih terus bernafas pada usia satu abad. Menyertai larian maraton pada usia sebegini ibarat nukilan novel sains fiksyen.
Namun, realitinya, Singh masih dapat mengatasi lima peserta lain yang lebih muda untuk menamatkan larian di tempat ke-3,850.

Dia meletakkan kejayaannya kepada amalan tidak merokok atau minum arak, berfikiran positif dan makan kari halia.
Namun, jika hanya semua itu yang diperlukan, jalan-jalan raya akan dipenuhi pelari berusia seabad manakala setiap rumah orang tua memiliki pasukan atletnya sendiri.
Pakar perubatan geriatrik menyatakan, rekod yang dicatatkan oleh Singh akan bertahan lama dan sukar untuk diatasi.

Larian jarak jauh membebankan tubuh manusia dengan semakin tua seseorang, semakin sukar baginya melakukan aktiviti lasak.
Jantung warga tua kurang efisien dalam menyalurkan kitaran oksigen ke seluruh badan. Darah beroksigen yang dipam oleh jantung individu berusia 60 tahun kurang 20 peratus kandungan oksigen berbanding darah pemuda berusia 20 tahun.

Selain itu, kekuatan otot merosot dengan ketara apabila seseorang melepasi had usia 70 tahun pada kadar 30 peratus untuk setiap satu dekad.
Ligamen dan tendon pula semakin rapuh, menyebabkan warga emas lebih cenderung ditimpa kecederaan manakala paru-parunya menjadi keras dan kurang efisien.
Namun, jika keadaan kesihatan warga emas berkenaan baik dan dia kerap melakukan latihan fizikal, kesan penuaan ini dapat diperlahankan.

Penjagaan kesihatan yang baik juga membolehkan semakin ramai warga emas terus berlari walaupun usia mereka memasuki lingkungan 80 atau 90 tahun.
Bagi golongan ini, Singh ialah seorang wira.
"Apa yang cuba disampaikan oleh Singh ialah saya tidak akan membiarkan diri saya dikongkong oleh norma-norma kehidupan," kata pengarah program kebangsaan Pusat Latihan Galloway di Atlanta, Chris Twigg.



Luar biasa
Tambah Twigg: "Masa memberikan kesan buat kita semua. Tetapi selagi kita berwaspada dengan cara latihan, kita sebenarnya boleh mencapai apa yang orang lain fikirkan mustahil.
"Jika mempunyai kesihatan yang baik, kita mampu menghabiskan larian selagi kita bergerak secara perlahan-lahan.
"Kuncinya adalah dengan mengurangkan tekanan ketika berjalan untuk mengelakkan keletihan kaki."
Twigg turut menasihatkan pelari agar mengurangkan hari latihan dalam seminggu untuk memberi ruang kepada badan berehat.

Majikan Twigg, bekas atlet sukan Olimpik, Jeff Galloway yang merupakan penulis buku Running Until You're 100 menjelaskan bahawa impiannya adalah untuk berlari sehingga dia mencapai usia 100 tahun dan boleh terus menulis sambungan buku itu.
Lelaki yang berusia 67 tahun itu telah melatih mereka yang berusia 70-an dan ramai yang berjaya menghabiskan larian maraton.
Namun, dia mengakui bahawa peluang untuk mencapai angka 100 tahun tanpa sebarang penyakit dan kekal sihat untuk menamatkan larian jauh adalah sesuatu yang sukar.

"Mesej yang disampaikan melalui kajian kami adalah 'gunakannya atau biarkan ia hilang'," kata Galloway.
Dr. Sharon Brangman yang merupakan Pengerusi Persatuan Geriatrik Amerika percaya bahawa Singh adalah antara warga emas luar biasa yang muncul pada ketika ini.
"Dia benar-benar seorang yang luar biasa. Maraton adalah antara punca utama yang memberikan tekanan kepada tubuh.

