Sunday, November 20, 2011

"Saya sedia bergelar isteri.."


Si cantik yang baru berusia 18 tahun ini sedikit pun tidak segan silu untuk bercerita kepada semua orang mengenai hasrat naik pelamin, meski pun ada pendapat mengatakan, dia masih terlalu muda untuk berbuat demikian.

"Hubungan cinta saya dengan Shahz memang serius. Kami ada rancangan untuk berkahwin tapi bukan sekarang. Kami akan berkahwin dalam tempoh tujuh tahun lagi," bicara awal Miera Leyana membuka cerita peribadinya.

Sambungnya lagi meskipun tempoh itu terlalu jauh, isu perkahwinan sering diperbincangkan setiap kali keluar bersama kekasih hati.
"Memang ia isu yang selalu dibawa berbincang kalau keluar berdua. Tetapi saya rancang kalau nak kahwin paling lewat pun masa umur 25 tahun.
"Jadi saya ada sikit masa untuk kukuhkan ekonomi, mental dan apa sahaja sebelum berkahwin dengan Shahz nanti," katanya berterus-terang.

Pada masa yang sama, Miera akui bahawa dia sedang menjalani fasa mengenali hati ini budi Shahz yang tidak pernah habis dan sentiasa berjalan setiap detik.
Itu termasuk mempelajari apa kegemaran dan yang tidak disukai Shahz dan begitu juga sebaliknya berlaku pada kekasihnya itu.
Lebih menggembirakan hati anak kedua dari tiga beradik ini apabila perjalanan hubungan cinta bersama Shahz mendapat restu daripada kedua-dua belah keluarga.

"Shahz adalah seorang lelaki yang baik dan bertanggungjawab. Dia sangat menghormati orang tua dan lebih memeranjatkan apabila dia kerap berhubung dengan Mama. Kadangkala ada perkara yang saya tak tahu tapi Mama lebih tahu.
Perkenalan"Semua perkara-perkara ini buat saya macam tak percaya sebab lelaki yang diminati sejak lapan tahun dahulu telah menawan keseluruhan ahli keluarga saya," jelasnya tersenyum lebar.
Perkenalan mereka terjalin sejak lapan tahun lalu kerana masing-masing bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. Ketika itu Miera adalah 'junior' Shahz dan pernah menyimpan hati kepadanya.

Bahkan mereka pernah digandingkan bersama drama bersiri dalam talian berjudul Luna Fantasiku sewaktu Miera berusia 14 tahun tetapi tidak berpeluang untuk mengenali antara satu sama lain.
"Saya lihat dia umpama cermin kepada diri saya sendiri dan begitu juga sebaliknya. Dia ada beritahu saya yang dia dah lama cari perempuan macam saya yang lain daripada yang lain.
"Kebetulan masing-masing pernah terjebak dengan kontroversi dan gosip tak elok, itu yang buat kami mudah dapat mencari titik keserasian sebab satu kepala," terangnya tanpa berselindung.

Mengulas persoalan sama ada Miera menyedari tentang perbezaan darjat antara dirinya yang hidup dilimpahi kemewahan sedangkan bakal 'suaminya' itu hanya di kalangan orang biasa, wanita ini terdiam sebentar.
"Saya akui bahawa kami hidup dalam dunia berbeza. Tapi saya sedar bahawa yang kaya itu adalah keluarga saya, bukan saya. Saya tak ada apa-apa pun malah sekarang ini sedang gigih mencari harta sendiri," kata wanita yang cukup pantang didekati lelaki yang suka ambil kesempatan atau jenis pisau cukur ini.





P/S - JOM MAIN MASAK-MASAK




.

Mabuk itu memalukan


Penyanyi country dan pop Taylor Swift menyifatkan perbuatan minum alkohol sampai mabuk sebagai perkara paling memalukan.

Swift juga tidak suka berparti kerana merasakan ia akan memberikan tanggapan buruk yang akan diikuti peminat mudanya.
Penyanyi itu berkata, mabuk bukan satu perbuatan yang baik.

"Saya tidak suka minum sampai mabuk kerana ia tidak hebat,'' katanya.
Swift, 21, juga memberitahu, dia tidak pernah menghisap ganja seperti orang lain.
"Saya tidak mahu merokok atau menghisap ganja kerana saya seorang penyanyi,'' ujarnya.





