Wednesday, January 11, 2012

Selamat hari lahir Siti Nurhaliza


HARI ini bersamaan 11 Januari 2012 menyaksikan penghibur kesayangan ramai, Datuk Siti Nurhaliza menginjak usia 33 tahun. Setiap kali penyanyi tersohor itu menyambut ulang tahun kelahirannya, pasti ramai yang ternanti-nantikan apakah hadiah yang bakal diterima daripada suami tercinta, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

Namun bagi empunya diri, bukan hadiah mewah yang menjadi keutamaan tetapi kasih sayang berpanjangan daripada Khalid.

“Sudah pasti sambutan hari lahir akan menjadi lebih bermakna buat saya apabila dapat menyambutnya bersama suami. Untuk tahun ini, saya dan suami akan bercuti lebih kurang dua minggu untuk meraikan hari lahir saya.

“Pilihan destinasi kami kali ini adalah di luar negara iaitu sebuah negara yang sememangnya menjadi idaman kami berdua sejak dulu lagi. Ke manakah destinasinya? Biarlah ia menjadi rahsia (ketawa).

“Tetapi disebabkan kesibukan masing-masing, maka perancangan itu ditangguhkan seketika sehinggalah kami merancang untuk ke sana tahun ini,” ujar Siti beberapa hari sebelum berangkat ke destinasi percutian bersama Khalid.

Walaupun merahsiakan percutiannya, namun daripada status yang ditulis oleh Siti menerusi akaun Twitternya pada 6 Januari lalu, ternyata negara Asia Barat menjadi pilihan apabila dia menyatakan yang dia sedang berada di Marrakech, Maghribi dan seterusnya ke Dubai. Menyambung bicara, jelas Siti, pada usia begini tiada apa yang diharapkan selain segala yang dilakukan diberkati Allah SWT serta dipanjangkan usia untuk menikmati kehidupan yang lebih tenang.

“Bukan itu sahaja, saya juga tidak pernah putus memohon kepada-Nya untuk memberi kudrat dan tenaga bagi menjalani kehidupan sebagai seorang hamba Allah yang lebih baik.

“Alhamdulillah, saya benar-benar bersyukur dengan apa yang saya miliki hari ini. Apatah lagi, angka tiga itu merupakan nombor bertuah saya (ketawa).

“Kerana itu jugalah, saya mengharapkan agar saya terus dilimpahkan dengan rezeki dan rahmat yang berpanjangan untuk dinikmati bersama suami dan keluarga tersayang,” jelas juara Bintang HMI 1995 yang dilahirkan di Kampung Awah, Temerloh, Pahang pada 11 Januari 1979 itu dalam nada bersungguh.


Mahu jadi ibu

Dalam masa yang sama, Siti juga dengan penuh terbuka memberitahu dalam doanya setiap hari kepada Sang Pencipta, dia tidak pernah putus meminta untuk dikurniakan cahaya mata yang sekian lama diimpikan.

Untuk itu kata Siti, dia begitu mengharapkan agar tahun 2012 dapat menyaksikan dirinya menjadi seorang ibu sementelah usia perkahwinannya juga akan mencecah enam tahun pada tahun ini.

“Tetapi, saya tetap reda dengan segala ketentuan-Nya. Saya percaya setiap perjalanan hamba-Nya sudah ditentukan dan sebagai umat Islam, saya percaya kepada qada dan qadar,” jelas penerima trofi Vokal Wanita Terbaik Anugerah Industri Muzik sebanyak 11 kali itu penuh optimis.

Selepas pulang dari bercuti, Siti berkata, dia akan kembali sibuk dengan agenda seni dan sudah merencana pelbagai perancangan. Sudah pasti, salah satunya adalah untuk mengadakan sebuah konsert tradisional yang telah lama menjadi impiannya.
Kata Siti, sejak tahun lalu, dia dan syarikatnya, Siti Nurhaliza Productions (SNP) sudah menyiapkan kertas kerja untuk mencari penaja bagi merealisasikan konsert tradisional sulungnya itu.

“Bukan hanya konsert tradisional, SNP juga kini sedang sibuk mencari penaja untuk menganjurkan konsert sempena sambutan Maulidur Rasul pada 5 Februari ini.

“Saya berharap ramai yang akan tampil untuk menjayakan konsert ini sekali gus menghayati perjuangan Rasulullah SAW. Insya-Allah, SNP akan berkerjasama dengan Rabbani Productions dalam menjayakan persembahan itu nanti,” ujar pelantun lagu Ku Percaya Ada Cinta dan Kau Kekasihku itu penuh bersemangat.

Menyentuh tentang projek albumnya pula, Siti memberitahu dia juga akan muncul dengan album Melayu terbarunya tahun ini. Sebagai permulaan, dia dan SNP sedang mencari bahan terbaik untuk albumnya itu sebelum muncul dengan single terbaru selewat-lewatnya pertengahan tahun ini.

“Memang lama juga saya tidak muncul dengan album Melayu selepas album Tahajjud Cinta dan CTKD pada tahun 2009. Malah, saya sendiri pun rindu nak rakamkan lagu-lagu Melayu.

“Alhamdulillah, tahun 2011 menyaksikan percubaan pertama saya menghasilkan album sulung Inggeris, All Your Love yang mendapat sambutan menggalakkan,” kata Siti panjang lebar.