"Ketika usia 100 tahun kebanyakan manusia boleh mencapai jarak 10 meter sahaja. Mustahil untuk menamatkan maraton.
Tambah Brangman, maraton sebenarnya memberikan banyak tekanan kepada jantung walaupun kepada orang muda.
Pelari muda juga boleh terlibat dengan kecederaan fizikal yang lain sebelum sistem endorfin mereka mula bekerja untuk larian.









.

Artis ini juga sudah berhijrah



KETAWA dan ramahnya masih sama. Hadir ke studio dalam persalinan kasual yang cukup ringkas dan bergaya dengan kasut ala penari balet. Cuma yang membezakan, Akma, 26, kini sudah bertudung litup.
Jika dia tidak menanggalkan cermin mata hitamnya itu pasti orang sekeliling akan tertanya-tanya, siapakah gadis tinggi lampai yang anggun dalam lilitan tudung persis Hana Tajima iaitu pereka dan ikon fesyen dari United Kingdom.
Akma atau nama asalnya Asiahtunakma Abdullah, merupakan penyanyi tempatan kelahiran program realiti Akademi Fantasia, musim ketiga (AF3).


Kemunculan Akma yang bertudung bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan sejak kebelakangan ini satu-persatu selebriti yang sedang mencipta nama di persada seni tanah air tampil dengan imej yang sama.
Persoalannya, adakah bertudung sudah dikategori sebagai salah satu trend fesyen atau dari sudut positif ia merupakan penghijrahan dan pengorbanan ikhlas seseorang itu untuk berubah?

"Tidak dinafikan, sesetengah individu memandang serong kepada kelompok selebriti yang mengambil keputusan untuk bertudung. Lebih menyedihkan mereka sanggup bertaruh untuk melihat pendirian seseorang artis itu bertudung.
"Bukankah lebih baik sekiranya masyarakat sekeliling berdoa dan terus memberi sokongan supaya kami mengekalkan imej sopan dan muslimah ini," jelas Akma ketika menggayakan jubah nuansa biru lembut koleksi Hurul Ain.




Pasang niat
Bicara wanita yang dilahirkan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) itu, sejak tahun lalu dia sudah memasang niat untuk bertudung, namun hasrat murni berkenaan tercapai jua pada 13 Syawal lalu.

Tambah anak keempat daripada enam adik-beradik itu, pada mulanya dia gusar sekiranya undangan nyanyian berkurangan gara-gara keputusannya memakai tudung. Tetapi, semakin dia mendekatkan diri kepada Tuhan semakin melimpah ruah rezekinya.

Acap kali menyentuh mengenai imej terbaharunya itu, Akma yang popular menerusi lagu Percaya Pada Cinta, sentiasa tersenyum. Bicara peminat sepatu itu lagi, paling mengujakan pantang mempunyai masa terluang dia tidak melepaskan pe luang mengunjungi Jalan Tuanku Abdul Rahman Kuala Lumpur untuk membeli-belah tudung dan selendang.

"Saya tak cerewet dalam aspek jenama mahupun harga. Biasanya saya suka membeli selendang jenis likra
atau satin kerana ia mudah dibentuk. Dari segi warna pula saya gemarkan warna-warna terang dan ceria kerana ia sesuai dengan usia remaja," jelas Akma yang suka mencuba pelbagai teknik lilitan tudung untuk disesuaikan dengan lokasi dan acara yang dihadiri.









.

Bala samun lelaki warga emas


Seorang lelaki warga emas yang bertindak berani mengejar dua pemuda yang meragutnya di Jalan Parlimen di sini membuahkan hasil apabila kedua-dua suspek itu dapat diberkas semalam.

Kejadian pada pukul 4.30 pagi itu dikatakan berlaku ketika mangsa yang memandu kereta Honda Accord tiba-tiba dihampiri sebuah motosikal dinaiki dua lelaki terbabit di Jalan Parlimen di sini.
"Dua lelaki itu meminta mangsa yang berusia 64 tahun memberhentikan keretanya kononnya warga emas itu telah melanggar motosikal ditunggangi mereka.