P/S - JOM MAIN MASAK-MASAK




.

Betul ke begitu mewah?


MAJLIS perkahwinannya mencetuskan kontroversi kerana dikatakan bernilai RM15 juta. Bertambah kecoh apabila lelaki yang menjadi suaminya adalah seseorang yang tidak diketahui identitinya dan ini sekaligus menjadi punca kepada merebak spekulasi demi spekulasi.
Tambahan pula apabila mengetahui penyanyi ini menerima hantaran mewah iaitu sebuah rumah banglo, sebiji kereta yang bernilai jutaan ringgit dan beberapa barang mewah menimbulkan tanda tanya – dengan siapa dia berkahwin sebenarnya atau ia hanyalah kisah di alam khayalan?

Ada yang berkata bahawa wanita bernama Nursyella Kamaruddin atau Syella ingin menunjuk-tunjuk kekayaannya kepada masyarakat sekeliling. Maka kebanyakan yang dibuat sebelum ini adalah ‘propa’ (menipu) atau sengaja membesar-besarkan cerita.

Maklumlah sebelum ini dia hidup serba sederhana dengan menyara keluarga menerusi jualan nasi lemak secara kecil-kecilan selain menjalankan perniagaan butik perkahwinan.
Atas apa alasan yang mendorong penyanyi Menangis Dalam Hujan boleh tergamak untuk bermegah-megah sebegitu?
“Sebenarnya, tidak timbul soal ingin menunjuk-nunjuk kemewahan di sini sebab apa yang dilakukan ini untuk berkongsi tentang cerita perkahwinan saya kepada semua orang. Tak ada niat pun nak buat orang dengki apabila saya dedahkan apa jenis hantaran yang diterima.

“Orang di luar tak tahu bagaimana susah payah saya bertungkus lumus untuk memperbaiki kehidupan keluarga selama ini. Bila tersebar gambar itu, orang cakap Syella ‘propa’ dan berlebih-lebih pula? Apa ni?
“Buat apa saya nak bohong dan Syella tak akan buat majlis perkahwinan mewah kalau tak mampu. Syella kumpul duit sendiri dan buktikan bahawa artis juga mampu untuk buat majlis perkahwinan tanpa sebarang penaja,” katanya dalam perbualan pada petang Jumaat lalu.

Anak bekas pemain ragbi Polis Diraja Malaysia (PDRM) ini juga kesal apabila penyebaran gambar dia bersanding seorang diri tanpa pengantin lelaki di majlis perkahwinan yang berlangsung di Flat Sri Cheras, Kuala Lumpur pada minggu lalu, dijadikan isu besar.
“Sebenarnya, majlis perkahwinan di situ adalah kali keempat Syella bersanding selepas bersanding di tiga lokasi berasingan di sekitar Kuala Lumpur. Kebetulan majlis itu bersanding bersama adik Syella iaitu Effa dengan suaminya, Firdaus. Jadi kami bersanding bersama-sama sekali lagi.

“Teruk sangat ke Syella sampai orang cakap Syella syok sendiri bersanding atas pelamin seorang-seorang? Majlis itu dibuat untuk beritahu pada semua orang yang Syella dah bersuami dan kami dah bernikah sejak awal bulan September lalu,” katanya berterus-terang.
Ditanya siapakah gerangan suami Syella? Wanita ini bertegas: “Dia orang biasa-biasa saja. Saya tak akan dedahkan identiti dia walaupun didesak oleh banyak pihak. Biarkan mereka nak cakap apa-apa pun sebab ini adalah pendirian tetap saya.”
Mengulas kebenaran sama ada teman hidup wanita berusia 26 tahun ini dari kalangan orang kenamaan (VVIP), Syella enggan menjawabnya.

“Saya tak nak cakap sebab bimbang nanti orang cakap saya berlagak pula. Sudah-sudahlah apa orang berkata tentang saya yang tak menyanyi dan berlakon tak ada apa-apa pun.
“Apa yang saya nak cakap bahawa kehidupan saya sekarang adalah kerana rezeki sebagai seorang anak yang telah banyak berkorban untuk keluarga sendiri,” katanya.





P/S - JOM MAIN MASAK-MASAK




.

