Sebuah bangunan komersial setinggi 33 tingkat yang sedang dalam pembinaan dan bakal menempatkan pejabat syarikat petroleum terkemuka di KL Sentral, Jalan Tun Sambanthan di sini, terbakar awal pagi ini. Kebakaran berlaku pukul 3.50 pagi dipercayai bermula di tingkat 30 sebelum api yang membakar kayu yang digunakan dalam pembinaan itu marak ke tingkat 26,27,28,29 dan 31.
Kebakaran di tingkat atas bangunan tersebut itu turut dapat dilihat penduduk di sekitar Petaling Jaya dan Cheras. Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran tersebut pada pukul 3.53 pagi sebelum tiba di lokasi lima minit kemudian.
Menurutnya, bomba mengambil masa lebih satu jam untuk memadam api yang marak kerana tangga sementara yang dibina ke tingkat 26 dan di atasnya telah hangus.
“Namun, kita berjaya memanjat ke setiap tingkat yang terbakar untuk memadam api tersebut, anggota juga mendapat bantuan daripada kondominium bersebelahan yang membenarkan pancutan air dibuat daripada bangunan kediaman berkenaan.
“Bomba menggunakan air kolam renang kondominium tersebut untuk memadam api kebakaran selain daripada pili bomba di bangunan itu.
“Sepatutnya operasi memadam api ini mudah jika pembinaan dilakukan mengikut spesifikasi yang ditetapkan dengan menyiapkan pili bomba di tingkat 27 hingga 28 ketika pembinaan di tingkat 30 sedang dibuat, tetapi saluran air kecemasan hanya siap hingga tingkat 25 sahaja,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Tambahnya, berikutan itu usaha untuk memadam api berpanjangan sehingga pukul 9.30 pagi termasuk menggunakan bantuan kren pencakar langit yang digunakan untuk pembinaan.
Katanya, akibat kebakaran berkenaan, Jalan Tun Sambanthan ditutup sehingga pukul 12 tengah hari bagi memastikan keadaan sekeliling selamat.
Pada akhir operasi, keadaan sedikit cemas apabila kayu yang terbakar di dinding bangunan itu mula melayang jatuh di kawasan anggota bomba melakukan tugas bantuan.
Azizan memberitahu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kebakaran itu manakala kerja pembinaan diarahkan berhenti sehingga siasatan daripada semua agensi kerajaan selesai dilakukan.
Sementara itu, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), pemilik bangunan dalam satu kenyataan kesal dengan kebakaran yang turut mengganggu aliran trafik di Jalan Tun Sambanthan itu.
Bagaimanapun, menurutnya, pihak MRCB mengucapkan terima kasih kepada pasukan Bomba dan Penyelamat yang bertungkus-lumus memadam api dan semua pihak yang terlibat membantu dalam kejadian berkenaan.
.
1 Penyokong CHELSEA:
Alhamdulillah... semuanya selamat... bomba hebat :)
Post a Comment