"Mangsa memberhentikan kereta dan mangsa mendapati motosikal tersebut ada kesan rosak di bahagian tengah tetapi dua pemuda itu tidak cedera," kata Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan.
Belum sempat mangsa berkata-kata, kedua-dua lelaki itu merampas telefon bimbit dan wang tunai RM30 milik mangsa sebelum melarikan diri.

Zakaria berkata, mangsa yang tidak berpuas hati mengejar suspek yang menghala ke Jalan Ipoh di sini.
"Ketika sampai di depan Hotel Dynasty, mangsa melanggar motosikal suspek menyebabkan kedua-dua pemuda itu terjatuh," kata beliau.
Kedua-dua suspek yang berang dengan mangsa kemudian bangun dan memecahkan cermin depan dan belakang kereta mangsa menggunakan topi keledar.

Menurut beliau, polis yang dimaklumkan mengenai kejadian itu kemudian dapat memberkas kedua-dua suspek tersebut yang berusia 32 dan 42 tahun.
Kedua-dua suspek yang berasal dari Ampang dan Batu Caves, Selangor itu tidak memiliki rekod jenayah.
Kata Zakaria, pemeriksaan awal polis mendapati motosikal yang digunakan suspek adalah kenderaan curi.
Kedua-dua suspek kini ditahan reman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan.










.

Remaja terbunuh kereta langgar kedai batu nisan


Seorang remaja maut apabila kereta yang dinaikinya bersama seorang rakannya merempuh sebuah kedai membuat dan menjual batu nisan di Kampung Chicha di sini, awal pagi ini.

Dalam kemalangan pukul 4.30 pagi itu, mangsa, Abdul Hanif Ab. Hamid, 18, yang duduk di bahagian hadapan penumpang kereta cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Rakannya, Mohd. Riduan Ar Azmi, 22, yang memandu kereta Proton Iswara Aeroback itu bagaimanapun terselamat dan mengalami kecederaan ringan.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Idris Abd. Rafar berkata, siasatan awal mendapati kereta yang dipercayai dipandu dengan laju itu hilang kawalan lalu melanggar sebatang tiang elektrik sebelum merempuh kedai terbabit.

Katanya, semasa kejadian, kedua-duanya dalam perjalanan dari arah Pasir Tumboh ke Kubang Kerian.
“Separuh kereta tersebut masuk ke dalam kedai berkenaan yang tidak berpenghuni,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk dibedah siasat.
Ibu Abdul Hanif, Fauziah Pak Muda, 57, memberitahu, anaknya itu keluar dari rumah mereka di Beris Kubu Besar, Bachok, pada pukul 10 malam kelmarin.
Katanya, anak ketujuh lapan beradik itu bekerja sebagai mekanik di bengkel kenderaan milik ayahnya.









.

Mati lemas selepas solat Aidiladha



Kemeriahan sambutan Hari Raya Aidiladha sebuah keluarga dari Kampung Ga, Pendang dekat sini bertukar duka apabila anak bongsu mereka mati lemas ketika mandi di Sungai Rambai, Kampung Lubuk Batu, Pendang, hari ini.

Mangsa, Mohd. Shahrol Nizam Idris, 11, dipercayai lemas selepas tersangkut di besi pintu air sewaktu mandi bersama dua lagi rakannya di sungai itu yang terletak satu kilometer dari rumah mereka, pukul 1 petang.
Bapa mangsa, Idris Mat Hashim, 49, berkata, selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di surau kampung mereka, anaknya itu yang memakai sepasang baju Melayu berwarna kuning lembut terus keluar beraya bersama rakan-rakannya dengan menunggang motosikal.

Katanya, dia bagaimanapun terkejut apabila tiba-tiba didatangi oleh rakan Mohd. Shahrol yang memaklumkan bahawa anak bongsunya itu lemas di sungai tersebut, pukul 1.30 petang.
“Semasa tiba di tempat kejadian, saya lihat anak saya telah diangkat ke daratan dan terus membawanya ke Klinik Kesihatan Kubur Panjang.