Dia mabuk cinta


McIlroy mengakui dia sudah dilamun cinta dengan teman wanita barunya. Hanya beberapa bulan selepas memutuskan hubungan dengan kekasihnya sejak kecil, Holly Sweeney, jaguh golf itu kini berbangga dengan kisah cintanya bersama bintang tenis, Caroline Wozniacki.
Kedua-dua mereka ini menjadi pasangan emas sukan yang baru dan menikmati saat berduaan penuh glamour di seluruh dunia.

Begitupun McIlroy, juara Terbuka Amerika Syarikat yang kali pertama berkata mengenai kisah cinta mereka, mengakui Caroline adalah satu-satunya bagi pemain itu.

“Saya mempunyai cinta baru dalam hidup saya. Kami cuba mengetepikan mengenai soal sukan masing-masing. Ia sesuatu yang bagus.
“Seronok dapat menghabiskan masa dengan seseorang yang memahami apa yang anda lakukan dan seronok dapat menghabiskan masa dengan seseorang yang melakukan perkara sama.

“Anda boleh berbual mengenai perkara tertentu.”

Pasangan itu yang menggelarkan diri mereka Wozilroy mula bersama selepas Rory meraih kemenangan Terbuka AS, Jun lalu.
Bintang golf Ireland itu menemui juara tenis dari Denmark dalam perlawanan tinju di Jerman, Julai lalu dan bertemu sekali lagi di Wimbledon.
Pasangan bercinta itu saling berbalas mesej secara umum di Twitter dan mengesahkan mereka berpacaran pada hari terakhir Terbuka Britain.

Hubungan itu cukup mengejutkan bekas teman wanita McIlroy, Holly yang baru saja sedia menerimanya, awal tahun ini selepas McIlroy meninggalkannya bagi memberi tumpuan terhadap karier.
Dalam satu wawancara di AS, McIlroy pernah memberitahu bahawa Holly adalah kekasih sepanjang hayatnya dan satu-satunya gadis yang menambat hatinya.

Dia juga memberitahu dunia bahawa tindakannya meninggalkan wanita itu adalah satu kesilapan besar tetapi beberapa bulan kemudian dia mengubah fikiran dan sekali lagi meninggalkannya, kali ini untuk bersama jaguh tenis berambut perang, Caroline.
Ia satu tahun sibuk buat pemain golf jutawan sensasi dari Bangor.

Dia tewas Masters AS, kembali bersama Holly, meraih kejayaan dalam Terbuka AS, berpisah dengan Holly dan kemudian menjadi pasangan atlet paling diminati.
Malah baru-baru ini, dia berpisah dengan pengurusnya, dan bekerjasama dengan Conor Ridge.
Begitupun, pemain berambut kerinting itu berjaya menanganinya dan mendedahkan dia gembira dengan apa yang sudah berlaku.

“Saya memutuskan untuk membuat perubahan dan menggunakan khidmat agensi lebih kecil, iaitu pengurusan sukan Horizon di Dublin. Ia bagus. Saya gembira dengannya.


“Bagi saya ia satu tahun yang hebat. Kemenangan major pertama bagi saya adalah langkah penting dalam menentukan hala tuju karier saya.

“Pastinya apa yang berlaku selepas itu mencuri perhatian dan memberi tekanan terhadap saya.
“Ia sesuatu yang perlu saya hadapi tetapi saya bernasib baik mampu meneruskan karier.”
Wozilroy dianggap sebagai pasangan sepadan oleh industri pemasaran dan masing-masing berjaya memperolehi lebih 10 juta euro (RM42.7 juta) sepanjang tahun ini.

Pemain golf profesional itu juga adalah duta Unicef dan melawat Haiti tahun ini untuk menaikkan imej program bantuan kemanusiaan di sana.
“Ia membuka mata saya. Melihat tugas yang dijalankan Unicef di sini adalah sesuatu yang hebat tetapi melihat cara hidup penduduk di sana cukup menyedihkan.”









.

Kos kahwin RM4.2 juta?


Majlis pernikahan anak Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, Edhie Ibas Baskoro dan Aliya Rajasa, anak kepada Menteri Ekonomi Indonesia, Hatta Rajasa didakwa bakal menelan kos sebanyak Rupiah 12 bilion (RM4.2 juta).

