Tuesday, January 17, 2012

Hapus adat hantaran


Perasaan marah dengan budaya pemberian hantaran mewah oleh pengantin perempuan kepada pengantin lelaki (dowri) sehingga menimbulkan pelbagai masalah, mendorong sebuah laman web mencari jodoh di India menghasilkan permainan video dikenali ‘Angry Brides’ bertujuan mendedahkan keburukan amalan ini.

Naib Presiden Kanan Shaadi.com, Ram Bhamidi, berkata permainan video Angry Brides (Pengantin Perempuan Marah) mempunyai matlamat untuk memberi kesedaran mengenai kesan negatif amalan yang sudah diharamkan tetapi terus berleluasa di negara Asia Selatan itu.
Bhamidi berkata, sejak dilancarkan minggu lalu, lebih 270,000 pengguna internet lelaki dan wanita, sudah melayari dan bermain permainan ‘Angry Brides’ melalui laman www.facebook.com/shaadicom.
Permainan itu diilhamkan daripada satu lagi permainan teka-teki video dikenali ‘Angry Birds’ (Burung Marah) yang dihasilkan oleh pencipta permainan komputer berasal dari Finland, Rovio Mobile.

‘Angry Birds’ diperkenalkan untuk kali pertama kepada pelayar internet pada Disember 2009, dengan gambar karikatur pengenalan berbentuk seekor burung tanpa sayap.

“Laman pengenalan ‘Angry Brides’ bagaimanapun menggunakan karikatur seorang wanita yang mempunyai lapan tangan, menyerupai seorang dewi agama Hindu. Kelapan-lapan tangan itu pula memegang pelbagai peralatan termasuk kuali, penggiling, selipar dan kasut,” kata Bhamidi

Beliau berkata, di bawah karikatur berkenaan, satu keterangan yang disediakan berbunyi: Seseorang wanita akan memberi anda kekuatan, perhatian dan kasih sayang yang anda perlukan... BUKAN ‘hantaran!’.
“Bagi memulakan permainan, pengguna perlu cuba untuk memukul tiga karikatur ‘pengantin lelaki’, seorang juruterbang, seorang ahli bina badan dan seorang doktor.

“Pelbagai jenis ‘senjata’ boleh dipilih untuk memulakan pukulan, termasuk kasut tumit tinggi, kuali, penyapu, tomato dan penggelek.

“Setiap pengantin lelaki pula mempunyai tanda harga, bermula daripada 1.5 juta rupee (RM91,550). Setiap kali pemain berjaya memukul pengantin lelaki, nilai wang akan berkurangan dan wang itu akan dimasukkan ke dalam dana antihantaran,” katanya.

Perangkaan yang dikeluarkan Biro Rekod Jenayah Kebangsaan menyatakan, sebanyak 8,391 kes kematian dan 90,000 penderaan berkaitan hantaran kahwin dilaporkan pada 2010.







.

1 Penyokong CHELSEA:

Ce'gu JAERA on January 18, 2012 at 5:22 AM said...

ya, adat hantaran kwin macam ni la membuatkwan para wanita tertindas.. lelaki plak yang bersenang lenang.. (",)

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!