Monday, November 28, 2011

'Serahkan pada abang'

LEWAT kebelakangan ini memang cukup heboh diperkatakan tentang perkahwinan pasangan kekasih, Yusry Abdul Halim dan Lisa Surihani yang dikatakan akan berlangsung pada Februari depan.
Bukan itu sahaja, Astro juga dikatakan bakal menjadi stesen rasmi majlis perkahwinan yang bakal diadakan dalam suasana gilang-gemilang. Dalam erti kata lain, perkahwinan mereka itu bakal menjadi wedding of the year.

Atas alasan itu, Lisa dan Yusry juga dikhabarkan sibuk membuat persiapan perkahwinan mereka termasuk menempah barangan serta pakaian untuk hari bersejarah nanti.
Apakah benar desas-desus yang sedang hangat diperkatakan ketika ini? Peluang bertemu dengan Lisa usai majlis pratonton filem Ombak Rindu di Mid Valley, Kuala Lumpur, baru-baru ini, Hits mengambil kesempatan untuk bertanyakan perihal tersebut.

Dalam nada penuh diplomasi, Lisa menafikan dirinya dan Yusry kini sedang sibuk membuat persiapan perkahwinan seperti mana yang digembar-gemburkan.
"Saya sendiri tidak tahu bagaimana cerita itu timbul kerana kami memang tidak membuat sebarang persiapan ketika ini.
"Abang (panggilan manja untuk Yusry) sedang sibuk dengan penggambaran filem Vikingdom dan saya juga ada agenda sendiri. Jadi, mana mungkin kami membuat persiapan ketika ini.

"Seperti mana yang pernah saya katakan sebelum ini, adalah lebih baik jika abang yang jelaskan semuanya tentang perkara selanjutnya. Kalau saya yang asyik bercerita, memang tidak manis.
"Insya-Allah, abang akan menamatkan penggambaran Vikingdom pada 20 Disember ini. Jadi, selepas itu, bolehlah mendapatkan sebarang pengesahan daripadanya," ulas Lisa yang tidak mahu berlebih-lebihan bercerita tentang kisah cintanya bersama Yusry kerana bimbang menjadi bahan cemuhan masyarakat.
Dalam perkembangan lain, pemilik nama penuh Lisa Surihani Mohamed ini memberitahu, dia tidak mahu dikaitkan dengan sebarang kisah silam Yusry.

Baginya, apa yang pernah berlaku dalam hidup Yusry adalah kenangan silam dan sebagai orang baru dalam hidup Yusry, Lisa tidak mahu mencampuri cerita lama kekasihnya itu.
Apa yang penting, kehadirannya dalam hidup Yusry bagi menempuh perjalanan mereka di masa akan datang.
"Saya tidak kisah dengan status Yusry sebagai seorang duda. Bagi saya, dalam perhubungan, masa bukanlah penentu untuk kita layak atau tidak bersama dengan orang yang kita sayangi itu.

"Sebagai contoh, saya sendiri pernah menjalinkan hubungan selama lapan tahun tetapi ia berakhir juga. Walaupun saya bersama Yusry tidak sampai setahun, tetapi kami memiliki keserasian.
"Saya fikir saya tidak mahu ulas lanjut tentang hubungan dengan Yusry. Biarlah masa yang menentukan dan apabila tiba waktunya nanti, barulah kita menerangkan perkara yang sepatutnya," kata pemilik trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-23 menerusi filem Lagenda Budak Setan.










.

PIRAMID BARU?


Kumpulan Katastropik Purba yang dibentuk Staf Khusus Presiden Bidang Bencana Alam Andi Arief menyatakan, bangunan diduga piramid bukan hanya di dalam Gunung Sadahurip, Garut, Jawa Barat. Dalam khabar terbaru, kumpulan ini menyatakan bangunan diduga piramid juga ditemukan di tiga gunung lain di Garut.

"Hasil survey di Gunung Putri, Gunung Kaledong dan Gunung Haruman sudah dapat diambil kesimpulan  bahawa ada "man made" yang dianggap piramid," ujar Tim.
Dugaan ini diambil berdasarkan penampang georadar, geolistrik, foto kontur dan foto IFSAR gunung dalam jarak 5 meter. "Semua pihak agak bersabar, sehingga tahap-tahap dan kaedah saintifik ini selesai."

Kumpulan tersebut berpendapat, jika penemuan ini dapat dipastikan, maka bukan hanya menggugurkan teori di Indonesia tapi juga berpotensi pada dunia, bahawa masa prasejarah adalah masa terbelakang dan tak mengenal teknologi. "Penemuan kumpulan Katastropik Purba berpotensi menyatakan peradaban masa lalu mengagumkan."