Kos pernikahan yang bakal diadakan pada 26 November ini didedahkan oleh pertubuhan bukan kerajaan, Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera) seperti yang dilaporkan beberapa media tempatan.

"Ia merupakan satu hal yang ironi kerana ia perkahwinan mewah dua orang anak pemimpin negara yang hidup mereka bersandarkan kepada cukai yang dibayar oleh rakyat.

"Pada masa sama sebilangan besar masyarakat hidup dalam kemiskinan," kata penyelaras Bendera, Mustar Bona Ventura.

Menurut Mustar juga, kos pernikahan itu membolehkan kerajaan membina sekurang-kurangnya 120 buah pra-sekolah selain membantu meningkatkan taraf pendidikan 6,000 kanak-kanak setiap tahun.

Bendera yang merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan sebelum ini pernah mencetus kontroversi dengan menyiarkan senarai nama beberapa individu berpengaruh yang didakwa terlibat dalam skandal Bank Century.

Beberapa tokoh yang nama mereka disebut dalam senarai itu telah mengambil tindakan terhadap dua aktivis Bendera kerana memfitnah.

Menurut laporan, kedua-dua mempelai akan bersanding mengikut adat Jawa di hadapan kira-kira 3,600 tetamu jemputan dan akan turut dihiburkan oleh penyanyi Anggun.







.

Pencuri suka......


Sebuah keluarga di Bandar Tasik Kesuma, Beranang di sini hidup dalam keadaan tidak tenteram apabila rumah teres satu tingkat milik mereka dipecah masuk pencuri bukan sekali dua tetapi sebanyak lapan kali sejak mereka menghuni kediaman itu pada tahun 1999.
Perbuatan jahat itu mencapai kemuncaknya awal pagi semalam apabila rumah tersebut bukan sahaja diceroboh untuk kali kelapan malah turut dibakar awal pagi ketika keluarga malang itu bermalam di tempat lain.

Pemilik rumah tersebut, Esah Ahmad, 57, mendakwa, dia mengetahui kejadian malang itu pada pukul 2.28 pagi semalam apabila telefon bimbitnya berbunyi selepas menerima isyarat kecemasan daripada alat penggera yang dipasang sejak dua tahun lalu.

Menurut Esah, ketika kejadian, dia bersama suami, Md. Nasir Ahmad, 60, serta anak-anaknya berada di rumah adiknya di Ampang.
“Sebaik saya menerima panggilan telefon daripada rumah (yang disambung pada alat penggera), saya mula rasa tak sedap hati.
“Saya cuba menghubungi semula nombor telefon rumah malangnya talian itu gagal dihubungi semula,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Pengurus operasi syarikat swasta itu memberitahu, dia mengambil keputusan pulang ke rumahnya untuk mengetahui keadaan sebenar tetapi terkejut apabila terhidu bau asap dari luar rumah.
“Bila saya buka pintu rumah, asap tebal keluar.
“Kami cuba padam api, malangnya asap semakin tebal menyebabkan usaha kami terbantut,” katanya yang menghubungi pihak bomba untuk tindakan lanjut.
Katanya, alat penyahkod bagi sistem penggera rumahnya yang diletakkan dalam bilik tidur utama dan ruang tamu turut lesap.

Sistem penggera itu canggih kerana mampu mengesan dan memberi amaran jika ada objek seberat 40 kilogram dan ke atas berada di atas bumbung rumah.
Mangsa sekeluarga mendiami rumah teres tersebut sejak 12 tahun lalu dan kali terakhir rumah itu dipecah masuk penceroboh adalah pada tahun 2009.
 
Beliau percaya suspek mengumpil pintu dan tingkap sebelum melarikan barang berharga seperti perkakas elektrik termasuk televisyen.
“Selepas kejadian samun dulu, saya sudah serik untuk membeli peralatan elektrik yang mahal kerana tahu ia akan dicuri.
“Bukan sahaja barang dalam rumah, malah ukiran besi pada pagar rumah turut lesap,” katanya yang bekerja di ibu negara, kira-kira 36 kilometer dari situ.
Ekoran kejadian semalam, mangsa membuat laporan di Balai Polis Semenyih.