“Namun petugas di klinik itu mengesahkan Mohd. Shahrol telah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di rumah mayat Hospital Sultanah Bahiyah di sini hari ini.
Menurut Idris yang bekerja sebagai penoreh getah, sudah menjadi kebiasaan bagi Mohd. Shahrol yang pandai berenang mandi bersama rakan-rakannya di sungai berkenaan.
Katanya, malang tidak berbau kerana arwah dipercayai tersangkut di besi pintu air sungai tersebut menyebabkannya lemas dengan kesan lebam ditemui di bahagian muka dan badan mangsa.

“Selepas menunaikan solat sunat Aidiladha pagi tadi, arwah sempat memeluk saya tetapi tidak berasa terlalu pelik kerana sebagai anak bongsu, dia sememangnya manja.
“Walaupun sedih dengan kehilangannya, saya reda kerana ia adalah ketentuan Ilahi,” ujarnya sayu.
Dalam pada itu, jurucakap polis yang mengesahkan kejadian berkenaan berkata, kes tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.










.

Pejuang Palestin maut


Serangan udara Israel ke atas Semenanjung Gaza membunuh seorang pejuang jihad Islam dan mencederakan tiga rakyat Palestin hari ini, kata pegawai perubatan dan saksi.

Sumber keselamatan berkata, tiga serangan disasarkan ke arah bandar Khan Yunis, namun dua serangan awal tidak menyebabkan kecederaan. Saksi berkata, Abed Muhana, 20, anggota Briged Al-Quds, yang juga sayap bersenjata Jihad Islam terbunuh dalam serangan itu manakala tiga yang lain cedera parah.

Jurucakap tentera Israel berkata, pesawat mereka menyerang pengganas yang bersiap sedia untuk menembak tentera Israel.

Militan Palestin kemudiannya melepaskan tembakan dari Khan Yunis ke arah Israel.

"Serangan itu dilancarkan dari Semenanjung Gaza ke arah Ashkelon," bandar pelabuhan Israel di utara wilayah itu, kata jurucakap tentera Israel.










.

KATE MIDDLETON HAMIL..?


Khabar angin mengatakan Duchess of Cambridge, Kate Middleton hamil mula tersebar luas gara-gara isteri kepada Putera William itu enggan menjamah makanan berunsur kacang.
Berita itu menjadi bualan hangat peminat Kate ketika beliau melawat pusat pengagihan makanan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) di Copenhagen, Denmark, semalam.

Dalam lawatan tersebut, Kate, 29, yang duduk di sebelah suaminya menolak untuk menjamah sampel pes kacang yang akan diagihkan kepada penduduk negara timur Afrika yang kini berdepan kebuluran.



Tindakan Kate itu mencetuskan tanda tanya banyak pihak yang mula mengaitkannya dengan pendapat pakar kesihatan iaitu wanita hamil disaran untuk tidak mengambil makanan berunsur kacang atau produk seumpamanya bagi mencegah sebarang alahan kepada bayi yang bakal dilahirkan.
Setelah bergelar isteri kepada Putera William, Kate kini memikul tanggungjawab yang cukup besar - melahirkan seorang waris kepada putera diraja Britain itu.

Wanita-wanita terdahulu yang pernah berada di tempatnya tidak membuang masa - William sendiri selamat dilahirkan selepas 11 bulan Puteri Diana berkahwin dengan Putera Charles pada 1981.
Justeru, jika Kate tidak hamil dalam tempoh sembilan bulan, beliau akan melanggar tradisi diraja Britain selama 200 tahun.

Namun, berhubung tindakan Kate menolak untuk menjamah pes kacang itu, pihak istana menegaskan puteri tersebut tidak mempunyai sebarang alahan terhadap makanan berunsur kacang.
Walaupun spekulasi berhubung kehamilannya masih menjadi tanda tanya, Kate tetap kelihatan langsing apabila mengenakan gaun rona merah hati beserta tali pinggang kulit ketika berada di Copenhagen.






.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!