Selain di tiga gunung itu, kumpulan ini juga melakukan penelitian di Gunung Padang, Cianjur, di mana batu-batu megalitikum tersebar luas di kawasan sehektar lebih. Melalui ujian geolistrik, kumpulan ini menyimpulkan di laman Gunung Padang yang juga disebut sebagai peninggalan megalitikum terbesar di Asia Tenggara itu terdapat struktur yang mirip piramid.

Pada 20 November lalu, kumpulan Katastropik Purba mengakui di Gunung Sadahurip di Garut, Jawa Barat, terpendam bangunan seperti piramid. Dari hasil penelitian intensif dan uji karbon dipastikan bahawa usia bangunan yang terpendam dalam gunung wilayah Garut lebih tua dari Piramid Giza yang berada di Mesir.

“Dari beberapa gunung yang di dalamnya ada bangunan menyerupai piramid, setelah diteliti secara intensif dan uji carbon, dipastikan umurnya lebih tua dari Piramid Giza,” kata Andi Arief, Staf Khusus Presiden Bidang Bantuan Sosial dan Bencana.

Pada 5 November, kumpulan yang sama juga mengakui, Gunung Klothok dan sebuah gunung di Sleman, juga diduga menyimpan struktur piramid di dalamnya.










.

Maut dirempuh lori ais di R&R Sg. Buloh


Seorang surirumah, Siti Ehsah Kali cukup gembira dan teruja menyambut kepulangan ibunya yang selamat menunaikan haji di Mekah baru-baru ini dan sempat menyuarakan hasrat mahu melakukan ibadat sama selepas ini.
Namun, impian wanita itu tidak kesampaian apabila dia maut dirempuh sebuah lori ais semasa berjalan menuju ke tandas di sebuah stesen minyak Restoran Jejantas Sungai Buloh di Kilometer 458.4, Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke ibu negara dekat sini malam tadi.

Kejadian berlaku pukul 7 petang, semasa Siti Ehsah, 55, bersama dua anak dan keluarga adik perempuannya dalam perjalanan pulang ke rumah di Klang selepas menghadiri kenduri kesyukuran ibunya pulang haji di kampung mereka di Taiping, Perak.

Bas ekspres dinaiki mereka berhenti di restoran jejantas tersebut dan mangsa bersama dua anaknya, Normaizatul Akmal Salam, 18, dan Badrul Amin Salam, 15, turun untuk pergi ke tandas.
Menurut Normaizatul Akmal, dia bersama adiknya berjalan dulu ke tandas diikuti ibunya di belakang.
"Semasa berada dalam tandas, saya bersama adik yang memasuki tandas bersebelahan terkejut mendengar bunyi jeritan dan suasana kelam-kabut di luar.

"Kami bergegas keluar melihat apa berlaku dan terkejut mendapati ibu terbaring berlumuran darah di kepala berhampiran pintu masuk ke tandas," katanya ketika ditemui di tempat kejadian malam tadi.
Siti Ehsah dipercayai dilanggar oleh sebuah lori ais yang berhenti mengisi minyak tetapi pemandu kenderaan itu bertindak melarikan diri sejurus selepas kemalangan.
Normaizatul Akmal berkata, sebaik melihat ibu dilanggar, Badrul Amin segera berlari ke arah bas dan memaklumkan kejadian itu kepada ibu saudaranya, Siti Aisyah.

Gadis itu memberitahu, sebelum mereka sekeluarga ke Taiping, ibunya memang bersikap agak pelik apabila menyatakan sesuatu yang menyentuh hati mereka empat beradik.

"Ibu bagi tahu kalau dia tak ada nanti, dia minta kami gunakan wang dalam bungkusan kain yang disimpan khas untuk kami," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kemalangan itu dan memaklumkan pemandu lori ais yang melarikan diri sudah diambil keterangan selepas tampil membuat laporan polis.










.

Farhad Darya pujaan hati wanita


Digelar Elvis Afghanistan, Farhad Darya mungkin satu-satunya lelaki di negara paling konservatif itu yang dapat membangkitkan gelora wanita sehingga mereka menjerit, melambai dan bersiul semasa menonton kosertnya.