Esah mengaku, demi mengelak rumahnya daripada terus menjadi sasaran pencuri, dia dan suami terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri sebanyak RM90 setiap bulan untuk mengupah orang memotong rumput di rumah jirannya yang kosong.
“Saya juga ada memesan pagar untuk dipasang di rumah jiran itu dengan harapan penjenayah menyangka rumah itu berpenghuni,” katanya.
Untuk sementara waktu, Esah akan membawa keluarganya menumpang di rumah anak sulungnya di ibu negara.

Biarpun nasib malang mereka kerap bertimpa, dia tidak bercadang untuk menjual rumah tersebut.
“Anak-anak saya sukakan rumah ini dan menghabiskan cuti hujung minggu mereka di sini,” katanya.
Kes seumpama itu bukan yang pertama di kawasan berkenaan, malah pada 23 Oktober lalu, rumah banglo milik seorang juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah Esah telah dipecah masuk dan dibakar mengakibatkan kerugian sebanyak RM500,000.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan sedang menyiasat punca kejadian.







.

Jatuh Dalam Bilik Air


Penyanyi, pelakon dan pelawak popular, Bob Kuman dikejarkan ke Hospital Pakar KPJ Tawakal di sini selepas terjatuh di bilik air rumahnya di Kota Damansara kelmarin.
Bob atau nama sebenarnya Husni Mohd. Rawi, 40, dimasukkan ke hospital tersebut setelah mengalami kecederaan di muka, hidung dan tangan.

Katanya, dia terjatuh sewaktu bangun dari katil dan berjalan menuju ke bilik air untuk menunaikan solat Zuhur sebelum mahu menghadiri program Maharaja Lawak Malaysia (MLM).
“Saya terjaga daripada tidur pukul 1 petang semalam (kelmarin), dalam keadaan mamai saya turun dari katil sebelum tergelincir.
“Saya sempat menahan pintu bilik air dengan tangan tetapi jatuh dan kepala terhantuk ke mangkuk tandas,” katanya ketika ditemui di hospital itu semalam.

Akibat kejadian itu, Bob mengalami kecederaan di muka dan tangan selain memerlukan bantuan pernafasan kerana hidungnya yang bengkak dan sukar bernafas.
Bob yang mempunyai berat badan hampir 200 kilogram mengakui terlalu penat sebab sibuk menguruskan perniagaan kedai makan Bawal Power, menyertai MLM selain projek sosial, 30 kilogram in 120 days.

“Doktor menyarankan saya berehat di hospital kerana terlalu penat dengan kerja seni serta perniagaan, tapi saya ada banyak tanggungjawab di luar sana,” ujarnya.
Biarpun tidak tahu bila dia akan keluar dari hospital, Bob yang ditanya sama ada akan berhenti dari program MLM tetap bersedia untuk kembali beraksi pada minggu depan.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui tersentuh di atas semangat gandingannya dalam Bawal Power iaitu Sobri atau nama sebenarnya Mohd. Sobri Anuar Mohd. Tarmizi, 35, yang terpaksa membuat persembahan secara solo dalam MLM minggu ke-4 kelmarin.
“Saya tidak sangka Sobri mampu membuat yang terbaik.
“Saya tengok apa yang Sobri buat semalam, memang saya tersentuh sebagai seorang sahabat, terima kasih,” ujarnya yang dijaga oleh tunangnya yang hanya ingin dikenali sebagai Normah.







.

13 ditahan di Tawau amat berbahaya


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, mendedahkan kumpulan 13 individu yang ditahan pihak berkuasa di Tawau, Sabah, awal minggu ini di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) amat berbahaya kepada keselamatan negara dan serantau.

Beliau berkata, kumpulan 13 individu terbabit termasuk enam warga asing "tidak takut mati" dan "mahu mati jihad" dan mereka amat berbahaya bukan sahaja kepada rakyat Malaysia tetapi seluruh rantau Asia Tenggara.

"Kumpulan ini tidak takut mati dan sememangnya mereka mahu mati dalam jihad," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis bersama pemimpin Parlimen Semberong di FELDA Bukit Tongkat di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Semberong menyifatkan isu penahanan 13 individu terbabit sebagai "amat serius" dan berkata, pada ketika ini mereka berada di pusat tahanan di Tawau.

Hishammuddin juga mendedahkan, operasi penahanan 13 individu yang dilaksanakan oleh unit khas anti keganasan polis turut menemui sejumlah besar senjata api dan bahan letupan.








.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!