Luaskan empayar SimplySiti

Dalam pada sibuk dengan karier seni, Siti tetap tidak melupakan perancangan untuk meluaskan lagi empayar kecantikannya, SimplySiti untuk tahun 2012. Selain akan mengeluarkan produk terbaru, satu keinginan Siti yang tidak pernah padam sejak menceburkan diri dalam dunia perniagaan adalah untuk meluaskan perniagaan ke Indonesia dan negara Timur Tengah.

Walaupun SimplySiti baru setahun jagung dalam pasaran, hakikatnya sambutan yang diberikan memang diluar dugaan sehingga menerima pelbagai pengiktirafan selain pulangan yang melebih sasaran.

“Sememangnya saya mahu melihat SimplySiti berjaya setanding dengan produk antarabangsa. Mungkin ada yang menganggap ia sesuatu yang mustahil. Tetapi saya tetap optimis bahawa dengan usaha dan kerja keras, ia boleh merubah mimpi menjadi realiti.

“Sebenarnya memang banyak yang mahu saya lakukan menerusi SimplySiti. Salah satu impian saya adalah untuk membuka pusat kecantikan lengkap dan juga sebuah bangunan sendiri.

“Teringin juga mahu membuka pusat sehenti yang menawarkan pelbagai khidmat seperti spa, rawatan kulit dan rambut, penjualan makanan tambahan dan segala-galanya tentang kecantikan,” jelas Siti yang memberitahu SimplySiti berkemungkinan besar akan mengeluarkan pewangi dan barangan mandian tahun ini.


Sejarah hidup Siti

Mungkin pada segelintir pihak, kisah hidup Siti sudah banyak diceritakan sebaik sahaja dia menceburi bidang seni 17 tahun lalu.

Perjalanan hidup Siti boleh dikatakan sebagai sesuatu yang cukup istimewa - dari seorang gadis kampung kini menjadi seorang penghibur yang memiliki jenama yang cukup gah di rantau Nusantara. Untuk menyemarakkan lagi sambutan hari lahir Siti, saluran History akan menayangkan sebuah dokumentari berjudul Siti Nurhaliza.

Memandangkan cerita tentang Siti sudah banyak yang diketahui umum, lalu, apakah yang menjadikan dokumentari Siti Nurhaliza berbeza dengan apa yang pernah ditampilkan sebelum ini?

Menjawab persoalan ini, penerbitnya, Lina Tan memberitahu, fokus utama kepada penerbitan dokumentari ini adalah untuk berkongsi cerita tentang kejayaan, semangat dan aspirasi Siti kepada khalayak.

“Atas alasan itu jugalah, gosip mahupun cerita panas yang pernah melingkari diri dan karier seni tidak ada banyak yang disentuh dalam dokumentari ini.

“Apa yang membuatkan kami gembira, segala-galanya mendapat lampu hijau daripada Siti selepas dia meneliti setiap soalan yang diajukan kepadanya.

“Bukan sesuatu yang mudah untuk menerbitkan dokumentari ini juga kerana seperti mana yang kita faham, jadual Siti memang padat. Sukar untuk mencuri masanya tetapi mujurlah dia dapat meluangkan masa,” jelas Lina yang sebelum ini pernah menerbitkan dokumentari tentang Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk saluran yang sama.

Dokumentari Siti Nurhaliza diarahkan oleh pengarah filem, Bernard Chauly turut menampilkan beberapa individu terkenal yang memainkan peranan penting dalam karier Siti seperti Adnan Abu Hassan, Jennifer Thompson, Najip Ali dan Datuk Suhaimi Mohd. Zain atau Pak Ngah. Tidak ketinggalan jurusolek artis terkenal, Nurul Shukor; pereka fesyen kegemaran Siti, Michael Ong serta pengurus dan kakak ipar Siti, Rozi Abdul Razak.

Sementara itu, Siti melahirkan rasa terharu dan gembira apabila ada pihak yang mahu menerbitkan dokumentari tentang dirinya.

“Sebelum ini, kisah tokoh ternama negara seperti Tun Mahathir dan Allahyarham Datuk Sudirman pernah ditampilkan dalam saluran History. Sekarang, giliran saya pula dan pastinya ini satu penghormatan buat saya.

“Apa yang saya harapkan, penonton akan dapat mengambil sesuatu yang positif daripada penghasilan dokumentari ini,” kata Siti tersenyum.

Buat peminat Siti Nurhaliza, pastikan anda tidak ketinggalan menonton dokumentari istimewa ini secara eksklusif di saluran History dan saluran History HD pukul 10 malam ini. Siaran ulangannya pula pada 12 Januari pukul 8 malam, 14 Januari (6 petang) dan 15 Januari (9 malam).









.

3 Penyokong CHELSEA:

Hanis Azla on January 11, 2012 at 3:38 PM said...

happy birthday dato' siti..

Ce'gu JAERA on January 11, 2012 at 4:39 PM said...

selamat hari jadi ct.. moga cepat2 jadi ibu kepada datuk K kita... alala

Anonymous said...

meh la ke CH..Galeri BiGDee Magic Potions Taman Royal Lily, Tanah Rata

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!