Dalam sebuah negara yang mana hak wanita diabai dan muzik diharamkan oleh Taliban hingga 10 tahun lalu, Darya dianggap sebagai ikon di negara itu.
Populariti penyanyi berkenaan terserlah semasa dia mengadakan konsert yang terhad kepada penonton wanita di sini pada minggu lalu.
Konsert itu berlangsung secara rahsia berikutan kebimbangan ia menjadi sasaran serangan bom kumpulan Taliban.

"Saya sentiasa memberitahu semua orang bahawa dia lelaki idaman saya, dia menyanyi dengan baik, personalitinya cukup menarik, dia hebat," kata seorang pelajar wanita berusia 18 tahun Meetra Alokozay.
Populariti Darya di Afghanistan menyebabkan dia dipilih sebagai Duta Muhibbah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menurut Darya, konsert pada Khamis lalu itu adalah sebahagian kempen memerangi keganasan domestik yang berleluasa di Afghanistan.

"Terdapat masalah besar dalam negara ini. Mereka yang bertanggungjawab dalam politik, kerajaan cuma pandai bercakap tetapi tidak melaksanakannya," kata Darya.
Penyanyi berambut hitam, bermata biru itu masih kacak walaupun usianya kini mencecah 49 tahun.
Dia telah menghasilkan 35 buah album setakat ini dengan kebanyakannya bertemakan politik keamanan.


Lagunya, Kabul Jaan (Kabul yang Dicintai) merupakan lagu pertama dimainkan radio Afghanistan selepas Taliban diusir tentera Amerika Syarikat (AS) dalam tahun 2001.
Elvis Presley ialah antara penyanyi paling popular pada abad ke-20. Lebih 400 juta album penyanyi yang mendapat jolokan Raja Rock&Roll itu dijual di seluruh dunia setakat ini.
Penyanyi dari AS itu meninggal dunia pada 1977.








.

Adik tikam abang hingga mati


Gara-gara tidak tahan dengan desakan si abang yang menuntut hutang, seorang adik yang dipercayai terlalu marah bertindak menikam mati saudara kandungnya itu dalam kejadian di Taman Dato Harun di sini kelmarin.
Kejadian itu berlaku pada pukul 6 petang semasa dua beradik itu berada di tingkat atas rumah teres itu manakala ibu bapa mereka berada di ruang tamu rumah.

Difahamkan sebelum tercetus tragedi berdarah itu, kedua-dua beradik terbabit berperang mulut kerana isu hutang RM50.
Mangsa, Kamarul Azhar Nazi, 28, mendesak adiknya yang berusia 21 tahun supaya membayar semula hutang sebanyak RM50.

Tidak tahan dengan desakan si abang, si adik yang terlalu marah mengeluarkan pisau dan menikam dada dan paha kiri mangsa.
Kamarul yang cedera parah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum disahkan meninggal dunia selepas dua jam menerima rawatan.









.

Wanita lumpuh mati dikelar anak


Seorang wanita warga emas yang uzur dan lumpuh dikelar sampai mati oleh anak sendiri sebelum pemuda itu kemudian cuba membunuh diri dengan mengelar lehernya dalam kejadian menyayat hati di sebuah rumah teres tiga tingkat di Jalan BS 14/2A Taman Bukit Serdang di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias berkata, semasa kejadian pada pukul 10.45 pagi, hanya warga emas berusia 74 tahun dan anak lelakinya yang berumur 35 tahun berada di rumah.

Bagaimanapun, menurut beliau, tanpa diketahui apa puncanya pemuda yang dipercayai mempunyai masalah mental itu bertindak di luar dugaan dengan mengelar leher ibunya yang berada di ruang tamu rumah menggunakan sebilah pisau.

“Selepas melihat ibunya cedera, suspek kemudian dipercayai mengelar leher sendiri,” kata beliau ketika ditemui di tempat kejadian di sini semalam.









.

[GAMBAR] JAMBATAN KUTAI KARTANEGARA RUNTUH




Sekurang-kurangnya tiga maut dan 17 yang lain mengalami kecederaan apabila jambatan yang sibuk dengan kenderaan runtuh menyebabkan sebuah bas, kereta dan motosikal terhumban ke dalam sungai, semalam.




Kapten Syafii Nafsikin, berkata pasukan mencari dan menyelamat bergegas ke tempat kejadian.





Mereka yang terselamat berenang ke tepi tebing didapati menjerit dan dalam keadaan ketakutan.




Jambatan sepanjang 700 meter itu menghubungkan bandar Tenggarong dan Samarinda di wilayah Timur Kalimantan.






Sebelum runtuh~







P/S - Info mengenai Jambatan yang runtuh ini [Wikipedia]










.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!